Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat larangan berpuasa awal sehari atau dua hari sebelum Ramadhan? Dan apa hukum puasa kalau dilakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, benar, terdapat larangan mengenainya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ، إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa satu atau dua hari (sebelumnya), melainkan seseorang yang biasa berpuasa, maka hendaklah dia berpuasa pada hari itu.”

Riwayat al-Bukhari (1914) dan Muslim (1082)

Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:

  • Tidak boleh mendahului puasa sunat sebelum Ramadhan, sehari atau dua hari sebelumnya, bagi sesiapa yang bukan menjadi kebiasaannya berpuasa, atau bukan dengan niat meneruskan puasa sunat dari hari-hari sebelumnya. Ia dihukumkan haram oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/194)
  • Seandainya seseorang berpuasa sunat, atas sebab ia merupakan kebiasaannya berpuasa sepanjang masa, atau berpuasa selang sehari, atau berpuasa pada hari tertentu seperti hari Isnin, kemudian secara kebetulan hari tersebut bertepatan dengan hari sebelum Ramadhan, maka dibolehkan baginya untuk berpuasa tanpa ada khilaf di kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/400)
  • Sebaik-baiknya, kita tidak berpuasa agar dapat berlepas diri dari golongan yang mengingkari perintah Rasulullah SAW. Ini berdasarkan riwayat daripada ‘Ammar bin Yasir:

مَنْ صَامَ هَذَا الْيَوْمَ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada hari ini (hari syak), maka dia telah melakukan maksiat terhadap Abu al-Qasim (Rasulullah) SAW.”

Riwayat Abu Dawud (2334) dan al-Tirmizi (686)

Justeru, marilah sama-sama dalam kita menjalani ibadat puasa dengan cara mengikut perintah Allah dan Rasul-Nya, serta penuh dengan keikhlasan. Makanya, harapan kita agar menatijahkan takwa hasil daripada puasa menjadi milik kita. Benarlah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah: ‘لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ’ (agar kamu bertakwa) maksudnya, dengan melaksanakan ibadah puasa ini, kamu dapat meningkatkan ketakwaan, kerana puasa menundukkan hawa nafsu dan melemahkan dorongan syahwat. (Lihat Fath al-Qadir, 1/207)

Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri menyatakan, Allah SWT kemudian menjelaskan hikmah di sebalik pensyariatan puasa dengan firman-Nya: “Agar kamu bertakwa.” Iaitu, supaya kamu bersiap sedia untuk mencapai ketaqwaan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ini kerana dalam ibadah puasa terdapat pengawasan langsung daripada Allah SWT. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/161)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”