Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh syarahkan pada kami, hadith Nabi SAW yang terkait dengan amalan sahur membawa keberkatan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ (17) وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (18)
Maksudnya: “Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”
(Surah al-Zariyat: 17-18)
Al-Hasan berkata: Maksudnya, mereka mendirikan solat hingga waktu sahur, kemudian mereka mengisi waktu sahur dengan beristighfar. (Lihat Fath al-Qadir, 3/422)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
تَسَحَّرُوا؛ فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.”
Riwayat al-Bukhari (1923) dan Muslim (1095)
Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:
- Perbezaan antara sahur dan suhur di mana sahur adalah makanan yang dimakan pada waktu sahur, sedangkan suhur adalah perbuatan memakan pada waktu tersebut. Hal ini sama antara wadhu’ dan wudhu’ di mana wadhu’ ialah air yang digunakan untuk berwuduk sedang wudhu’ adalah perbuatan berwuduk.
- Ia menunjukkan bahawa orang yang berpuasa diperintahkan untuk bersahur, kerana di dalamnya terdapat banyak kebaikan dan keberkatan yang besar, baik dari segi agama mahupun duniawi. Penyebutan keberkatan oleh Rasulullah SAW bertujuan untuk mendorong serta menggalakkan umatnya supaya bersahur.
- Perintah dalam hadith ini adalah perintah sunat, bukan perintah wajib. Ibn al-Munzir telah menukilkan ijmak (kesepakatan ulama) mengenai perkara ini.
- Dalam sahur terdapat keberkatan dari sudut agama dan duniawi. Ia merangkumi mematuhi perintah Nabi SAW serta mencontohi sunnahnya. Sesiapa yang bersahur dengan niat untuk mengikuti perintah Nabi SAW dan mencontohi baginda, maka sahurnya menjadi satu bentuk ibadah dan dia akan memperoleh pahala berdasarkan niat tersebut.
- Antara keberkatan sahur ialah ia membantu menguatkan tubuh untuk beribadah serta mengekalkan tenaga dan kecergasan badan. Seseorang yang bersahur lebih berdaya dalam menjalankan tugas hariannya berbanding orang yang tidak bersahur.
- Antara keberkatannya juga adalah ia membangkitkan seseorang pada akhir malam untuk berzikir, berdoa, dan menunaikan solat, yang mana waktu tersebut adalah waktu yang mustajab untuk doa diperkenankan. (Lihat Minhah al-‘Allam, 5/29-30)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”.