Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita disuruh menta’khirkan sahur? Dan kadar antara sahur dan azan berapa lama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Anas bin Malik R.A, daripada Zaid bin Thabit R.A, katanya:

تَسَحَّرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ. قَالَ أَنَسٌ: قُلْتُ لِزَيْدٍ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً.

Maksudnya: “Kami bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian Baginda berdiri untuk solat. Anas berkata: Aku bertanya kepada Zaid: ‘Berapa lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) lima puluh ayat’.”

Riwayat al-Bukhari (1921) dan Muslim (1097)

Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:

  • Sahur merupakan amalan dan perbuatan sunnah Nabi SAW.
  • Menurut Imam al-Nawawi Jarak antara dua waktu tersebut dianggarkan dengan bacaan 50 ayat al-Quran. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana yakni bukanlah ayat yang terlalu panjang, mahupun ayat yang terlalu pendek.
  • Ia mengandungi galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/208-209; Fath al-Bari, 4/138)
  • Dalil para sahabat membaca al-Quran pada waktu pagi dan sahur. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Semoga kita sentiasa membaca al-Quran sehingga menjadi penawar hidup kita dan pedoman. Rasulullah SAW pernah mengajar kita tentang doa yang terkait dengan al-Quran:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, penghilang kesedihanku, penghapus kesusahanku.”

Riwayat Ahmad (3712), Ibn Hibban (972), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (29808), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (155), al-Tabarani dalam al-Du’a (1035), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/509) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (339)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”.