Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Seorang yang sedang bermusafir, adakah lebih baik baginya berbuka atau berpuasa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;
(Surah al-Baqarah: 184)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada daripada ‘Aisyah R.Anha, bahawa Hamzah bin ‘Amr al-Aslami R.Anhu bertanya kepada Nabi SAW:
أَصُومُ فِي السَّفَرِ؟ – وَكَانَ كَثِيرُ الصِّيَامِ – قَالَ: إِنْ شِئْتَ فَصُمْ، وَإِنْ شِئْتَ فَأَفْطِرْ
Maksudnya: “‘Adakah aku boleh berpuasa ketika bermusafir?’ – sedangkan beliau adalah seorang yang banyak berpuasa –. Maka Baginda SAW bersabda: ‘Jika engkau mahu, berpuasalah, dan jika engkau mahu, berbukalah’.”
Riwayat al-Bukhari (1943) dan Muslim (1121)
Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:
- Berbuka puasa dan meneruskannya, kedua-duanya dibenarkan ketika bermusafir.
Imam Ahmad berpendapat, berbuka adalah lebih baik. Manakala Imam al-Syafi‘i, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat, puasa lebih diutamakan bagi yang berkemampuan, adapun mereka yang mempunyai kemudharatan teramat jika meneruskan puasa, maka ketika itu berbuka adalah lebih utama. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/32; al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 5/1597)
- Berpuasa ini adalah satu fadhilat yang besar bagi setiap orang kerana ia mendekatkan diri kepada Allah, kerana itu puasa disandarkan kepada Tuhan.
- Ketika tujuan berjihad pada bulan Ramadhan, tidak berpuasa adalah lebih baik. Hal ini berdasarkan nas ketika pembukaan Kota Makkah, Rasulullah SAW tidak berpuasa.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar