Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya puasa, tetapi terlupa dengan makan dan minum hingga kenyang. Adakah sah puasa saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jawapannya sah, dengan syarat apabila teringat, terus berhenti.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ  – وَهُوَ صَائِمٌ – فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ؛ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa (sedangkan dia sedang berpuasa), lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allah SWT yang telah memberinya makan dan minum.”

Riwayat al-Bukhari (1933) dan Muslim (1199)

Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:

  • Perbuatan makan dan minum dalam keadaan terlupa bagi bagi orang yang berpuasa itu tidak membatalkan puasa. Begitu juga dia tidak perlu menggantikan (qadha’) puasanya semula, mahupun dikenakan kaffarah. (Lihatal-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/180)
  • Sesiapa yang makan atau minum (secara tidak sengaja), maka puasanya tetap sah, tidak berkurang, dan dia tidak berdosa. Hal ini kerana dia tidak melakukannya dengan sengaja, sebaliknya rezeki itu telah diberikan oleh Allah kepadanya.
  • Nabi menggambarkan orang yang makan dan minum, seolah-olah Allah memberinya makan dan minum. Oleh sebab itu, Nabi SAW menyandarkan perbuatan makan dan minum tersebut kepada Allah Ta‘ala. (Lihat Minhah al-‘Allam, 5/51)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”

Begitu juga lafaz yang hampir dengannya :

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”

Riwayat Ibn Majah(2045) dan Riwayat Ibn Hibban(7219)

Ibn Rajab al-Hanbali ketika mensyarahkan hadith ini bahawa — yang paling jelas menurut beliau — seseorang yang terlupa atau tersilap itu adalah dimaafkan. Dalam erti kata lain, terangkat dosa daripada kedua-duanya kerana suatu dosa itu dikenakan berdasarkan tujuan dan niat. Sedangkan orang yang terlupa dan tersilap, keduanya tidak ada niat ketika melakukannya, maka tiada dosa dikenakan kepada mereka. Adapun terangkat hukum daripada keduanya, maka ini bukanlah kehendak yang dimaksudkan daripada nas ini. Oleh itu, bagi mensabitkan dan menafikannya memerlukan kepada dalil yang lain. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/369. )

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”