Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh syarahkan kepada kami, siapa yang mati dan padanya masih ada puasa qadha, maka walinya hendaklah berpuasa qadha baginya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Al-Syaukani menyebutkan, firman Allah: (كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ) bermaksud, Allah SWT telah mewajibkan ke atas kamu ibadah puasa, iaitu menahan diri daripada segala perkara yang membatalkannya, disertai dengan niat yang sah, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. (Lihat Fath al-Qadir, 1/207). Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri menyatakan, (كُتِبَ) bermaksud diwajibkan dan ditetapkan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/161)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ، صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya:Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan masih mempunyai hutang puasa, maka walinya hendaklah berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

Diriwayatkan juga oleh Abu Dawud, dan beliau berkata: Hadith ini merujuk kepada puasa nazar, dan ini juga merupakan pendapat Ahmad bin Hanbal R.Anhu.[1]

Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:

  • Hutang yang ditanggung oleh si mati wajib dilunaskan, sama ada ia merupakan hak Allah Ta‘ala, seperti zakat dan puasa, atau hak manusia.
  • Orang yang paling utama untuk melunaskan hutang tersebut bagi pihak si mati ialah warisnya, kerana mereka mempunyai hak untuk berbakti kepadanya. Ini merupakan salah satu bentuk kebajikan dan ihsan yang terbesar.
  • Hadith ini secara zahir menunjukkan bahawa wajib menggantikan puasa bagi pihak si mati, sama ada puasa yang wajib secara asal dalam syariat atau puasa nazar, kerana lafaz puasa dalam hadith disebut dalam bentuk nakirah, yang merangkumi semua jenis puasa.
  • Orang yang paling utama untuk menggantikan puasa bagi pihak si mati ialah warisnya, kerana dia mendapat manfaat daripada harta peninggalan si mati. Oleh itu, dia bertanggungjawab untuk melunaskan hutang kepada Allah Ta‘ala atau kepada sesama manusia, selaras dengan kaedah syariah:
  • “Barang siapa yang memperoleh keuntungan, dia juga menanggung kewajipan” (مَنْ غَنِمَ غَرِمَ).
  • “Keuntungan datang dengan tanggungan” (الخَرَاجُ بِالضَّمَان). (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 3/525)
  • Bagi orang yang meninggal dunia, ada puasa qadha’, maka terdapat dua pilihan. Sama ada dibayar kafarah dan ini masyhur dalam mazhab Syafi‘i, atau walinya itu mengqadha’ bagi pihaknya
  • Imam al-Nawawi mentarjihkan dan memilih pendapat bahawa wali disunatkan mengqadha’ puasa bagi pihak si mati. Wali yang dimaksudkan di sini merujuk kepada kaum kerabatnya, dan pendapat ini dianggap sebagai pendapat yang paling kuat dan terpilih. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/25)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

 

[1] Riwayat Abu Dawud (2400)