Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kenapa Nabi boleh berwisal dalam ibadah puasa dan melarang kita daripada ber wisal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْوِصَالِ. قَالُوا: إِنَّكَ تُوَاصِلُ؟ قَالَ: إِنِّي لَسْتُ مِثْلَكُمْ، إِنِّي أُطْعَمُ وَأُسْقَى.

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang puasa wisal (berpuasa tanpa berbuka pada waktu malam). Maka para sahabat berkata: ‘Tetapi engkau sendiri berpuasa wisal?’ Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum (oleh Allah).’”

Riwayat al-Bukhari (1962) dan Muslim (1102)

Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:

  • Larangan daripada menyambung puasa berhari-hari — yakni puasa wisal.

Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, al-Wisal (الْوِصَال) adalah puasa secara berterusan tanpa berbuka pada waktu malam. Ibn al-Athir pula berkata: Al-Wisal adalah: Seseorang itu tidak berbuka selama dua hari atau lebih. (Lihat Masyariq al-Anwar, 2/288; al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 5/193).

Al-Mawardi menyatakan bahawa berpuasa secara wisal ini adalah apabila seorang lelaki itu berpuasa dalam sehari dan apabila masuk sahaja waktu malam dia enggan untuk makan dan juga minum. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan berpuasa dan dia dikira menyambung selama dua hari dalam keadaan tidak makan dan minum. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/471).

Manakala al-Ruyani menyebutkan, puasa wisal ialah seseorang itu menyambungkan puasanya pada waktu malam dengan puasanya pada waktu siang. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/357)

  • Islam itu bersifat samahah dan toleransi. Ini bertepatan dengan hadith yang menyatakan:

‌بُعِثْتُ ‌بِالْحَنِيفِيَّةِ ‌السَّمْحَةِ

Maksudnya: “Aku telah diutuskan dengan agama yang lurus lagi toleransi.

Riwayat Ahmad (22345) dan al-Tabarani (7868); al-‘Iraqi dalam takhrij al-Ihya’(4/186) menilai sanadnya sebagai dha‘if. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani dalam Kasyf al-Sitr (37) menilainya sebagai sahih.

  • Melalui hadith ini juga, kita dapat mengetahui bahawa di sana ada perkara yang menjadi khususiyyat Nabi SAW (yakni hanya khusus buat Baginda). Di antaranya adalah puasa wisal
  • Rasulullah diberi makan dan minum oleh Allah SWT sama ada maknawi atau hissi.
  • Manusia ini tidak sama sepertimana Rasulullah SAW dari segi kemampuan.

Dalam riwayat Muslim, daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A:

فَأَيُّكُمْ أَرَادَ أَنْ يُوَاصِلَ، فَلْيُوَاصِلْ إِلَى السَّحَرِ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang ingin berpuasa wisal, dia hendaklah melakukannya hanya hingga waktu sahur.”

Riwayat al-Bukhari (1963)

Fiqh Hadith

Antaranya:

  • Wisal kepada kita umat islam sampai kepada waktu sahur sahaja.
  • Ada kalangan ulama yang wisal kepada sahur kerana menjaga masa untuk ibadah, mengkaji ilmu dan menyusun ilmu.

Secara umumnya, pendapat ulama berkaitan puasa wisal terbahagi kepada tiga pendapat:

Pendapat pertama: Puasa wisal adalah haram.

Ini adalah pendapat al-Rafi‘i, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Khattabi, al-Syeikh Salim al-Dari, Imam al-Haramain al-Juwaini, al-Baghawi, al-Ruyani, dan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/357; Asna al-Matalib, 1/419).

Imam al-Haramain al-Juwaini menyebutkan, puasa secara bersambung adalah suatu bentuk qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) pada hak Rasulullah SAW, dan ia merupakan suatu perkara yang diharamkan ke atas umat Baginda SAW. (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 4/72).

Pendapat kedua: Puasa wisal adalah makruh.

Imam al-Nawawi menyebutkan, puasa wisal hukumnya adalah makruh di sisi kami (mazhab al-Syafi‘i) tanpa sebarang khilaf. Kemudian, timbul persoalan, adakah hukumnya makruh tahrim ataupun makruh tanzih? Dalam hal ini, terdapat dua pendapat tentangnya, dan pendapat yang paling sahih di sisi ashab kami dan ia merupakan zahir kenyataan Imam al-Syafi‘i, hukumnya adalah makruh tahrim. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/357)

Begitu juga Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan, puasa wisal hukumnya adalah makruh di sisi kebanyakan ahli ilmu. (Lihat al-Mughni, 4/436).

Pandangan ketiga: Dibolehkan untuk melakukannya tetapi hanya sampai waktu sahur.

Dinyatakan dalam al-Kafi bahawa jika puasa wisal itu hanyalah sehingga waktu sahur, maka sebahagian ulama membolehkannya, dan inilah pendapat mazhab Hanabilah. (Lihat al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad, 1/450).

Dalilnya adalah sebagaimana hadith di atas yang jelas menyatakan bahawa sesiapa dalam kalangan kamu yang ingin melakukan puasa wisal, maka dia hendaklah melakukannya sehingga waktu sahur.

Imam al-Bukhari juga menulis satu bab tentang puasa wisal sehingga waktu sahur. Beliau menyebut: ‘بَابُ الوِصَالِ إِلَى السَّحَرِ’ (Bab Puasa Wisal sehingga Waktu Sahur). (Lihat Sahih al-Bukhari, 3/38).

Namun, Ibn al-Qayyim menyatakan, pendapat yang mengatakan bahawa puasa wisal boleh dilakukan dari sahur hingga sahur berikutnya, itu adalah lebih tepat. Ini menunjukkan bolehnya puasa wisal dan masih dianggap mudah oleh orang yang berpuasa. Apa yang dilakukan ini, sama sahaja dengan seseorang yang melewatkan makan malamnya sehingga waktu sahur. Seharian dia berpuasa, dan di malam harinya dia makan. Jika dia baru makan ketika sahur, hal itu sama sahaja maksudnya dia memindahkan berbukanya sehingga akhir malam.” (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/36).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”