Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Bolehkah isteri menziarahi suami yang sedang beriktikaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Safiyyah binti Huyai R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعْتَكِفًا، فَأَتَيْتُهُ أَزُورُهُ لَيْلًا فَحَدَّثْتُهُ، ثُمَّ قُمْتُ لِأَنْقَلِبَ، فَقَامَ مَعِي لِيَقْلِبَنِي — وَكَانَ مَسْكَنُهَا فِي دَارِ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ — فَمَرَّ رَجُلَانِ مِنَ الْأَنْصَارِ، فَلَمَّا رَأَيَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْرَعَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَلَى رِسْلِكُمَا، إِنَّهَا صَفِيَّةُ بِنْتُ حُيَيّ، فَقَالَا: سُبْحَانَ اللَّهِ! يَا رَسُولَ اللَّهِ! فَقَالَ: إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنِ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ، وَإِنِّي خَشِيتُ أَنْ يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرًّا. أَوْ قَالَ: شَيْئًا.

وَفِي رِوَايَةٍ: أَنَّهَا جَاءَتْ تَزُورُهُ فِي اعْتِكَافِهِ فِي الْمَسْجِدِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ، فَتَحَدَّثَتْ عِنْدَهُ سَاعَةً، ثُمَّ قَامَتْ تَنْقَلِبُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَهَا يُقَلِّبُهَا، حَتَّى إِذَا بَلَغَتْ بَابَ الْمَسْجِدِ عِنْدَ بَابِ أُمِّ سَلَمَةَ، ثُمَّ ذَكَرَهُ بِمَعْنَاهُ.

Maksudnya: “Nabi SAW sedang beriktikaf, lalu aku datang menziarahi Baginda pada waktu malam dan berbicara dengannya. Kemudian, aku bangun untuk pulang, maka Baginda bangun bersamaku untuk menghantarku pulang – dan tempat tinggalnya berada di rumah Usamah bin Zaid. — Ketika itu, dua orang lelaki daripada golongan Ansar melintas. Apabila mereka melihat Rasulullah SAW, mereka berjalan dengan pantas. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Jangan tergesa-gesa, ini adalah Safiyyah binti Huyai.’ Mereka berdua berkata: ‘Subhanallah! Wahai Rasulullah!’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya syaitan mengalir dalam diri anak Adam seperti aliran darah, dan aku bimbang syaitan akan membisikkan sesuatu yang buruk ke dalam hati kamu berdua.’ Atau Baginda bersabda (dengan lafaz): ‘Sesuatu.’”

Riwayat al-Bukhari (3281) dan Muslim (2175) (24)

Dalam riwayat (yang lain): Safiyyah datang menziarahi Nabi SAW ketika Baginda sedang beriktikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Lalu, beliau berbicara dengan Baginda selama beberapa waktu. Setelah itu, beliau bangun untuk pulang, maka Nabi SAW turut bangun bersamanya untuk menghantarnya pulang, sehinggalah apabila beliau sampai di pintu masjid, berdekatan dengan pintu Ummu Salamah. Kemudian, hadith ini disebut dengan maknanya yang serupa.

Riwayat al-Bukhari (2035) dan Muslim (2175) (25)

Antara fiqh hadith daripada hadith ini ialah:

  • Hubungan Rasulullah SAW dengan isterinya amat baik. Perintah untuk berbuat baik kepada isteri dan juga pasangan adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Menurut al-Maraghi, ayat ini menegaskan bahawa suami bertanggungjawab untuk bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, mereka hendaklah melayani isteri dengan cara yang dapat menyenangkan fitrah dan keperibadian mereka, namun tetap selaras dengan tuntutan syariat serta adat yang diterima. Suami juga dilarang bersikap kedekut dalam memberikan nafkah, menyakiti isteri dengan kata-kata atau perbuatan, serta menunjukkan ekspresi yang dingin atau muram kepada mereka.

Perkataan mu‘āsyarah (pergaulan) dalam ayat ini membawa makna kebersamaan dan perkongsian, iaitu suami perlu melayani isteri dengan baik sebagaimana isteri juga dituntut untuk melayan suami dengan baik. Oleh itu, kedua-dua pihak diseru untuk saling membahagiakan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128).

  • Iktikaf adalah amalan Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan sebagaimana dapat difahami menerusi hadith di atas.
  • Begitu juga diharuskan bagi isteri untuk menziarahi suaminya yang sedang beriktikaf di dalam masjid.
  • Pada asalnya, kita dilarang daripada sangkaan buruk. Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, Allah SWT melarang hamba-Nya daripada banyak buruk sangka dengan orang beriman kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Perkara tersebut adalah seperti sangkaan yang bukan berdasarkan hakikatnya sebenar mahupun bukti, begitu juga seperti sangkaan buruk, yang dikaitkan dengan banyak perkataan dan perbuatan yang diharamkan (dilarang). Apabila sangkaan buruk itu kekal di dalam hati seseorang, ia tidak terhad kepada itu sahaja, malah dia akan meneruskannya sehingga dia mengatakan apa yang tidak sepatutnya dan melakukan apa yang tidak sepatutnya, yang dalam pada itu juga termasuklah berburuk sangka dengan orang Islam, membencinya dan memusuhinya yang mana ia sepatutnya tidak berlaku.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/801).

Sementelahan pula, kita juga diperintahkan untuk tidak mendedahkan diri kepada perbuatan atau perkara yang boleh membawa kepada sangkaan buruk, tohmahan dan fitnah. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.

Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz. (Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80).

Oleh yang demikian, jelas daripada hadith di atas, Rasulullah SAW ingin menghilangkan perasaan atau sangkaan yang tidak baik pada hati seseorang (iaitu dua orang Ansar yang melihat Baginda dan Safiyyah berdua-duaan dalam gelap).

  • Rasulullah SAW turut menceritakan bagaimana bisikan dan pujuk rayu syaitan serta menceritakan syaitan berjalan sebagaimana berjalan darah dalam pembuluhnya, di samping bala dan bahayanya tipu daya syaitan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”