Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum jika seseorang nampak anak bulan sebelum daripada waktu Maghrib pada tarikh 29 hari bulan, adakah cerapan tersebut boleh diterima atau bagaimana? Umum mengetahui, pada 29 hari bulan Ramadhan 1446H ini, kedudukan anak bulan telah matang, di mana umur anak bulan hampir 25 jam. Ini menjadikan anak bulan mudah untuk dicerap dan berkemungkinan boleh dilihat sebelum daripada waktu Maghrib. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu memahami dan merujuk beberapa konteks dalam  penentuan awal bulan dalam takwim Hijri menurut syara‘:

Penentuan Awal Bulan dengan Melihat Anak Bulan

Anak bulan atau hilal (هِلَالٌ) merujuk kepada bulan muda pada malam pertama, kedua dan ketiga dalam bulan Hijri, selepas daripada itu ia dipanggil qamar (قَمَرٌ). Anak bulan dipanggil ‘hilal’ kerana umat Islam bergembira dan teruja apabila melihatnya dengan bertakbir dan berdoa. (Lihat Mu‘jam Maqayis al-Lughah, 6/11)

Melihat anak bulan merupakan pra-syarat utama dalam penentuan tarikh puasa dan hari raya seperti permulaan bulan Ramadhan dan hari raya seperti Aidilfitri dan Aidiladha bagi umat Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ

Maksudnya: “Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan Ramadhan) dan berbukalah (berhentilah puasa) juga apabila melihatnya (anak bulan Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakan jumlah bilangan bulan Sya‘ban tiga puluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (1909) dan Muslim (1081)

Waktu Melihat Anak Bulan

Menurut syara‘, anak bulan yang harus dicerap bagi penentuan awal bulan baru mesti nampak selepas Maghrib pada hari ke-29 bulan tersebut, kerana Maghrib adalah permulaan hari baru dalam takwim Islam. Allah SWT berfirman:

وَجَعَلْنَا ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ ءَايَتَيْنِ ۖ فَمَحَوْنَآ ءَايَةَ ٱلَّيْلِ وَجَعَلْنَآ ءَايَةَ ٱلنَّهَارِ مُبْصِرَةً لِّتَبْتَغُوا۟ فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ وَلِتَعْلَمُوا۟ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلْحِسَابَ ۚ وَكُلَّ شَىْءٍ فَصَّلْنَـٰهُ تَفْصِيلًا

Maksudnya: “Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.”

(Surah al-Isra’: 12)

Menurut Ibn Kathir: “Allah menjadikan bagi malam itu suatu petanda, yang mana waktu malam dikenali dengannya, iaitu kegelapan serta kemunculan bulan. Begitu juga siang dijadikan baginya suatu tanda, iaitu keadaan cerah disertai kemunculan matahari yang bersinar. Allah membezakan antara cahaya bulan dan sinaran matahari agar dapat dikenali malam dan juga siang, sebagaimana firman-Nya: ‘Dia lah yang menjadikan matahari sebagai penerang dan bulan sebagai cahaya, dan Dia menetapkan bagi bulan beberapa tempat peredarannya, agar kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan waktu. Allah tidak menciptakan itu semua kecuali dengan kebenaran’.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/46)

Kata Abu al-Hasanat al-Laknawi: “Ini menunjukkan bahawa bulan adalah tanda untuk malam, bukan untuk siang, maka tidak diambil kira jika bulan dilihat pada waktu siang. Dan hakikat bahawa ia menjadi penentu waktu bagi manusia, haji, puasa, serta lain-lain, dan juga sebagai petunjuk untuk mengetahui bilangan tahun dan perhitungan, kesemua ini hanya berlaku apabila bulan terbit pada malam hari, bukan pada waktu lain.” (Lihat al-Falak al-Dawwar fi Ru’yah al-Hilal bi al-Nahar, hlm. 18)

Atas dasar ini juga, hukum-hakam yang memerlukan seseorang untuk melihat bulan, ia hanya berlaku apabila bulan tersebut dilihat pada malam hari, bukan pada siang hari. Sebagai contoh, fuqaha’ al-Syafi‘iyyah menyatakan bahawa solat gerhana bulan tidak dilakukan jika bulan terbit pada siang hari. Imam al-Nawawi menyatakan: “Sekiranya gerhana bulan bermula selepas terbitnya matahari, maka tidak perlu solat gerhana, tanpa sebarang perselisihan dalam mazhab.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/54)

Anak Bulan Kelihatan di Siang Hari

Majoriti ulama berpendapat – dan ia adalah qaul yang muktamad dalam empat mazhab – bahawa anak bulan yang kelihatan pada waktu siang tidak membawa sebarang kesan terhadap hukum. Oleh itu, sekiranya seorang yang berpuasa melihat anak bulan pada siang hari 30 Ramadhan, dia hendaklah meneruskan puasanya dan tidak berbuka. Begitu juga, jika seseorang yang berbuka melihat anak bulan pada siang hari 30 Sya‘ban, maka dia tidak wajib untuk berhenti makan atau mengganti puasa untuk hari tersebut.

Hal ini kerana anak bulan yang kelihatan itu dianggap anak bulan untuk keesokan harinya. Kata Imam al-Syafi‘i: “Sekiranya anak bulan tidak kelihatan kerana cuaca mendung, lalu datang dua orang saksi yang menyatakan bahawa anak bulan Ramadan telah dilihat pada petang Jumaat, sama ada selepas zohor atau sebelum zohor, maka ia dianggap sebagai anak bulan untuk malam Sabtu, kerana anak bulan yang dilihat pada waktu siang adalah untuk malam yang akan datang, bukan untuk malam yang telah berlalu.” (Lihat al-Umm, 1/263)

Imam al-Imrani al-Syafi‘i menyebutkan: “Sekiranya anak bulan dilihat pada siang hari, sama ada ia kelihatan sebelum tergelincir matahari mahupun selepasnya, maka ia adalah tanpa untuk malam esoknya. Beginilah yang disebutkan oleh Malik dan Abu Hanifah.” Kata Imam Abu Ishaq al-Shirazi: “Puasa dan berbuka hanya dikaitkan dengan apa yang dilihat selepas matahari terbenam.” Imam Syamsuddin al-Ramli menegaskan lagi pandangan al-Syafi‘iyyah, bahawa anak bulan dilihat pada hari ke-29 (siang hari) dan tidak kelihatan pada malam sebelumnya, maka tidak ada pendapat yang mengatakan bahawa ia membawa kesan hukum. Maka jelas sekali, anak bulan yang kelihatan di siang hari tidak membawa sebarang kesan. (Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 3/477; al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 3/33; Fatawa al-Ramli, 2/78)

Syeikh Ahmad al-Dardir al-Maliki berkata: “Melihat anak bulan pada siang hari, meskipun sebelum gelincir matahari, maka hukumnya tetap berlanjutan – yakni seseorang itu tetap tidak diwajibkan berpuasa jika ia berlaku pada akhir Sya‘ban, dan dia perlu kekal berpuasa jika ia berlaku pada akhir Ramadhan.” (Lihat al-Syarh al-Kabir, 1/512)

Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi dalam Rad al-Muhtar (2/392). Pengarang al-Fatawa Hindiyyah (1/197) menjelaskan: “Dan jika mereka melihat anak bulan sebelum atau selepas zohor, maka tidak boleh berpuasa atau berbuka berdasarkan kenampakan itu.”

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi al-Hanbali pula mengatakan, pandangan yang masyhur di sisi Imam Ahmad bin Hanbal, anak bulan yang kelihatan sebelum mahupun selepas gelincir matahari pada penghujung bulan Ramadhan tidak mengharuskan seseorang berbuka (beraya). (Lihat al-Mughni, 3/173)

Menurut Imam al-Buhuti: “Anak bulan yang kelihatan pada siang hari tidak mempunyai kesan, hanya yang diambil kira adalah selepas matahari terbenam.” (Lihat Kasyaf al-Qina‘, 2/303)

Ini berdasarkan riwayat dengan sanad yang sahih, daripada Abu Wa’il, beliau berkata:

أَتَانَا كِتَابُ عُمَرَ وَنَحْنُ بِخَانِقِينَ؛ أَنَّ الْأَهِلَّةَ بَعْضُهَا أَكْبَرُ مِنْ بَعْضٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ نَهَارًا فَلَا تُفْطِرُوا، حَتَّى يَشْهَدَ رَجُلَانِ مُسْلِمَانِ أَنَّهُمَا رَأَيَاهُ بِالْأَمْسِ

Maksudnya: “Kami menerima surat dari ‘Umar ketika kami berada di Khaniqin, berbunyi: ‘Sesungguhnya anak-anak bulan, sebahagiannya lebih besar daripada sebahagian yang lain, maka jika kamu melihat hilal pada waktu siang, jangan berbuka sehingga dua orang lelaki Muslim bersaksi bahawa mereka telah melihatnya pada malam sebelumnya’.”

Riwayat ‘Abd al-Razzaq (9431)

Dalam riwayat lain daripada Salim bin Abdullah bin ‘Umar R.A:

أَنَّ نَاسًا رَأَوْا هِلَالَ الْفِطْرِ نَهَارًا، فَأَتَمَّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا صِيَامَهُ إلَى اللَّيْلِ ، وَقَالَ: لَا، حَتَّى يُرَى مِنْ حَيْثُ يُرَى بِاللَّيْلِ

Maksudnya: “Sekelompok orang melihat anak bulan Aidilfitri pada waktu siang, maka Abdullah bin ‘Umar R.A terus berpuasa sehingga malam, dan berkata: ‘Tidak perlu (berbuka), sehingga ia dilihat pada waktu malam sebagaimana lazimnya’.”

Riwayat al-Baihaqi (8066)

Hadith-hadith yang mengaitkan puasa dan berbuka dengan penglihatan hilal merujuk kepada penglihatan pada malam hari, bukan siang hari. Kata Siddiq Hasan Khan, cerapan yang sah dari sudut hukum syara‘ adalah pada waktu malam, bukan pada waktu siang, dan ia tidak diambil kira walaupun dilihat sebelum atau selepas zuhur. Mereka yang menyanggah pandangan ini tidak memahami maqasid syari‘at dengan baik. Al-Laknawi berkata: “Ada yang berpendapat bahawa nampak anak bulan semata-mata, telah mengharuskan berbuka puasa, berdasarkan hadith (Berbukalah kerana melihatnya), tanpa dia membezakan antara siang dan malam. Namun mereka lupa bahawa yang dimaksudkan dalam hadith adalah kenampakan yang biasa, iaitu pada malam hari, bukan pada siang hari.” (Lihat al-Raudhah al-Nadiyyah Syarh al-Durari al-Nadiyyah, 2/11; al-Falak al-Dawwar fi Ru’yah al-Hilal bi al-Nahar, hlm. 9)

Syeikh Ibn ‘Uthaimin berkata: “Masuknya bulan hanya boleh dipastikan apabila anak bulan dilihat selepas matahari terbenam.” (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 16/301)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyimpulkan pandangan ulama dalam isu ini dan membahagikannya dalam 3 pandangan:

  • Tidak menerima kenampakan anak bulan kecuali selepas waktu Maghrib: Ini adalah pendapat Abu Hanifah, Muhammad dan ulama al-Syafi‘iyyah.
  • Ulama yang menerima kenampakan anak bulan pada siang hari: Ini pendapat ‘Ali R.A dan ‘Aisyah R.A , dan juga merupakan riwayat dari ‘Umar R.A. Namun, mereka membezakan antara waktu kenampakan:
  • Kelihatan sebelum gelincir matahari (Zuhur), maka ia dianggap anak bulan semalam.
  • Kelihatan selepas gelincir matahari (Zuhur), maka ia dianggap anak bulan malam yang akan datang kerana lebih hampir dan dekat dekat waktu Maghrib.
  • Ulama yang menerima kenampakan anak bulan pada waktu siang, dan anak bulan itu adalah bagi malam yang mendatang, sama ada kelihatan sebelum atau selepas waktu zuhur.

Ini adalah riwayat lain dari ‘Umar R.A, seperti yang diriwayatkan daripada anaknya Abdullah, juga pandangan Ibn Mas‘ud dan Anas R.A. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama. Di dalam al-Dur al-Muhtar dinyatakan: “Penglihatan anak bulan pada waktu siang adalah untuk malam yang akan datang, sama ada sebelum atau selepas waktu zohor.” Menurut Imam Malik di dalam al-Mudawwanah, sesiapa yang nampak anak bulan Syawal pada siang hari, maka jangan dia berbuka dan dia mesti sempurnakan puasanya. Ini kerana anak bulan yang dia nampak itu bagi malam yang mendatang.[1]

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, kebanyakan ulama bersetuju bahawa anak bulan yang dilihat pada siang hari, adalah dikaitkan dengan malam yang akan datang, dan bukan malam yang lalu. Para fuqaha bersepakat bahawa penentuan tarikh permulaan puasa dan hari raya adalah berdasarkan kenampakan anak bulan selepas waktu Maghrib pada hari ke-29 bulan tersebut. Ini kerana Maghrib adalah permulaan hari baru dalam takwim Islam.

Anak bulan yang kelihatan di siang hari tidak boleh dijadikan penentu bagi tarikh permulaan puasa mahupun hari raya kerana ia bertentangan dengan qaul muktamad dalam mazhab empat. Namun, dari sudut ilmu falak, ia boleh dijadikan data sokongan yang menyokong pergerakan anak bulan dan menjangka kenampakannya pada malam hari.

Kami juga mencadangkan saudara untuk mengajukan soalan ini kepada ahli dan pakar dalam ilmu falak, agar sebuah jawapan yang lebih teliti dan tuntas dapat dikeluarkan sebagai rujukan utama masyarakat Islam di Malaysia. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/4101, 25 Mac 2025.