Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato ceritakan tentang biografi Umar Abdul Aziz?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ulama’ ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

(Surah al-Sajdah: 24)

Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)

Ulama’ ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.

Ulama’ ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.

Ulama’ ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.

Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran: 18)

Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:

  • Dengan ilmu mereka.
  • Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
  • Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
  • Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
  • Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.

Ulama’ dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak seyogia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama’ ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati. Kami tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika kami berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal  (عمل) dan natijah daripada pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama‘ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42).

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.”

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50).

Biografi Umar Ibn Abdul Aziz

Nama sebenarnya ialah Umar Ibn Abdul Aziz bin Marwan bin al-Hakam bin Abi al-Ash bin Umayyah bin Abdu Syams bin Abdu Manaf. Beliau dilahirkan pada tahun 61H. Beliau merupakan sepupu kepada khalifah yang sebelumnya, Sulaiman Ibn Abdul Malik. Umar Ibn Abdul Aziz pernah dilantik sebagai Gabenor Madinah sejak pemerintahan Walid Ibn Abdul Malik, iaitu khalifah sebelum Sulaiman.

Umar sangat terkenal dengan sifat pemurah dan dermawan sehingga beliau meletakkan di hadapan rumahnya seribu genggam makanan setiap hari untuk diberi kepada fakir miskin. Beliau amat meyakini akan janji Allah di mana rezeki adalah di tangan-Nya.

Bapa Umar Ibn Abdul Aziz

Nama bapanya ialah Abdul Aziz bin Marwan bin al-Hakam bin Abi al-Ash bin Umayyah bin Abdu Syams bin Abdu Manaf. Beliau adalah antara kalangan para bangsawan Bani Umayyah dan mempunyai sifat yang berani lagi mulia.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Gabenor Mesir lebih daripada 20 tahun. Antara kewarakannya ialah apabila mahu berkahwin, beliau memohon daripada pembantunya untuk memilih 400 Dinar daripada harta yang baik kerana ingin berkahwin daripada keluarga yang baik.

Antara sifat Abdul Aziz ialah beliau amat menyukai akan urusan yang besar sama ada sebelum menjadi gabenor atau selepasnya. Begitu juga apabila beliau mengunjungi kota Mesir, beliau bercita-cita untuk menjadi gabenor dan akhirnya beliau dilantik memegang jawatan tersebut.

Ibu Umar Ibn Abdul Aziz

Ibunya pula bernama Ummu Asim binti Asim bin Umar bin al-Khattab RA. Beliau lahir daripada keturunan yang mulia. Ibunya bernama Jamilah binti Thabit bin Abi al-Aqlah al-Ansariyyah.

Saudara-mara Umar Ibn Abdul Aziz

Mengikut sejarah, Abdul Aziz bin Marwan mempunyai sepuluh orang anak:

Daripada isterinya yang bernama Laila binti Asim, beliau dikurniakan Umar, Abu Bakar, Muhammad dan Asim.

Daripada isteri yang lain pula, beliau mendapat anak yang bernama al-Asbagh, Sahl, Suhail, Ummu al-Hakam, Zabban dan Ummu al-Banin.

Anak-anak Umar Ibn Abdul Aziz

Umar Ibn Abdul Aziz mempunyai 14 orang anak lelaki iaitu: Abdul Malik, Abdul Aziz, Abdullah, Ibrahim, Ishaq, Yaakub, Bakar, al-Walid, Musa, Asim, Yazid, Zabban, Zayyan dan Abdullah. Manakala tiga anak perempuannya pula bernama: Aminah, Ummu Ammar dan Ummu Abdullah.

Walaupun begitu, mengikut pendapat Ibn Jauzi, anak lelaki beliau ialah seramai 12 orang, manakala anak perempuan beliau pula seramai 6 orang.

Dikatakan ketika wafatnya Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz, beliau hanya meninggalkan harta pusaka dalam kuantiti yang amat sedikit. Dikhabarkan bahawa setiap anak lelaki beliau hanya berhak mendapat 19 dirham sahaja, sedangkan anak-anak Hisyam Ibn Abdul Malik apabila mangkat ayahanda mereka, setiap orang memperolehi hampir sejuta dirham.

Tetapi, hanya selang beberapa tahun sahaja, masyarakat melihat anak-anak Umar Ibn Abdul Aziz membawa lebih 100 ekor kuda untuk digunakan sebagai jihad fi sabilillah, sedangkan anak-anak Hisyam Ibn Abdul Malik pula dilihat hidup merempat dan meminta sedekah di jalanan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”