Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah terkena najis seperti darah, tahi cicak dan seumpamanya membatalkan wuduk? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]
Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]
Mukadimah
Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan.[3]
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib.[4]
Perkara-perkara yang membatalkan wuduk
Di dalam al-Fiqh al-Manhaji[5] disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:
- Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
- Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
- Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
- Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
- Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.
Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama.[6]
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa terkena najis tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk. Oleh itu, wuduk seseorang yang terkena najis masih sah dan tidak perlu mengulanginya. Walau bagaimanapun, jika dia ingin mendirikan solat, maka perlulah dipastikan bahawa pakaian atau tempat yang terkena najis itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mendirikan solat. Hal ini kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah al-Ma’idah: 6
[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61.
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53.
[4] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82.
[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/62-63.
[6] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113.
Assalamualaikum,
Ustaz,saya ada pertanyaan berkenaan dengan wuduk saya ini.Lebih kurang 4 tahun yang lalu saya mengalami buasir yang teruk,pendarahan tidak berhenti.sampai suatu ketika saya terpaksa membuat pembedahan untuk membuang buasir saya ini.Alhamdulillah telah pun selesai,Tetapi saya sampai ke sekarang ini masih letak kapas di luar dubur saya ini ,Untuk tahu adakah najis atau pun darah masih keluar dari dubur saya ini,selepas berwuduk dan selepas selesai solat dan saya akan tengok dikapas itu ada najis atau pun tidak.Jika ada najis saya akan tukar kapas tersebut dan basuh dubur,selepas itu letakkan kapas yang baru dan mengambil wuduk semula,(jika tiada najis,saya akan letak kan balik kapas tersebut.Adakah batal wuduk saya untuk tengok dikapas tersebut)saya betul2 buntu sekarang ini.maafkan saya ustaz.TERIMA KASIH USTAZ