Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh dato ceritakan kisah seorang yang kuat beribadat kepada Allah SWT?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pujangga Arab menyebut:
فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ فإنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ
“Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,
Kerana mencontohi orang yang mulia itu membawa kemenangan.
Kisah Silah bin Ashyam
Terdapat seorang tokoh tabi’in dari kota Basrah yang bernama Silah bin Ashyam al-‘Adawi Rahimahullah. Beliau memiliki semangat yang sangat tinggi dalam beribadah dan berjihad hingga Imam al-Zahabi Rahimahullah mengatakan bahawa beliau adalah seorang zahid dan abid.
Silah mengisi malam-malamnya dengan solat malam. Bahkan tatkala melakukan pelayaran musafir sekalipun.
Diriwayatkan daripada Hammad bin Ja’far bin Zaid bahawa bapanya, Ja’far bin Zaid, pernah menceritakan kisah Silah bin Ashyam Rahimahullah seperti berikut:
Ketika kami menuju ke kota Kabul dalam sebuah peperangan, termasuklah salah seorangnya adalah Silah bin Ashyam. Silah sememangnya terkenal sebagai seorang ahli ibadah. Tatkala datang waktu solat Isyak, kami pun singgah di suatu tempat untuk berehat dan solat. Aku pun lantas berbisik di dalam hatiku, “Sungguh aku ingin mengetahui amalan yang dilakukan oleh Silah.”
Setelah tiba di tempat tersebut, kami pun menunaikan solat Isyak. Kemudian kami berehat kerana keletihan setelah melakukan perjalanan.
Aku memanfaatkan kesempatan ini. Aku segera mencari Silah. Ketika pasukan tentera tidur, saat itulah Silah bangkit. Beliau lalu masuk menuju suatu tempat yang agak terpencil dan jauh daripada orang ramai untuk melakukan solat.
Subhanallah, Silah melakukan hal tersebut supaya tidak diketahui oleh orang lain. Ini menandakan ikhlasnya beliau beribadat.
Aku pun memerhatikannya dari belakang tanpa pengetahuan beliau. Apabila tiba di tempat yang sunyi, Silah lalu berwuduk dan mula mengerjakan solat sehingga tenggelam khusyuk dalam solatnya. Tiba-tiba muncul seekor singa dari arah hutan itu. Aku pun terkejut dan menjadi sangat panik lalu aku memanjat pokok untuk menyelamatkan diri.
Singa itu terus berjalan dan mendekati beliau. Beliau tidak menoleh sedikitpun kepada singa tersebut. Padahal jaraknya sudah begitu dekat. Tatkala beliau sujud, aku pun berkata dalam hatiku, “Sekarang dia pasti dibaham”.
Anggapanku adalah salah. Beliau masih asyik solat sehingga duduk tasyahud sampailah solatnya selesai. Ketika itulah Silah berkata kepada singa itu, “Wahai singa, carilah rezeki di tempat lain!” Singa itu pun pergi dan terus mengaum seraya naik ke atas pergunungan.
Keesokan harinya di waktu Subuh, Silah memuji Allah SWT dengan berbagai-bagai pujian yang belum pernah aku dengar. Beliau mengatakan, “Ya Allah aku memohon kepada-Mu agar menyelamatkanku dari api neraka. Namun, layakkah orang seperti aku ini meminta kepada-Mu agar dimasukan ke dalam syurga?”
Kemudian setelah itu beliau kembali ke pasukan seolah-olah baru saja tidur di atas perbaringan.
Sementara aku sangat penat dan lelah kerana kejadian semalam yang membuatku tidak tidur. Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui keadaanku.
Demikianlah salah satu potret ibadah dalam musafir beliau.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah, semoga Allah mempermudah segala urusan kita.
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”