Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca tentang hudnah, boleh dato terangkan sedikit tentangnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Anfal:61)
Ibn Kathir menyatakan bahawa: jika mereka cenderung kepada keamanan, perjanjian damai, dan gencatan senjata), maka, terimalah perdamaian tersebut dan setujuilah syarat-syaratnya. Oleh sebab itu, ketika kaum musyrikin pada tahun Perjanjian Hudaibiyah meminta perjanjian damai dan menghentikan peperangan antara mereka dengan Rasulullah SAW selama sembilan tahun, maka Baginda menerimanya, meskipun mereka menetapkan beberapa syarat lain dalam perjanjian tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/83)
Takrif dan Definisi Hudnah
Dari segi bahasa Hudnah berasal daripada kata “هَدَنَ يَهْدِنُ هُدُوناً” bermaksud menjadi tenang atau redha. Kata kerja هَدَنَهُ pula membawa maksud menenangkan sesuatu atau seseorang dan boleh digunakan secara transitif serta intransitif. Manakala, هَادَنَهُ bermaksud berdamai dengannya, dan kata nama yang terbit daripadanya ialah الهُدْنَةُ (hudnah). Dalam peribahasa Arab, ungkapan “هُدْنَةٌ على دَخَنٍ” digunakan untuk menggambarkan ketenangan yang hanya bersifat luaran tetapi sebenarnya masih diselubungi dendam atau kebencian yang tersembunyi. (Lihat Tajdid al-Sihah, hlm.429)
Hudnah, juga disebut sebagai muwada‘ah, mu‘ahadah, dan musalamah, ialah perjanjian damai. Dalam bahasa, ia bermaksud perdamaian.
Dari segi syarak, para fuqaha daripada mazhab 4 mentakrifkannya dengan beberapa takrifan iaitu:
Hanafi: Perdamaian untuk menghentikan peperangan bagi suatu tempoh, sama ada dengan bayaran atau tanpa bayaran, sekiranya imam melihat terdapat kemaslahatan dalam hal tersebut. (Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah, 2/196, al-Ikhtiyar, 4/120, Tuhfah al-Fuqaha’, 3/404)
Maliki: Perjanjian yang dibuat oleh seorang Muslim dengan pihak yang berperang (harbi) untuk berdamai bagi suatu tempoh tertentu, di mana pihak tersebut tidak berada di bawah kekuasaan Islam dalam tempoh itu. (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/269, Mawahib al-Jalil, 3/360)
Syafi’i:Hudnah ialah perjanjian damai dengan golongan yang berperang (Ahl al-Harb) untuk menghentikan peperangan bagi suatu tempoh tertentu, sama ada dengan bayaran pampasan atau tanpa pampasan, tanpa mengira sama ada mereka diakui dalam agama mereka atau tidak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/260, Nihayah al-Muhtaj, 8/100, Tuhfah al-Muhtaj, 9/304)
Hanbali: Perjanjian yang dibuat oleh imam atau wakilnya untuk menghentikan peperangan dengan golongan bukan Islam bagi suatu tempoh yang ditentukan, mengikut keperluan. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/585, Kassyaf al-Qina‘, 3/111)
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang Hudnah ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Hudnah dalam Perspektif Islam, di aplikasi al-Inarah.
Sebagai penutup, marilah kita berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada mereka yang ditindas dan membimbing umat Islam dalam menegakkan keadilan serta keamanan sejagat:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)