Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah konsep rumah tangga menurut Islam? Mohon pencerahan Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT di dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Konsep Rumah Tangga dalam Islam
Dalam Islam, rumahtangga merupakan sebuah institusi sosial, ia adalah satu amanah dan ibadah yang berteraskan kasih sayang, ketenangan, serta mawaddah wa rahmah sebagaimana yang digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Perkahwinan bukan hanya penyatuan dua individu, tetapi juga satu tanggung jawab besar dalam membina generasi yang berakhlak dan bertakwa. Islam menetapkan asas-asas kukuh dalam rumahtangga, termasuk hak dan kewajipan suami isteri, keadilan, serta penyelesaian konflik berdasarkan prinsip syariah.
Allah SWT berfirman:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Rum: 21)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)
Oleh itu, Kehidupan berumahtangga dibina atas asas kerjasama dan keseimbangan dalam memenuhi tanggung jawab masing-masing. Ia berlandaskan hak, kewajipan, dan adab yang perlu dipelihara bagi menjamin kebahagiaan keluarga serta mengekalkan keharmonian antara pasangan. Berikut adalah beberapa asas utama yang menjadi tunjang dalam membina rumahtangga yang kukuh dan diredhai Allah SWT:
Pertama: Pergaulan yang baik
Dalam Islam, pergaulan yang baik antara suami dan isteri merupakan asas utama dalam membina rumahtangga yang harmoni dan bahagia. Islam menekankan konsep “al-Mua’syarah bi al-Ma‘ruf” iaitu bergaul dengan cara yang baik, penuh kasih sayang, penghormatan, dan toleransi. Hubungan yang dibina atas dasar akhlak yang mulia bukan sahaja memperkukuhkan ikatan perkahwinan, tetapi juga mencerminkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan berumahtangga. Allah SWT berfirman:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”
(Surah al-Nisa’:19)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)
Kedua: Memikul tanggungjawab oleh kedua-dua pasangan
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ عَلَيْهِمْ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالمرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya, pemerintah yang memegang urusan manusia adalah pemimpin ke atas mereka dan bertanggungjawab keatas mereka, seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarganya dan dia bertanggungjawab keatas mereka, seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya serta anaknya dan dia bertanggungjawab ke atas mereka, seorang hamba adalah pemimpin ke atas harta majikannya dan dia bertanggungjawab ke atas harta itu. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya.”
Riwayat al-Bukhari (2554) dan Muslim (1829)
Penjagaan seorang suami ialah menanggung tanggungjawab dalam mengurus rumah tangganya serta memberikan setiap individu hak mereka dengan adil. Manakala penjagaan seorang isteri terhadap rumah tangganya ialah dengan mengurus rumahnya, serta memberikan nasihat kepada suami dan anak-anaknya. (Lihat Fath al-Bari, hlm.113)
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang gangguan rumahtangga ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Mengganggu Isteri Orang Menurut Islam, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami.”