Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah syarat-syarat sah hudnah? Mohon pencerahan Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Anfal:61)
Ibn Kathir menyatakan bahawa: jika mereka cenderung kepada keamanan, perjanjian damai, dan gencatan senjata), maka, terimalah perdamaian tersebut dan setujuilah syarat-syaratnya. Oleh sebab itu, ketika kaum musyrikin pada tahun Perjanjian Hudaibiyah meminta perjanjian damai dan menghentikan peperangan antara mereka dengan Rasulullah SAW selama sembilan tahun, maka Baginda menerimanya, meskipun mereka menetapkan beberapa syarat lain dalam perjanjian tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/83)
Syarat-Syarat Sah Hudnah
Para fuqaha telah menggariskan beberapa syarat utama yang mesti dipenuhi agar sesuatu perjanjian damai dianggap sah dan tidak bercanggah dengan prinsip syarak. Syarat-syarat ini merangkumi aspek pihak yang berhak mengadakan hudnah, tempoh yang dibenarkan, serta kandungan perjanjian yang tidak boleh menjejaskan kepentingan umat Islam. Antara syarat-syarat tersebut adalah:
Hudnah mesti diakadkan dengan musuh oleh imam atau wakilnya. Jika ia melibatkan suatu wilayah, maka gabenor wilayah tersebut juga boleh mengakadkannya bagi pihak kawasan tersebut.
Hudnah mesti diakadkan demi kemaslahatan Islam, dan tidak memadai sekadar ketiadaan kemudaratan, seperti dalam akad jizyah, kerana tidak wujud maslahat dalam berdamai dengan musuh tanpa sebab yang jelas. Allah SWT berfirman:
فَلَا تَهِنُوا وَتَدْعُوا إِلَى السَّلْمِ وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ وَاللَّهُ مَعَكُمْ وَلَن يَتِرَكُمْ أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: “(Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Ia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu.”
(Surah Muhammad:35)
Maslahat yang dimaksudkan termasuklah keadaan kelemahan umat Islam disebabkan bilangan yang sedikit atau kekurangan persiapan, harapan agar musuh memeluk Islam, kesediaan mereka membayar jizyah, atau keperluan lain seperti bantuan mereka kepada imam dalam menghadapi musuh yang lain. Rasulullah SAW pernah mengadakan perjanjian damai dengan Safwan bin Umayyah selama empat bulan pada tahun Pembukaan Kota Makkah dengan harapan dia akan memeluk Islam, dan ternyata dia akhirnya memeluk Islam sebelum tempoh tersebut berakhir.
Hudnah mesti ditetapkan dengan tempoh tertentu, tidak boleh bersifat kekal, berterusan, atau tanpa had masa. Menurut mazhab Syafi‘i, tempoh yang dibenarkan adalah empat bulan dan bukan satu tahun, berdasarkan firman Allah SWT:
بَرَاءَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدتُّم مِّنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿١﴾ فَسِيحُوا فِي الْأَرْضِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ ۙ وَأَنَّ اللَّهَ مُخْزِي الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka). Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat).”
(Surah al-Taubah:1-2)
Hudnah dibolehkan dalam keadaan umat Islam berada dalam keadaan lemah dengan tempoh maksimum sepuluh tahun atau kurang, mengikut keperluan, tetapi tidak boleh melebihi sepuluh tahun. Ini kerana tempoh tersebut merupakan had maksimum bagi perjanjian hudnah, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah, di mana Baginda mengadakan perjanjian damai dengan Quraisy selama sepuluh tahun, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Dawud. Perjanjian ini berlaku sebelum Islam mencapai kekuatan yang kukuh.
Perjanjian hudnah mesti bebas daripada syarat yang fasid (tidak sah), seperti jika pihak musuh mensyaratkan agar tawanan Muslim tidak dibebaskan, harta umat Islam yang mereka rampas dibiarkan menjadi milik mereka, memberikan jaminan perlindungan kepada mereka dengan bayaran kurang daripada satu dinar bagi setiap individu, memberikan harta kepada mereka tanpa sebarang keperluan mendesak, atau melepaskan sebahagian daripada kewajipan mereka terhadap umat Islam, negara Islam, atau agama Islam. Mana-mana syarat yang termasuk dalam kategori ini membatalkan perjanjian hudnah dan menjadikannya tidak sah. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 8/5876)
Sebagai penutup, marilah kita berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada mereka yang ditindas dan membimbing umat Islam dalam menegakkan keadilan serta keamanan sejagat:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)