Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ulama?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.”
(Surah Fatir: 28)
Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/332)
Definisi Ulama
Sering kali kita dengar masyarakat menggelarkan seseorang sebagai ulama atau orang alim, kadang-kadang masyarakat sendiri keliru jika ditanya siapakah mereka yang dianggap ulama. Tanpa definisi yang tepat, kita khuatir ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memperdaya masyarakat. Malahan, masyarakat juga akan mudah memberikan gelaran ulama kepada sesiapa yang dirasakan sesuai pada hemat mereka.
Dalam bahasa Arab, ulama adalah kata jamak bagi ‘alim, yang bermaksud seorang yang berilmu. Lawan bagi ‘alim adalah jahil. Jika seseorang itu benar-benar ‘alim, dia digelar dengan gelaran ‘allam atau ‘allamah. (Lihat Lisan al- ‘Arab, hlm. 371)
Dari sudut istilah, kita akan temui pelbagai definisi ulama yang diberikan, dan saling berkait antara satu sama lain. Antaranya adalah:
Kata Ibn Qayyim, ulama adalah golongan ahli fiqh Islam di mana fatwa-fatwa seringkali dikeluarkan menerusi kata-kata dan pendapat mereka. Mereka berkeahlian dalam mengeluarkan hukum dan memelihara dengan tegas kaedah-kaedah halal dan haram. Mereka di bumi umpama bintang-bintang di langit. Melalui mereka, manusia yang keliru mendapat petunjuk. Keperluan manusia kepada mereka pula melebihi keperluan kepada makan dan minum. (Lihat I`lam Al-Muwaqqi’in `An Rab Al-`Alamin, 1/18)
Kata Ibn al-Jinni sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn al-Manzur, ulama adalah sifat bagi orang berilmu, disebabkan lamanya mereka bergelumang dengan ilmu sehingga ilmu itu seolah-olah menjadi darah dagingnya. (Lihat Lisan al- ‘Arab, hlm. 371)
Ibn al-Manzur berkata, ulama adalah mereka yang beramal dengan apa yang diketahuinya. (Lihat Lisan al- ‘Arab, hlm. 370)
Ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia, seperti kata al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan (3/327).
Ulama ialah yang mengenali syariat Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah.
Ulama juga adalah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(Surah al-Sajdah: 24)
Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)
Betapa mulianya kedudukan para ulama sehinggakan penyaksian ketauhidan juga disebut peranan para ulama. Firman Allah SWT:
شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Ali Imran: 18)
Ibn Kathir berkata: Allah menghubungkan penyaksian para malaikat dan orang-orang berilmu dengan penyaksian-Nya sendiri, sebagaimana firman-Nya: “Allah bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Dia, begitu juga para malaikat dan orang-orang yang berilmu.” Hal ini merupakan penghormatan yang besar bagi para ulama dalam konteks ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/72)
Bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya ialah melalui keluasan ilmunya, ketelitiannya dalam hal syubhah, dakwah dan jihadnya, ibadahnya, kezuhudannya, dan pengakuan daripada para ulama’ lain.
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang nasihat kepada pemerintah ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk:Nasihat kepada Pemerintah: Fiqh, Hikmah & Realiti Semasa, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”