Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kongsikan berkenaan beberapa mauqif (Pendirian) Syeikh Abu Zahrah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.”
(Surah Fatir: 28)
Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/332)
Definisi Ulama’
Ulama’ ialah yang mengenali syariah Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah.
Ulama’ ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia, seperti disebutkan oleh al-Tabari dalam Jami‘ al-Bayan (3/327).
Ulama’ ialah ahli fiqh Islam dan fatwa berkisar daripada pendapat mereka di kalangan manusia yang mana mereka dikhususkan untuk istinbat hukum dan begitu prihatin dalam mendhabitkan qawaid halal daripada yang haram. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/7).
Ulama’ ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(Surah al-Sajdah: 24)
Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)
Ulama’ ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.
Ulama’ ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.
Ulama’ ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.
Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Ali ‘Imran: 18)
Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:
- Dengan ilmu mereka.
- Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
- Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
- Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
- Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.
Ulama’ dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak seyogia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”
Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama’ ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati. Kami tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika kami berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal (عمل) dan natijah daripada pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama‘ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42).
Mauqif (Pendirian) Syeikh Abu Zahrah
Syeikh Muhammad Abu Zahrah mempunyai pendirian yang tegas dan mauqif yang luar biasa dalam isu-isu Islam dan amat teguh dalam mempertahankannya sekalipun dicela oleh sekelompok orang yang tidak berpuas hati dengannya. Antaranya:
Mempertahankan pandangannya terutamanya dalam isu Fiqh.
Ini kerana kurniaan Allah kepadanya dengan kekuatan hujah dan suaranya yang kuat, serta mata pena yang tajam. Beliau juga berani menyuarakan kebenaran tanpa rasa gentar sedikit pun. Inilah yang menyebabkan khalayak masyarakat memandang tinggi kepadanya dan pandangannya didengari.
Pendiriannya terhadap tanah air dan Islam.
Beliau turut bersama dengan gerakan untuk memerdekakan Mesir dari belenggu penjajah. Ini dapat dilihat melalui penglibatannya bersama dengan Harakah Wataniyyah sejak 1915 dan ikut serta dalam barisan gerakan pembebasan Mesir.
Pendiriannya terhadap Qaumiyyah Islamiyyah.
Hal ini boleh dilihat dalam pendiriannya seperti dalam isu Algeria yang dijajah oleh Perancis, Libya yang dijajah oleh Itali, Palestin yang dijajah oleh Inggeris dan Yahudi, Kashmir dan lain-lain lagi. Disebabkan sikapnya itu, beliau sentiasa ditekan. Presiden Anwar Sadat banyak kali berkrisis dengannya dalam isu perdamaian dengan Yahudi. Sekalipun Presiden memuji Syeikh Abu Zahrah, tetapi dalam masa yang sama, dia mengadu kepada Menteri Wakafnya, Dr Zakaria al-Barri, tentang dua tokoh utama iaitu Syeikh Abu Zahrah dan Dr ‘Abd al-Halim Mahmud.
Pendiriannya terhadap penulis di mana mata penanya beracun dan pemikirannya menyeleweng.
Beliau amat menentang kumpulan ini sehingga akhirnya beliau ditohmah dan dicerca. Bahkan, ada yang menentangnya adalah dari kalangan anak muridnya sendiri.
Pendiriannya terhadap golongan orientalis.
Beliau pernah dijemput menghadiri Nadwah Islam di Lahore pada tahun 1957. Kebanyakan yang hadir adalah dari kalangan Orientalis Yahudi dan pendokong mereka. Dalam majlis tersebut ada yang mengingkari sunnah, azab kubur dengan bersandarkan, “اخْتِلَافُ أُمَّتِي رَحْمَةٌ”. Ada yang berpendapat al-Quran bukan kitab hukum. Ada berpendapat ijma‘ tiada melainkan ijma‘ dalam majlis parlimen sahaja. Kesemua ini menyebabkan Syeikh Abu Zahrah bingkas bangun dan membantah fahaman-fahaman tersebut dengan hujah yang kuat dan beliau disokong oleh Mustafa Mubarak, Mustafa al-Zarqa’, Umar Bahauddin al-Amiri. Disebabkan kelantangannya itu, golongan orientalis tersebut mencelanya. Lantas Syeikh dengan tegas berkata: “Sekiranya ucapan kami ini membawa kemarahan kepada penyembah orientalis daripada Amerika, ya Allah tambahkanlah kepada mereka kemarahan ke atas kami, kerana kami tahu kemarahan mereka merupakan redha bagi Kamu!” (Lihat Muhammad Abu Zahrah, hlm. 87-91)
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang Syeikh Muhammad Abu Zahrah ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Biografi Syeikh Muhammad Abu Zahrah, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”