Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sebab terjadinya penunggang agama?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ (15) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin mendapatkan ganjaran duniawi dan perhiasannya, pasti Kami balas hasil usaha mereka di dunia dengan sempurna tanpa sedikit pun ada kekurangan. Merekalah orang yang tidak ada balasan pada hari akhirat kelak selain daripada api neraka. Dan apa sahaja yang mereka usahakan di dunia menjadi sia-sia dan terbatallah apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah Hud: 15-16)
Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan, sesiapa yang melakukan amal soleh seperti puasa, solat, atau tahajjud pada waktu malam, tetapi hanya dilakukan semata-mata untuk tujuan duniawi, Allah berfirman yang bermaksud: “Berikanlah balasan kepadanya untuk apa yang dia minta dalam dunia, dan amalannya yang dia lakukan semata-mata untuk tujuan duniawi itu akan menjadi sia-sia. Dan dia termasuk golongan yang rugi di akhirat.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/347).
Sebab Wujudnya Penunggang Agama
Secara umumnya, terdapat beberapa sebab utama yang membawa kepada penunggang agama, antaranya:
- Hilangnya ilmu dan kejahilan berleluasa.
- Tiada orang alim dan dilantik penguasa yang jahil.
- Ilmu diambil daripada bukan ahlinya.
- Taasub dan melampau (ghuluw).
- Takabbur dan merasa kagum kepada diri sendiri.
Kami perincikan sebab-sebabnya sebagaimana berikut:
Pertama: Hilangnya Ilmu dan Kejahilan Berleluasa
Antara tanda-tanda Kiamat adalah hilangnya ilmu dan tersebarnya kejahilan dan kebodohan. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ
Maksudnya: “Antara tanda-tanda Kiamat adalah hilangnya ilmu dan tetapnya kebodohan.”
Riwayat al-Bukhari (80) dan Muslim (2671)
Dalam riwayat lain, daripada Syaqiq, katanya: “Aku pernah bersama ‘Abdullah dan Abu Musa, kedua-duanya berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ لأَيَّامًا يَنْزِلُ فِيهَا الْجَهْلُ وَيُرْفَعُ فِيهَا الْعِلْمُ
Maksudnya: “Sesungguhnya menjelang tibanya hari Kiamat, akan ada beberapa hari di mana diturunkan kejahilan dan dihilangkan ilmu.”
Riwayat al-Bukhari (7062)
Abu Hurairah R.A pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَتَقَارَبُ الزَّمَانُ وَيُقْبَضُ الْعِلْمُ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ
Maksudnya: “Zaman semakin mendekat, ilmu dihilangkan, pelbagai fitnah mula bermunculan.”
Riwayat al-Bukhari (6037) dan Muslim (158)
Ibn Battal menjelaskan: “Semua yang terkandung dalam hadith ini termasuk daripada tanda-tanda Kiamat yang kita telah saksikan dengan jelas, ilmu telah berkurang, kebodohan semakin jelas, kebakhilan dicampakkan ke dalam hati, fitnah tersebar dan banyak berlaku pembunuhan.” (Lihat Fath al-Bari, 13/16)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, apa yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah perkara-perkara tersebut menjadi dominan sehingga tidak ada yang tidak demikian melainkan sangat jarang. Inilah yang ditunjukkan oleh hadith dengan ungkapan “dicabutnya ilmu.” Maka yang tinggal; hanyalah sebenar-sebenar kejahilan dan kebodohan. Akan tetapi, hal tersebut tidak menutup kemungkinan adanya para ulama, kerana mereka pada ketika itu adalah orang yang tidak dikenali di tengah-tengah masyarakat. (Lihat Fath al-Bari, 13/16)
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang penunggang agama ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Penunggang Agama, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”