Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah cara membersihkan jilatan babi dan adakah terdapat khilaf dalam hal ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih.[1] Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”[2]

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi.[3] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’[4]

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya.[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama berbeza pendapat mengenai cara membersihkan jilatan babi. Mengenai hal ini, al-Syirazi ada menukilkan daripada Ibn al-Qas bahawa Imam al-Syafi‘i berpendapat dalam pendapatnya yang qadim, jilatan babi hanya dibasuh dengan sekali basuhan sahaja. Sedangkan seluruh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, jilatan babi perlu kepada tujuh kali basuhan — sebagaimana jilatan anjing. Pendapat Imam Syafi‘i yang qadim itu bersifat mutlak kerana beliau hanya menyebutkan ‘dibasuh’ dan makna yang dikehendaki daripadanya adalah tujuh kali basuhan. Dalil yang menunjukan kepada perkara ini adalah kerana babi lebih buruk halnya berbanding anjing. Justeru, ia lebih utama dari segi hukum bilangan basuhan.[6]

Seterusnya Imam al-Nawawi ketika mengulas kenyataan al-Syirazi ini menyatakan, hasilnya berkenaan jilatan babi ini terdapat dua jalan. Jalan (tariqah) yang pertama ialah jalan Ibn al-Qas dan ia mengandungi dua pendapat. Pendapat pertama, cukup dengan hanya sekali basuhan tanpa tanah sebagaimana najis-najis yang lain — yakni najis mutawassitah. Pendapat kedua, wajib dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Manakala jalan kedua pula, wajib membasuh dengan tujuh kali basuhan secara qat‘i dan ini merupakan pendapat jumhur ulama dan mereka telah mentakwilkan perkataan Imam al-Syafi‘i dalam fatwanya yang qadim itu sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang al-Muhazzab — yakni al-Syirazi.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa pendapat yang rajih (kuat) dari sudut dalil ialah jilatan babi cukup dengan sekali basuhan tanpa tanah. Inilah pendapat majoriti ulama yang berpendapat dengan kenajisan babi. Inilah pendapat yang dipilih kerana hukum asalnya adalah tiada kewajipan — untuk membasuhnya sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah — sehinggalah datangnya dalil syar‘i yang menyebutkannya. Lebih-lebih lagi perkara ini dibina di atas dasar ta‘abbudi. Di antara ulama yang berpendapat wajib membasuh sebanyak tujuh kali juga ialah Imam Ahmad dan Malik dalam salah satu riwayat daripadanya.[7]

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap hadith Sahih Muslim juga ada menyebutkan, kebanyakan ulama berpendapat najis babi tidak perlu kepada basuhan sebanyak tujuh kali (sebagaimana anjing). Ini adalah pendapat Imam al-Syafi‘i dan merupakan pendapat yang kuat berdasarkan dalil.[8] Di samping itu, pendapat ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Ibn al-‘Uthaimin sebagaimana yang dinyatakan dalam kitabnya bahawa para fuqaha menyandarkan kenajisan babi kepada kenajisan anjing kerana babi itu adalah lebih buruk daripada anjing. Justeru, ia lebih aula (utama) dengan hukum tersebut – yakni basuhan sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah. Walau bagaimanapun, qiyas ini adalah dhaif (lemah) kerana babi disebutkan di dalam al-Quran dan wujud pada zaman Nabi SAW. Namun, tidak terdapat penyandarannya kepada anjing. Oleh itu, pendapat yang sahihnya, najisnya adalah sepertimana najis yang lain — yakni daripada jenis mutawassitah — dan ia dibersihkan sebagaimana dibersihkan najis-najis yang lain.[9]

Manakala Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali berpendapat apa-apa yang menjadi najis disebabkan oleh sentuhan sesuatu berupa air liur, kencing atau seluruh cecair, atau anggota-anggota yang kering jika bersentuhan dalam keadaan basah dan lembap, daripada anjing atau babi, dan haiwan yang lahir daripada keduanya atau salah satunya dengan haiwan yang suci, hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhannya itu dengan tanah yang suci berdasarkan hadith yang menyebutkan berkenaan cara mencuci jilatan anjing. Lalu diqiyaskan babi dengan anjing kerana ia lebih buruk halnya berbanding anjing kerana terdapat nas dalam syarak yang menyebutkan mengenai pengharaman babi dan tidak boleh memilikinya. Oleh itu, sabitlah hukum mengenainya berdasarkan jalan al-Tanbih. Adapun syarak tidak menyebutkan mengenai hukum itu kerana ia bukanlah suatu yang menjadi kebiasaan bagi mereka — yakni dengan babi berbanding anjing yang digunakan untuk memburu, menjaga tanaman dan lain-lain.[10]

Selain daripada itu, al-Mawardi juga ada menjelaskan bahawa babi lebih buruk halnya berbanding anjing kerana diharamkan untuk mengambil manfaat daripadanya dalam setiap keadaan, sedangkan terdapat keadaan di mana diberi keizinan untuk menggunakan dan mengambil manfaat dengan anjing. Kemudian, anjing itu terbukti dihukumkan sebagai najis berdasarkan dalil-dalil yang ditunjukkan. Maka, menghukumkan babi sebagai najis adalah lebih utama. Seterusnya, apabila telah sabit bahawa babi itu adalah najis secara zatnya, maka jilatannya adalah seperti mana jilatan anjing dari segi kewajipan untuk membasuhnya sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah.

Abu Thaur meriwayatkan daripada Imam al-Syafi‘i dalam pendapat qadimnya bahawa beliau berpendapat, bekas yang dijilat oleh babi hendaklah dibasuh. Lalu Abu al-Abbas bin al-Qas telah tersilap dalam memahami kenyataan Imam al-Syafi‘i ini yang bersifat mutlak tanpa menyebut bilangan basuhan, membuatkan beliau mengeluarkan pendapat kedua bagi Imam al-Syafi‘i dalam pendapat qadimnya bahawa jilatan babi hanya dibasuh sekali sahaja. Ini ialah satu kesilapan daripadanya kerana Imam al-Syafi‘i dalam pendapat qadim menyebutkan berkenaan kewajipan membasuh bekas yang dijilat oleh babi dan tidak mengikatnya dengan menyebut apa-apa bilangan kerana hal itu sudah diketahui dalam mazhabnya serta dijelaskan dalam seluruh kitabnya bahawa jilatan babi dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah sebagaimana jilatan anjing.

Bahkan Imam al-Syafi‘i ada membawa hujah bahawa babi lebih buruk halnya berbanding anjing dari dua sudut penghujahan. Pertamanya, kenajisan babi adalah berdasarkan kepada nas, sedangkan kenajisan anjing adalah berdasarkan kepada istidlal. Keduanya, pengharaman daripada mengambil manfaat dengan babi adalah bersifat umum, manakala pengharaman mengambil manfaat dengan anjing pula bersifat khusus. Adapun perkataannya ‘babi diqiyaskan dengan anjing’ bermaksud dari segi hukum membasuh bekas yang dijilatnya sebanyak tujuh kali dan bukannya dari segi hukum kenajisannya.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa jilatan babi termasuk dalam ketegori najis mughallazah sebagaimana jilatan anjing. Justeru, ia hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya dengan tanah kerana babi halnya adalah lebih buruk berbanding anjing, maka ia lebih utama untuk dibasuh sebagaimana cara basuhan bagi membersihkan kenajisan anjing. Selain itu, ini juga merupakan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i, dan pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ahwat) dalam isu ini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302.

[2] Surah al-Ma’idah: 3

[3] Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77.

[4] Surah al-An‘am: 145

[5] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141.

[6] Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, hlm. 95.

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/586.

[8] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185-186.

[9] Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 1/418.

[10] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/333-334.

[11] Lihat al-Hawi al-Kabir, 1/316.

Leave a Reply