Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah pandangan para ulama berkenaan mengganggu rumah tangga orang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT di dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Pandangan Ulama Kontemporari dan Badan Berautoriti Berkaitan takhbib
Para ulama telah memberikan perhatian serius terhadap isu ini, dengan mengklasifikasikan takhbib sebagai dosa besar yang membawa implikasi hukum dalam fiqh Islam. Antara pandangan yang dikemukakan adalah:
Pertama: Syeikh ‘Ali Jum’ah
Lelaki yang memandang isteri orang lain dengan pandangan penuh niat jahat, lalu menginginkannya dan berusaha meruntuhkan rumah tangga mereka, maka perbuatannya itu dikira sebagai suatu bentuk kerosakan di muka bumi. Allah SWT berkemungkinan akan membalasnya dengan perbuatan yang serupa dengan apa yang telah dilakukannya.
Kedua: Syeikh Bin Baz
Perbuatan seorang rakan yang menggoda isteri seseorang dan merosakkan hubungan rumah tangganya adalah tidak dibenarkan, bahkan ia merupakan satu kemungkaran. Nabi SAW telah melarang dan memberi amaran keras terhadap perbuatan ini. Oleh itu, individu yang melakukan perbuatan ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah.
Walaupun perkahwinan yang terjadi selepas perbuatan takhbib itu sah, namun pelakunya tetap berdosa dan wajib bertaubat. Jika perkahwinan itu berlaku selepas wanita tersebut menyelesaikan tempoh iddah, maka secara hukum tidak ada halangan, tetapi pelaku tetap berdosa, dan begitu juga wanita tersebut. Kedua-duanya berdosa dan wajib bertaubat kepada Allah.
Adapun suami yang terdahulu, jika dia tidak mengetahui perbuatan tersebut, maka dia tidak berdosa dan tidak menanggung sebarang kesalahan kerana kejahilan tentang perkara ini. Sebaliknya, lelaki yang telah merosakkan rumah tangga orang lain itu telah mengkhianatinya dengan menghasut dan mendorong kepada perceraian. Oleh itu, dia telah melakukan satu jenayah besar dan wajib segera bertaubat, menyesali perbuatannya, serta berazam untuk tidak mengulanginya. Jika ada peluang untuk memohon kemaafan daripada suami yang dikhianati tanpa mendatangkan keburukan yang lebih besar, maka itu adalah perkara yang baik untuk dilakukan.
Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan terperinci tentang gangguan rumahtangga ini, anda boleh dapatkan e-book kami bertajuk: Mengganggu Isteri Orang Menurut Islam, di aplikasi al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami”
Wallahu a‘lam.