Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah itu ihtikar? Mohon pencerahan Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ
Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356).
Definisi Ihtikar
Monopoli menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bererti penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan, perdagangan, perkhidmatan, dsb dlm pasaran tertentu oleh seseorang, sesebuah firma, atau sekumpulan orang atau firma.
Di dalam bahasa Arab, monopoli disebutkan sebagai ihtikar (احْتِكَارٌ). Dari segi bahasa, kalimah ihtikar itu sendiri difahami dengan maksud mengumpul barang makanan dan seumpamanya, lalu disembunyikan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/208; Taj al-‘Arus, 11/72)
Menurut istilah fuqaha’ pula, pelbagai definisi dibawakan dari pelbagai mazhab, bergantung kepada perincian definisi yang diletakkan oleh setiap mereka. Akan tetapi, kesemuanya kembali pada satu noktah yang sama iaitu menyembunyikan suatu barang untuk menunggu kenaikan harganya di pasaran.
Ulama mazhab al-Syafi‘i seperti Imam al-Nawawi dan Imam al-Syirazi mendefinisikan ihtikar sebagai: “Seseorang yang membeli barang pada waktu harganya tinggi, dan menahannya bagi tujuan menaikkan harganya.” Definisi yang hampir serupa disebutkan oleh Imam al-Ghazali: “Penjual barangan menyimpan barangan (kerana) menunggu harga dinaikkan.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/43; al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 2/64; Ihya’ Ulum al-Din, 2/24)
Hikmah Larangan Ihtikar
Perbuatan monopoli barangan ini secara jelas akan menindas sebahagian pihak, dengan memberikan keuntungan kepada satu pihak sahaja. Maka, hikmah larangannya adalah untuk mengangkat kemudharatan ini dari menimpa masyarakat. Ini berdasarkan kaedah:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”
Ibn Qudamah menyebutkan, apa sahaja yang membawa kepada kemudaratan pada akhirnya, maka wajib dicegah sejak permulaannya. (Lihat al-Mughni ma‘a al-Syarh al-Kabir, 5/29)
Atas dasar ini, ulama bersepakat, sekiranya seseorang peniaga melakukan ihtikar ini sehingga berlakunya mudharat pada masyarakat, dan tidak ada peniaga lain yang menjual barang yang disembunyikan tersebut, ketika itu boleh untuk dipaksa peniaga tersebut menjual barang yang disembunyikan bagi mengangkat kemudharatan serta membantu mereka mendapatkan hak asasi kehidupan. (Lihat Mawahib al-Jalil, 4/227)
Begini juga yang dapat difahami dari kalam Imam Malik – Imam Dar al-Hijrah – ketika ditanya oleh Ibn al-Qasim: “Bagaimana jika ihtikar itu tidak memberikan kesan pun pada harga pasaran?” Lalu Imam Malik menjawab: “Maka tidak mengapa jika ia tidak memudharatkan pasaran.” (Lihat al-Mudawwanah, 3/314)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)