Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum ihtikar? Mohon pencerahan Dato. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356).

Hukum Ihtikar

Perbuatan ihtikar atau monopoli barang ini mempunyai perbezaan pendapat dalam kalangan pada hukum melakukannya. Majoriti fuqaha’ mengatakan bahawa hukumnya adalah haram, manakala sebahagian lain pula berpendapat bahawa perbuatan tersebut adalah makruh sahaja.

Pendapat Pertama: Haram

Ini adalah pendapat imam empat mazhab, meskipun mereka berbeza pada jenis barang yang diharamkan untuk melakukan monopoli padanya.

Imam al-Nawawi menyebutkan, antara perkara yang dilarang dalam jual beli adalah ihtikar, iaitu apabila seseorang membeli makanan pada waktu harga mahal tanpa membiarkannya sedikit untuk golongan yang lemah, sebaliknya menyembunyikannya dengan tujuan menjualnya pada harga yang lebih tinggi ketika keperluan semakin mendesak. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/413)

Muhammad bin Rusyd pula berkata, tidak dibenarkan menyembunyikan sesuatu pun dari makanan pada ketika perbuatan tersebut memudharatkan masyarakat. (Lihat al-Bayan wa al-Tahsil, 17/284)

Pengarang al-Insaf, Imam al-Mardawi, juga menyatakan hal yang sama: “Haram memonopoli makanan asasi manusia sahaja menurut pendapat yang sahih dalam mazhab” (Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 4/338)

Akmaluddin al-Babarti berkata: “Segala sesuatu yang biasanya dibawa masuk ke dalam sesebuah kota adalah dianggap seperti sebahagian daripada kota itu sendiri, maka haram melakukan ihtikar terhadapnya kerana ia berkaitan dengan hak orang ramai.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 10/59)

Perbuatan ini jelas dilarang sepertimana yang ditegaskan dalam hadith Nabi SAW. Diriwayatkan oleh Ma‘mar bin Abi Ma‘mar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحْتَكِرُ إِلَّا خَاطِئٌ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan monopoli barang. Jika tidak, dia termasuk orang yang bersalah (berdosa).”

Riwayat Muslim (1605)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Ahli bahasa menyebut bahawa makna ‘خَاطِئٌ’ di sini adalah seorang yang berdosa. Para ulama’ menyatakan bahawa hikmah daripada pengharaman monopoli barang ini adalah bertujuan bagi menolak kemudharatan terhadap orang ramai. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/358)

Pengharaman ini juga disokong dengan athar daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

الْحُكْرَةُ خَطِيئَةٌ

Maksudnya: “Ihtikar itu satu dosa.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (20390)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Meskipun Islam menjamin kebebasan individu dalam jual beli dan persaingan secara fitrah, namun Islam mengecam sekeras-kerasnya apabila sikap mementingkan diri dan ketamakan individu mendorong mereka untuk mengaut kekayaan secara berlebihan dengan menindas orang lain, bahkan dengan memperkayakan diri sendiri melalui makanan dan keperluan asas masyarakat.” (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 292)

Pendapat Kedua: Makruh

Ini merupakan pendapat Imam al-Mausili al-Hanafi, pandangan yang marjuh dalam mazhab al-Syafi‘i dan mazhab al-Hanbali. (Lihat al-Muhazzab fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/64; Raudhah al-Talibin, 3/413)

Al-Mausili mengatakan, pandangan yang mengharamkan ihtikar ini hanya bersandar kepada satu sahaja hujjah yang sahih, iaitu hadith riwayat Ma‘mar bin Abi Ma‘mar R.A dalam Sahih Muslim (no. 1605). Adapun riwayat lain menurut beliau kebanyakannya tidak sahih. Hadith Ma‘mar bin Abi Ma‘mar R.A itu pula dikritik pada beberapa aspek:

Perawi hadith ini adalah Sa‘id bin al-Musayyib R.A, yang meriwayatkannya daripada Ma‘mar bin Abi Ma‘mar R.A. Namun, Sa‘id bin al-Musayyib sendiri pernah melakukan ihtikar. Lalu, apabila perkara itu dipersoalkan kepadanya, beliau menjawab: “Sesungguhnya Ma‘mar yang meriwayatkan hadith ini juga melakukan ihtikar.”

Apabila seorang sahabat melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hadith, ini menunjukkan bahawa hadith tersebut telah dimansukhkan atau memiliki lemah.

Terdapat perbincangan dalam kalangan ulama mengenai hakikat bahawa hanya Imam Muslim yang meriwayatkan hadith ini secara bersendirian.

Hadith ini difahami dalam konteks apabila ihtikar itu mendatangkan mudharat kepada penduduk sesebuah negeri. (Lihat al-Mughni ‘an al-Hifz wa al-Kitab, 2/519)

Namun, pendapat al-Mausili ini dikritik oleh Syeikh Bakar bin Abdullah Abu Zaid dalam kitabnya yang berjudul al-Tahdith bi ma Qil: La Yasih fihi Hadith (hlm. 112). Katanya: “Pendapat al-Mawsili dalam hal ini tidak dapat diterima sepenuhnya, kerana terdapat hadith-hadith sahih, hasan, dan dha‘if yang berkaitan dengan larangan tersebut. Apa yang disebutkan mengenai penolakan hadith Muslim atas alasan perawinya bertindak bertentangan dengan apa yang diriwayatkannya, yang dikatakan menunjukkan bahawa hadith itu telah dimansukhkan atau lemah, ia hanyalah suatu dalih daripada golongan fanatik mazhab al-Hanafi bagi menolak sesebuah nas apabila ia bercanggah dengan mazhab mereka. Hanya kepada Allah tempat meminta pertolongan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)