Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah maksud istihza’ dan sukhriyyah dan hukum penggunaannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah al-Ahzab: 21)
Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)
Dalam al-Quran, dapat ditemui penggunaan perkataan istihza’ (الاسْتِهْزَاءُ) dan sukhriyyah (السُّخْرِيَّةُ) untuk menjelaskan peristiwa penghinaan yang dilakukan oleh umat terdahulu kepada para Rasul. Antaranya seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.”
(Surah al-An‘am: 10)
Syeikh al-Sa‘di menjelaskan, Allah berfirman bagi memujuk Rasul-Nya dan memberikan ketenangan kepadanya, sambil mengancam musuh-musuhnya dan memberi peringatan. Ingatlah sesungguhnya sebelum Baginda, telah diolok-olokkan rasul-rasul Allah ketika mereka datang kepada umat-umat mereka dengan bukti-bukti yang nyata. Mereka didustakan dan diolok-olokkan oleh umat mereka kerana apa yang telah dibawa oleh mereka. Maka Allah membinasakan mereka kerana kekafiran dan penolakan mereka, dan Allah memberikan hukuman yang sempurna bagi mereka. Akibat orang-orang yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah adalah mereka mendapatkan apa yang mereka perolok-olokkan itu. Oleh itu, waspadalah wahai orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah) — agar kamu tidak terus meneruskan penolakanmu sehingga kamu menghadapi apa yang menimpa mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 251)
Firman Allah SWT:
فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِينَ
Maksudnya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta.”
(Surah Hud: 27)
Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya: “Kemudian orang-orang terkemuka dari kaumnya yang kafir berkata, ‘Kami hanya melihat kamu sebagai manusia biasa seperti kami. Kamu bukanlah seorang raja atau makhluk yang istimewa, bagaimana mungkin wahyu diturunkan kepadamu tanpa melalui kami? Selain itu, kami hanya melihat orang-orang yang hina dan rendah yang mengikuti kamu, seperti para pedagang dan pembantu mereka. Para bangsawan dan pemimpin kami tidak mengikuti kamu. Selanjutnya, orang-orang yang mengikutimu ini tidak memiliki pengetahuan, pemikiran, atau pandangan yang bijaksana. Mereka hanya menjawab seruanmu dan mengikutimu tanpa berfikir. Oleh kerana itu, kami hanya melihat orang-orang yang hina dan rendah pada awalnya yang mengikuti kamu. Dan kami tidak melihat adanya kelebihan dari kamu atas kami, baik dalam aspek penciptaan, rezeki, mahupun keadaan hidup, ketika kamu masuk dalam agama ini. Malahan, kami menganggap bahwa kamu adalah pendusta dalam hal kebajikan, keadilan, ibadah, dan kebahagiaan di akhirat yang kamu dakwahkan kepada kami.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/316).
Sesungguhnya kami dapati, terlalu banyak penggunaan istihza’ (الاسْتِهْزَاءُ) dan sukhriyyah (السُّخْرِيَّةُ), yang biasanya dilafazkan oleh musuh-musuh Islam dan musuh para Nabi seperti ucapan Firaun, pengikut Namruz dan kaum-kaum yang kufur seperti kaum ‘Ad, Thamud dan lain-lain. Begitu juga, kepada Rasulullah SAW sebagai contoh ucapan Abu Lahab kepada Rasulullah SAW sehingga turunnya ayat dan surah al-Masad.
Hal yang sama juga apabila berlaku penghinaan terhadap agama-agama lain, ia sama sekali tidak wajar dan tidak patut berlaku kerana Islam melarang keras perbuatan tersebut.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”
(Surah al-An‘am: 108)
Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. (Lihat Safwah al-Tafasir, hlm. 380)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”