Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud Waliyyul Amri? Mohon penjelasan Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Ulama berselisih pendapat, siapa yang dimaksudkan dengan ulil amri di dalam ayat ini:
- Pendapat Abu Hurairah, Ibn ‘Abbas dan Ibn Zaid R.Anhum mengatakan maksud ulil amri di sini adalah para penguasa yang sah.
- Pendapat Jabir bin Abdillah, Hasan al-Basri, Qatadah, Mujahid dan ‘Atha’, yang dimaksudkan dengan ulil amri adalah ahli ilmi (ulama) yang tegak di atas sunnah.
- Pendapat Imam Mujahid dalam satu riwayat ulil amri adalah para sahabat Nabi SAW dan juga yang mengatakan ulil amri di sini adalah Abu Bakar dan Umar.
Berkata Ibn Jarir al-Tabari (wafat 310H) Rahimahullah dalam tafsirnya (5/150): “Pendapat yang kuat adalah pendapat pertama berdasarkan petunjuk Nabi SAW.” Dan pendapat ini dikuatkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al ‘Azim (1/530).
Namun pendapat lain seperti al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) berkata: “Yang sahih adalah yang mencakupi dua kelompok para penguasa dan para ulama kerana kedua-duanya sama-sama mengurus urusan manusia, dan ini adalah pendapat gurunya Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H) Rahimahullah.” Lihat Majmu’ al-Fatawa (28/180)
Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.
Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 4/2360)
Pemerintah dikenali sebagai Waliyyul Amri. Para ulama telah mengemukakan beberapa definisi dan takrif berkenaannya, antaranya:
Ia adalah sebagai ganti khilafah nubuwwah dalam memelihara agama dan mengurus tadbir dunia. (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 29).
Ia adalah pemerintah yang sempurna, kerajaan yang bersifat umum, tertakluk pada yang khusus dan umum dalam perkara–perkara penting agama dan dunia. (Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayyas al-Zulam, hlm. 22).
Ia adalah tanggungjawab yang sempurna untuk memimpin seluruh masyarakat berdasarkan ketetapan syarak dalam menjaga maslahat mereka, sama ada berkaitan akhirat mahupun dunia yang kembali kepada syarak. Ini kerana, seluruh urusan dunia di sisi syarak diambil kira berdasarkan maslahat akhirat. Maka, pada hakikatnya, ia adalah khilafah atau sebagai pengganti kepada pemilik syariat dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia dengannya. (Lihat al-Muqaddimah, 2/578)
Perkataan Waliyyul Amri memberi maksud pemerintah atau dalam istilah moden adalah Yang di-Pertuan Agong, raja-raja, perdana menteri, presiden atau pemerintah utama pada satu-satu tempat, negeri mahupun negara.
Setiap Waliyyul Amri mempunyai hak mereka, kami tidaklah menyebut keseluruhannya, tetapi memadai dengan kami nukilkan di sini pandangan Ibn Jama‘ah al-Syafi‘i dalam menyatakan hak-hak Waliyyul Amri. Menurutnya, seseorang itu hendaklah mengetahui betapa besarnya hak yang dimiliki oleh Waliyyul Amri dan apa yang wajib bagi mengagung dan memuliakan kedudukannya. Dia hendaklah bermuamalah mengikut yang wajib baginya dalam memberi penghormatan dan kemuliaan. Ini kerana Allah SWT menjadikannya untuk dimuliakan.
Yang demikian itu kerana para ulama yang hebat dari kalangan imam-imam Islam juga memuliakan dan memberi penghormatan kepada Waliyyul Amri, menyahut perintahnya sekalipun mereka begitu zuhud, warak dan mereka tidak tamak terhadap apa yang ada pada Waliyyul Amri. Apa yang dilakukan oleh sebahagian orang yang dianggap zuhud dengan merendahkan adab terhadap Waliyyul Amri sebenarnya itu bukanlah daripada Sunnah. (Lihat Tahrir al-Ahkam fi Tadbir Ahl al-Islam, hlm. 272-273)
Perintah memberikan ketaatan dan kesetiaan kepada raja bersandarkan kepada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi menyatakan, suruhan untuk taat kepada pemerintah ini perlulah didasari dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini agar masyarakat yang beriman itu terpelihara daripada penguasa zalim yang cuba menindas rakyat di bawahnya dengan menggunakan firman Allah SWT: وَأُولِي الْأَمْرِ, kemudian mendakwa bahawa taat kepada mereka itu adalah suatu kewajipan.
Justeru itu, setiap pemerintah yang beragama Islam dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna terlebih dahulu, berlaku adil, dan juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 4/2360).
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ ، فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ ، إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ ، فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya: “Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang dia sukai dan tidak sukai, selagi mana tidak diperintah pada perbuatan maksiat. Sekiranya diperintah pada kemaksiatan, maka tidak ada sikap mendengar dan taat.”
Riwayat al-Bukhari (6725) Muslim (1839)
Imam al-Nawawi menyebutkan, para ulama telah bersepakat bahawa wajib mentaati pemerintah dalam perkara yang bukan maksiat, dan haram mentaatinya dalam perkara maksiat.
Jumhur ahli Sunnah dalam kalangan ulama fiqh, ulama hadith dan ahli kalam menyatakan, tidak boleh memisahkan diri daripada pemimpin disebabkan kefasikannya, kezaliman dan perbuatannya menghilangkan hak-hak. Tidak boleh dicabut kepimpinannya, serta tidak boleh keluar daripadanya disebabkan perkara-perkara tersebut. Bahkan wajib menasihatinya dan memberi ancaman kepadanya berdasarkan hadith-hadith yang telah datang berkenaan perkara ini. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 12/224).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”