Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana Rasulullah SAW mengurus masyarakat majmuk di Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 4/2360)

Kami nukilkan pandangan Maulana Abi al-Hasan al-Nadwi berkata:

  • Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
  • Jika anda telah mencapai umur tua, maka, Baginda SAW adalah contoh anda.
  • Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
  • Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
  • Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
  • Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
  • Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
  • Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya.

Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Kota Madinah, Baginda SAW telah melakarkan satu sejarah dengan pembinaan sebuah piagam Madinah. Penggubalan ini sebagai lambang masyarakat madani dan bertamadun. Ia merupakan perlembagaan yang pertama dicatatkan secara lengkap dalam sejarah. Ia dirangka oleh Baginda sAW dengan petunjuk wahyu. Piagam Madinah mengandungi sepuluh bab yang terdiri daripada 47 fasal, 23 daripada fasal tersebut adalah mengenai orang-orang Islam dan 24 lagi mengenai orang-orang Yahudi.

Antara kandungan perlembagaan ini adalah, di mana wahyu menjadi undang-undang tertinggi bagi Negara Islam Madinah. Nabi Muhammad SAW diakui sebagai ketua Negara yang mesti dipatuhi dan dihormati. Tidak boleh bermusuhan antara sesama Islam dan tidak boleh membantu orang bukan Islam membunuh orang Islam. Orang-orang Islam mestilah menganggap orang-orang Islam yang lain sebagai saudara mereka. Kebebasan beragama diberi kepada orang bukan Islam. Orang Yahudi boleh meneruskan amalan agama dan adat resam mereka. Mereka akan menerima layanan yang saksama tetapi mereka bertanggungjawab keatas keselamatan Madinah. Keadilan adalah diberi kepada semua pihak. Dalam sesetengah kes, ketua suku diberi hak untuk menyelesaikan masalah dalam suku mereka. Akan tetapi beberapa kes jenayah perlu dirujuk kepada nabi. Semua penduduk Madinah tanpa mengira agama dan bangsa adalah bertanggungjawab mempertahankan Madinah walaupun ia diancam oleh kaum sendiri.

Piagam Kerjasama Islam

Perjanjian ini dibentuk bagi membasmi segala onak dan noda Jahiliyyah serta sentimen kepuakan dan perkauman. Dengan piagam ini, Rasulullah SAW tidak membuka ruang untuk meresapnya budaya Jahiliyyah. Fasal-fasal piagam tersebut secara ringkas, antaranya:

  • Bahawa mereka adalah satu umat selain daripada manusia lain.
  • Orang Muhajirin daripada kalangan Quraisy menurut kebiasaan yang berlaku dalam kalangan mereka saling membayar diyat dalam kalangan mereka. Mereka hendaklah menebus sendiri tawanan mereka dengan cara yang baik dan adil dalam kalangan orang beriman. Setiap kabilah daripada kalangan Ansar menurut kebiasaan yang berlaku dalam kalangan mereka hendaklah bersama membayar diat sebagaimana yang pernah mereka lakukan dahulu. Setiap puak daripada kabilah itu hendaklah menebus sendiri tawanannya secara yang baik dan adil dalam kalangan orang beriman.
  • Orang yang beriman tidak boleh membiarkan seseorang menanggung beban yang berat. Mereka hendaklah membantunya dengan cara yang baik dalam membayar bayaran tebusan atau diat.
  • Orang beriman yang bertakwa hendaklah menentang orang yang melampaui batas terhadap mereka, atau orang yang suka melakukan kezaliman, dosa, menimbulkan permusuhan atau melakukan kerosakan dalam kalangan orang beriman.
  • Mereka semua hendaklah bersepakat dalam menentang kejahatan itu meskipun terhadap anak salah seorang daripada mereka.
  • Bahawa perlindungan Allah itu satu, iaitu Dia melindungi orang yang lemah di antara mereka.
  • Orang Yahudi yang mengikut kita berhak mendapat bantuan pertolongan dan kesamaan tanpa dianiaya dan ditentang terhadap mereka.
  • Sesiapa yang membunuh orang beriman dengan cukup buktinya, maka hendaklah dia dihukum balas melainkan jika wali yang terbunuh memaafkannya.
  • Tidak halal bagi seorang beriman menolong seorang pelaku kejahatan atau melindunginya. Sesiapa yang menolong atau melindunginya, maka dia akan ditimpa laknat Allah dan kemurkaan-Nya pada Hari Kiamat serta tidak diambil kira amalannya yang fardhu atau sunat.
  • Bahawa sebarang perkara yang menimbulkan perselisihan dalam kalangan kamu, maka hendaklah dirujuk kepada Allah dan kepada Muhammad SAW. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyaholeh Ibn Hisyam, 1/502; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 145)

Erti persaudaraan ini adalah — seperti yang dinyatakan oleh Mufakkir Islami Syeikh Muhammad al-Ghazali — supaya amalan dan fahaman kepuakan Jahiliyah dapat dibasmi. Justeru, tidak ada keakraban melainkan atas landasan Islam. Dengan persaudaraan ini, maka perbezaan keturunan, warna kulit dan tanah air dibuang. Lantaran itu, tidak seorang pun yang dapat ditampilkan ke hadapan atau diletakkan di belakang melainkan atas faktor maruah dan ketakwaannya.

Rasulullah SAW menjadikan persaudaraan ini sebagai satu kontrak yang perlu dilaksanakan, bukan hanya sebagai mainan di bibir tanpa dipraktikkan. Ia berkaitan dengan persoalan darah dan harta benda; bukan sebagai slogan yang sekadar meniti di bibir, tetapi tidak mendatangkan sebarang kesan. Dalam persaudaraan ini, bercantumlah perasaan keutamaan orang lain (tidak mementingkan diri), berkongsi kehidupan dan beramah mesra. Masyarakat baharu ini mula diselubungi suri-suri teladan yang sangat menarik.

Dengan kebijaksanaan dan kepintaran Rasulullah SAW, Baginda SAW mengorak langkah membina asas-asas masyarakat baharu. Fenomena ini memberikan kesan mendalam yang terpamer melalui peribadi mulia para sahabat Rasulullah SAW. Baginda mengajar, mendidik, membersihkan jiwa mereka serta menggalakkan mereka berbudi pekerti mulia. Rasulullah SAW mendidik mereka dengan adab, kasih sayang, persaudaraan, sifat mulia, tekun beribadat dan mentaati perintah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 312)

Piagam atau Perlembagaan Madinah ini menjadi bukti bahawa Islam adalah agama dan politik. Dengan adanya perlembagaan ini dan tertubuhnya Negara Islam Madinah, maka lengkaplah Islam sebagai al-Din. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW bukan sahaja seorang nabi dan rasul, tetapi seorang pemimpin yang unggul. Negara Islam yang ditegakkan oleh nabi merupakan Negara contoh dan usaha ini kemudiannya diperkukuhkan oleh sahabat nabi sehingga Madinah muncul sebagai kuasa terulung di dunia.

Semoga, pemimpin kita diberikan kekuatan serta petunjuk dari Allah SWT dalam memastikan tampuk pemerintahan tertegak di atas hukum syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا. اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين. اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami. Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.”

Wallahu a‘lam