Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum solat setelah sedar ada sedikit luka pada anggota badan dan mungkin ada darah pada pakaian? Adakah solat tersebut masih sah? Terima kasih.

 Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagaimana yang kami sudah jelaskan sebelum ini, kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557; al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya: “Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Seterusnya, di antara syarat sah solat ialah suci anggota badan daripada hadas dan juga najis. Begitu juga suci pakaian dan tempat bersolat daripada najis. Tempat bersolat bermaksud ruang yang digunakan oleh orang yang bersolat termasuk tempat berpijak hingga ke tempat sujud yang bersentuhan dengan badannya ketika bersolat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/121-123).

Manakala darah pula sebagaimana yang kita telah jelaskan sebelum ini adalah najis. Ini bermakna darah jika terkena pada badan, pakaian atau tempat solat maka solat itu tidak sah kerana dikira sebagai menanggung najis. Sekalipun begitu, dalam hal darah tersebut, para ulama membezakan di antara jumlah atau kuantiti darah yang terkena pada badan/pakaian dalam menentukan kesahan solatnya.

Justeru, darah yang sedikit yang terkena pada pakaian, tidak kira ia darah manusia mahupun darah haiwan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Menurut Imam Nawawi, apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka terdapat perselisihan ulama mengenainya, dan pendapat yang paling sahih, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/135).

Tambahan lagi, hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Jawi al-Bantani dalam kitabnya, bahagian najis yang dimaafkan pada pakaian tetapi tidak dimaafkan pada air iaitu darah yang sedikit. Hal ini kerana mudah untuk mengelakkan air dari terkena darah, berbeza halnya dengan pakaian (yang sukar untuk dielakkan daripada terkena darah). Termasuklah juga dalam bahagian ini kesan istinja’ dengan batu, ia juga dimaafkan pada pakaian dan badan sekalipun jika sebahagiannya mengalir dengan peluh lalu terkena pada pakaian di tempat berhampiran kemaluan ia turut dimaafkan. Namun, tidak dimaafkan dalam hal beristinja’ dengan air. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 44).

Begitu juga al-Bakri al-Dimyati juga ada menyatakan, darah bisul, luka, jerawat, tempat-tempat fasdu (flebotomi) dan bekam selepas ditutup atau ditampal dengan kapas misalnya, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti darah yang banyak sebagaimana ia dimaafkan pada kuantiti yang sedikit, sekalipun ia tersebar disebabkan berbekam selagimana bukan daripada hasil perbuatannya sendiri dan tidak melampaui tempatnya (yakni tidak terkena tempat lain). Sekiranya tidak, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti yang sedikit. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/120).

Oleh itu, dapat difahami daripada kenyataan di atas, jika darah seseorang keluar disebabkan luka sekalipun banyak bukan kerana perbuatannya sendiri, lalu tempat luka itu dibalut dengan kain atau seumpamanya, maka ia termasuk dalam najis yang dimaafkan dengan syarat ia tidak berpindah ke tempat lain, meskipun jelas pada balutan tersebut kesan merah disebabkan banyaknya darah yang keluar.

Bahkan dengan membaca sejarah, kita dapati ramai para sahabat yang cedera dalam peperangan dan berdarah, tetap melaksanakan solat kerana darurat dan kecederaan yang dihadapi, solat tetap dilakukan.

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika seseorang itu sedar ada sedikit luka pada anggota badan dan mungkin ada darah pada pakaian, maka ia tidak membatalkan solatnya yang telah didirikan seperti mana yang kami sudah jelaskan di atas. Dalam erti kata lain, solat yang didirikannya tetap sah dan tidak perlu diulangi semula.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ 

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”