Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Politik di dunia ini terlalu banyak coraknya, sehinggakan masyarakat dan netizen sendiri sudah hilang kepercayaan kepada pemerintah yang dilihat tidak berlaku adil dalam membuat keputusan, terutamanya apabila keputusan tersebut melibatkan kepentingan mereka. Apakah nasihat yang boleh kita ambil berlandaskan Islam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”
(Surah al-Nisa’: 58)
Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya (suruhan) berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya (tidak dimakan). (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 447)
Tafsiran berkenaan keadilan dalam ayat ini pelbagai, dan menurut Imam Abu Ja‘far al-Tabari, pendapat yang paling tepat adalah; ayat ini sebagai perintah dari Allah SWT kepada para pemimpin kaum muslimin agar agar menunaikan amanah kepada mereka yang berada di bawah tanggungjawab mereka, termasuk dalam pengurusan harta negara, hak-hak rakyat, serta segala perkara yang telah diamanahkan kepada mereka. Mereka dituntut untuk berlaku adil dalam pemerintahan, membuat keputusan dengan saksama, dan membahagikan hak rakyat secara seimbang.
Hal ini diperkuatkan lagi dengan peringatan dalam ayat 59 dari Surah al-Nisa’, yang ditujukan kepada rakyat mengenai tanggungjawab mereka dalam mentaati pemimpin yang menunaikan amanah dengan adil.
Maka Allah memerintahkan rakyat agar mentaati para pemimpin mereka, dan pada masa yang sama, Dia juga menasihati pemimpin agar menjaga rakyat dengan penuh tanggungjawab, serta menasihati rakyat agar taat kepada pemimpin yang menunaikan amanah dengan adil. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 8/492)
Menghakimi dengan adil memerlukan ilmu pengetahuan tentang keadilan itu sendiri dalam setiap perkara. Jika sesebuah umat memahami hakikat keadilan dan mengetahui batas-batasnya, mereka akan meletakkan setiap perkara pada tempatnya yang betul. Para ahli politik yang dilantik dalam urusan pemerintahan akan terdiri daripada individu yang sempurna dari segi keperibadian dan berkelayakan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dengan itu, segala perancangan dan tindakan mereka akan berlandaskan keadilan dan ketepatan, serta mereka akan menjauhi kezaliman dan kerosakan. Hasilnya, umat akan mencapai kemajuan dan keadaan mereka akan menjadi lebih baik. (Lihat al-Qawa‘id al-Hisan li Tafsir al-Quran, hlm. 107)
Abu Hafs Ibn ‘Adil al-Dimasyqi menukilkan dalam kitabnya al-Lubab (6/439), bahawa ulama bersepakat akan kewajipan berlaku adil, sebagaimana diperintahkan dalam firman Allah SWT:
وَإِذَا قُلْتُمْ فَٱعْدِلُوا۟ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ ۖ
Maksudnya: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).”
(Surah al-An‘am: 152)
Ayat ini menyerupai perintah-Nya dalam ayat 58 dari Surah al-Nisa’ di atas, dengan memerintahkan umat manusia untuk berlaku adil dalam setiap tindakan mahupun kata-kata, kepada sahabat terdekat mahupun tidak. Keadilan ini dituntut ke atas setiap individu, pada setiap waktu dan juga keadaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/328)
Begitu juga firman Allah SWT:
يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةً فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ
Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”
(Surah Sad: 26)
Apabila seseorang cenderung mengikuti hawa nafsu dalam memutuskan sesuatu perkara, dan berpaling daripada keadilan dan kebenaran, maka dia termasuk dalam kalangan orang yang binasa disebabkan kesesatannya daripada jalan Allah. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 21/189)
Bahkan, terdapat banyak hadith Nabi SAW yang menyebutkan perihal keadilan pemimpin atau mereka yang mempunyai pengaruh kuasa dalam dunia politik, dan mereka dijanjikan dengan ganjaran yang besar atas sikap adil tersebut. Antaranya, sabda Rasulullah SAW:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: الإِمَامُ العَادِلُ
Maksudnya: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya; Pemimpin yang adil…”
Riwayat al-Bukhari (660) dan Muslim (1031)
Disebutkan juga dalam hadith ‘Iyadh bin Himar al-Mujasyi‘i R.A, Rasulullah SAW:
وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ: ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ
Maksudnya: “Penghuni Syurga itu ada tiga golongan; pemerintah yang adil, suka bersedekah, dan mendapat petunjuk (daripada Allah).”
Riwayat Muslim (2865) dan Ahmad (17484)
Inilah prinsip keadilan yang senantiasa ditekankan oleh syara‘, sama ada secara umum kepada setiap individu, atau secara khusus kepada mereka yang berkecimpung dalam dunia politik itu sendiri. Keadilan adalah asas utama dalam pembentukan sesebuah negara Islam. Ia merupakan jalan menuju keamanan dan kestabilan politik. Sebaliknya, kezaliman dan ketidakadilan merupakan antara faktor terbesar yang menghancurkan perpaduan politik dalam masyarakat, menimbulkan keresahan dan ketakutan, serta menyemai perpecahan dan kebencian antara pemerintah dan rakyat.
Imam al-Mawardi ketika membicarakan kaedah-kaedah yang menjadi asas kepada kestabilan dunia, beliau menyebut: “Asas kepada keadilan secara umumnya ialah yang menyeru kepada perpaduan, mendorong kepada ketaatan, memakmurkan negeri, menyuburkan harta, memperbanyakkan keturunan, dan memberikan rasa aman kepada pemerintah.” (Lihat Adab al-Dunya wa al-Din, hlm. 139)
Manakala Ibn Taimiyyah menyatakan satu kaedah, katanya: “Sesungguhnya keadilan adalah sistem yang mendasari segala sesuatu. Jika urusan dunia ditegakkan dengan keadilan, ia akan berdiri teguh, sekalipun penguasanya tiada bahagian di akhirat. Namun jika urusan itu tidak ditegakkan dengan adil, ia tidak akan tertegak, walaupun penguasanya memiliki iman yang membolehkan dia mendapat ganjaran di akhirat. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 28/146)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada nas-nas syara‘ dan kenyataan ulama yang secara ringkas kami bawakan, jelas sekali bahawa keadilan itu menjadi asas dalam segala aspek, lebih-lebih lagi dalam politik yang pastinya memerlukan kepada kepercayaan rakan kongsi strategik dan juga rakyat sesebuah negara. Apabila keadilan dipinggirkan, rakyat akan hilang keyakinan terhadap integriti pemimpin dan institusi kerajaan. Mereka mula merasakan bahawa undang-undang tidak lagi digunakan secara adil, tetapi hanya memihak kepada golongan tertentu atau berkepentingan.
Negara yang dipimpin tanpa keadilan akan menyaksikan ekonomi yang tidak stabil, kerana pelabur dan peniaga hilang keyakinan terhadap sistem perundangan dan pentadbiran negara. Amalan rasuah, monopoli, dan kronisme akan berleluasa. Masyarakat pula akan terbahagi kepada golongan yang tertindas dan yang dilindungi kuasa, yang kemudiannya menyuburkan perasaan dendam, benci dan perpecahan antara rakyat, sekali gus mengancam perpaduan nasional.
Sejujurnya, kami katakan, ada yang layak untuk berpolitik dan menceburkan diri, bahkan menjadi kewajiban ke atasnya apabila menepati syarat-syarat serta tiada yang lebih layak daripadanya. Hal ini seperti permintaan Nabi Allah Yusuf untuk menjadi Setiausaha Perbendaharaan atau Menteri Kewangan bagi negeri tersebut. Sebaliknya, apabila tidak layak, maka haram seseorang itu meminta untuk menjawat jawatan sebagai ketua atau pemimpin. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abd al-Rahman bin Samurah, Rasulullah SAW bersabda:
يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ لاَ تَسْأَلِ الإِمَارَةَ، فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Wahai Abd al-Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta kekuasaan kerana sesungguhnya jika engkau diberi kekuasaan kerana memintanya, engkau akan dibebani dalam menjalankan kekuasaan tersebut. Namun, jika engkau diberi kekuasaan tanpa memintanya, engkau akan ditolong untuk menjalankannya.”
Riwayat al-Bukhari (7146) dan Muslim (1652)
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab utama pemimpin untuk menegakkan keadilan, bukan hanya kepada penyokong mereka, tetapi kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
Wallahu a‘lam