Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ialah seorang pelajar di sesebuah universiti awam. Boleh ustaz jelaskan hukum ifta’ dan kepentingannya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa Ifta’ (pengeluaran fatwa) adalah fardhu kifayah, maka apabila telah dilaksanakan oleh mereka yang layak untuk berfatwa, gugurlah kewajipan tersebut daripada individu yang lain. (Lihat al-fatawa fi al-Islam oleh al-Dur‘an, hlm. 37). Imam al-Nawawi menyebutkan, Ifta’ (pengeluaran fatwa) adalah fardhu kifayah. (Lihat Adab al-Fatwa, hlm. 35-37). 

Begitu juga Imam Jalaluddin al-Mahalli turut menyatakan, antara kewajipan fardhu kifayah ialah menegakkan hujah-hujah ilmiah, menyelesaikan permasalahan dalam agama, menolak syubhat, serta menguasai ilmu-ilmu syarak seperti tafsir, hadith, dan cabang-cabang fiqh (furu‘ fiqhiyyah) sehingga seseorang itu layak untuk menjadi qadhi (hakim) dan mufti, kerana keperluan terhadap kedua-duanya. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/214).

Firman Allah SWT:

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُ فَنَبَذُوهُ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ وَاشْتَرَوْا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): ‘Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.’ Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janji-Nya) itu.

(Surah Ali ‘Imran: 187)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan teguran dan ancaman kepada Ahli Kitab yang telah mengikat perjanjian dengan Allah melalui lisan para nabi agar mereka beriman kepada Nabi Muhammad SAW serta mengumumkan kedatangannya kepada manusia supaya mereka bersedia mengikuti ajarannya. Namun, ketika Allah mengutus Baginda untuk diikuti, mereka sebaliknya menyembunyikan kebenaran itu dan menggantikan janji mereka yang sepatutnya membawa kebaikan di dunia dan akhirat dengan sesuatu yang hina dan remeh demi keuntungan duniawi yang sementara.

Betapa buruknya perjanjian yang mereka lakukan, dan betapa hinanya pertukaran yang mereka pilih! Dalam peringatan ini, terdapat iktibar bagi para ulama agar tidak mengikuti jejak mereka sehingga ditimpa nasib yang sama seperti Ahli Kitab terdahulu. Oleh itu, para ulama hendaklah bersungguh-sungguh dalam menyebarkan ilmu yang bermanfaat serta membimbing manusia ke arah amalan yang baik, tanpa menyembunyikan sedikit pun ilmu yang mereka miliki.

Dalam hal ini, terdapat hadis yang diriwayatkan melalui beberapa jalur daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda: “Barang siapa yang ditanya tentang ilmu lalu menyembunyikannya, dia akan diikat dengan tali pelana api pada hari kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/527)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Wahai Nabi, ingatlah ketika Allah mengambil janji daripada kaum Yahudi dan Nasrani melalui para nabi mereka, agar mereka menzahirkan seluruh isi kitab mereka—termasuk hukum dan berita yang terkandung di dalamnya—kepada manusia, serta tidak menyembunyikannya walau sedikit pun. Namun, mereka mengingkari janji itu dan menggantikannya dengan sesuatu yang hina serta tidak bernilai, demi memperoleh kenikmatan dunia yang sementara. Sungguh, amat buruk perbuatan mereka dalam membeli dan menggantikan kebenaran itu. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 251)

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ، أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang ditanya tentang suatu ilmu lalu menyembunyikannya, Allah akan mengekangnya dengan kekangan api neraka pada hari kiamat.” 

Riwayat Abu Dawud (3658); Ibn Majah (261); al-Tirmizi (2649)[1]  

Namun, jika seseorang itu bukan dalam kalangan ahli fatwa — dan sememangnya ramai yang sedemikian pada zaman ini — maka tidak dibenarkan baginya untuk berfatwa, kerana ia boleh termasuk dalam ancaman firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: ‘Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.’

(Surah al-A‘raf: 33)

Selain itu, terdapat beberapa keadaan di mana dimakruhkan (tidak disukai) bagi seorang mufti untuk berfatwa, sebagaimana yang disebut oleh Ibn al-Qayyim bahawa dimakruhkan bagi mufti untuk berfatwa dalam keadaan marah yang melampau, lapar yang teramat sangat, kesedihan yang mendalam, ketakutan yang mengganggu, mengantuk yang berat, fikiran yang sibuk dan terganggu, atau ketika menahan diri daripada membuang air. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 4/214).

Dari segi kepentingannya pula, di antaranya adalah Allah SWT sendiri mengambil peranan dalam memberikan fatwa. Ini dapat dilihat menerusi firman-Nya:

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ ۖ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ

Maksudnya: “Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: ‘Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka.’

(Surah al-Nisa’: 127)

Ibn Kathir berkata: Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha mengenai firman Allah:  “Dan mereka meminta fatwa kepadamu tentang wanita. Katakanlah: Allah memberikan fatwa kepadamu tentang mereka…” (hingga firman-Nya) “…sedang kamu ingin mengahwini mereka.”

Aisyah R.Anha berkata: “Ayat ini merujuk kepada seorang lelaki yang menjadi wali dan pewaris kepada seorang anak yatim perempuan. Lelaki itu mencampurkan harta anak yatim tersebut dengan hartanya sendiri, termasuk dalam urusan makanan. Dia juga ingin mengahwini anak yatim itu tetapi tidak mahu menikahkannya dengan lelaki lain kerana bimbang harta yang telah dicampurkan itu akan diuruskan oleh orang lain. Oleh sebab itu, dia menghalang anak yatim tersebut daripada berkahwin. Maka, turunlah ayat ini sebagai petunjuk daripada Allah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/491)

Begitu juga firman-Nya:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ

Maksudnya: “Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: ‘Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu.’

(Surah al-Nisa’: 176)

Rasulullah SAW juga diberikan tanggungjawab dalam memberi fatwa. Ini dapat dilihat menerusi firman-Nya:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.”

(Surah al-Nahl: 44)

Seterusnya, mufti pula mengambil peranan sebagai wakil Rasulullah SAW dalam kalangan umat. Ini kerana para ulama termasuklah mufti merupakan pewaris Baginda SAW sebagaimana sabdanya:

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، وَلَكِنْ وَرَّثُوا الْعِلْمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu.

Riwayat al-Tirmizi (2682); Abu Dawud (3641)[2]

Mufti sebagai wakil dalam menyampaikan hukum Allah SWT. Perkara ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dan Ibn al-Qayyim. (Lihat Adab al-Fatwa oleh Imam al-Nawawi, hlm. 13-16; I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/10-11).

Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebutkan, jika kedudukan seseorang yang menandatangani keputusan bagi pihak raja dianggap sebagai suatu jawatan yang tinggi, dihormati, dan tidak dapat disangkal kepentingannya, maka bagaimana pula dengan kedudukan seseorang yang menandatangani keputusan hukum bagi pihak Tuhan sekalian alam, Pemilik bumi dan langit? (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/10-11).

Sebenarnya kami sudah menjawab berkenaan fatwa ini secara panjang lebar dalam e-book kami yang bertajuk, “Kepentingan Fatwa dalam Pembentukan Ummah.” Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tambahan dan penjelasan lanjut mengenainya, bolehlah membacanya dalam aplikasi al-Inarah kami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.” 

[1] Dinilai sebagai sahih dalam Sahih Jami‘ (6284)

[2] Ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (6297).