Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz jelaskan khilaf atau perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan tas‘ir (penetapan harga)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebenarnya kami sudah menjawab berkenaan hal ini secara panjang lebar dalam e-book kami yang bertajuk, “Polemik Kenaikan Harga Barang dan Keperluan Penetapan Harga.” Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tambahan dan penjelasan lanjut mengenainya, bolehlah membacanya dalam aplikasi al-Inarah kami.

Kami bawakan sebahagian perbahasannya di sini. Secara umumnya, dalam hal ini para fuqaha terbahagi kepada dua pandangan. Ada dalam kalangan mereka yang tidak membenarkannya kerana berpegang kepada hadith yang melarangnya seperti di atas. Ada juga dalam kalangan mereka yang membolehkan penetapan harga barang berdasarkan kepada keadaan-keadaan tertentu dan juga syarat-syarat yang telah digariskan demi menegakkan keadilan dan menolak kezaliman.

Perincian pendapat-pendapat ini adalah sebagaimana berikut:

Pandangan Pertama: 

Penetapan harga barang oleh pihak pemerintah hukumnya adalah haram dan ini merupakan pandangan jumhur. (Lihat al-Tas‘ir fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 457) .

Sayyid Sabiq menyatakan bahawa dengan membataskan (menetapkan) harga, boleh mengakibatkan tersembunyinya barang-barang, di mana akan menjadikan barang menjadi mahal. Meningginya harga membawa maksud menyusahkan orang-orang miskin disebabkan daya beli mereka yang menurun. Manakala orang kaya dapat membeli barang dari pasar gelap yang penuh dengan tipu daya. Hal ini semua menyebabkan tidak terwujudnya maslahat terhadap masyarakat. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/114).

Di antara dalil bagi pandangan ini adalah, firman Allah SWT:

‏يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

(Surah al-Nisa’: 29)

Dalam ayat di atas, disyaratkan saling meredhai antara penjual dan pembeli dalam memastikan sahnya jual beli. Apabila penjual menjual dengan harga yang ditetapkan, maka hilanglah sifat saling meredhai itu, sehingga jual beli menjadi cacat kerana wujudnya keterpaksaan. Justeru, ayat ini menjadi dalil tidak dibolehkan al-tas’ir (penetapan harga). (Lihat Nail al-Autar, 5/248).

Manakala dalil al-Sunnah, di antaranya adalah riwayat daripada Anas bin Malik R.A, di mana pernah harga barang meningkat tinggi, lalu orang ramai datang kepada Rasulullah SAW untuk mengadu dan meminta agar Baginda SAW menetapkan harga barang-barang itu. Rasulullah SAW pun menjawab:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلاَ مَالٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah-lah Penetap harga barang. Dia-lah yang menahan dan jua melapangkan rezeki. Dia-lah Maha Pemberi rezeki. Sesungguhnya aku harap untuk bertemu Allah dalam keadaan tiada seorang pun daripada kalangan kamu yang menuntut aku atas kezaliman terhadap darah dan harta.

Riwayat Abu Dawud (3451)[1]

Al-Syaukani menyatakan dalam kitabnya bahawa dalam hadith di atas, Baginda Nabi SAW tidak menetapkan harga sedangkan para sahabat R.Anhum telah meminta kepada Rasul untuk menetapkan harga dalam kalangan mereka. Jika tas’ir (penetapan harga) dibolehkan, maka sudah tentu Rasulullah SAW akan memenuhi permintaan para sahabat R.Anhum. Sebab (‘Illah) mengapa Rasulullah SAW tidak membolehkan tas’ir adalah kerana terdapatnya kezaliman (dalam hal itu). (Lihat Nail al-Autar, 5/248).

Pandangan Kedua:

Sebahagian fuqaha membenarkan pihak pemerintah untuk menetapkan harga barang. Akan tetapi keharusan/kebolehan untuk menetapkan harga ini tidaklah secara mutlak. Kenyataan mereka dapat dilihat sebagaimana berikut:

Ulama mazhab Hanafi menyatakan bahawa dibolehkan untuk menetapkan harga barang apabila berlaku kenaikan harga barang, di mana kenaikannya melepasi batas kewajaran. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/114).

Manakala ulama mazhab Maliki menyatakan bahawa menetapkan harga barang terdapat dua bentuk:

Bentuk pertama, dibolehkan menetapkan harga barang apabila sebahagian peniaga menurunkan harga barang, maka menetapkan harga barang  pada bentuk ini dibolehkan agar peniaga yang menurunkan harga tersebut menyesuaikan dengan harga peniaga kebanyakan.

Bentuk kedua adalah membataskan para peniaga dengan harga tertentu, sehingga mereka tidak boleh menjual melebihi harga yang telah ditetapkan. Maka bentuk ini juga dibolehkan menurut Malikiyyah mengikut riwayat Asyhab dari Malik, walaupun lebih utama menurutnya adalah tidak melakukannya. (Lihat Ahkam al-Tas’ir fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 38)

Ulama mazhab al-Syafi‘i pula menyatakan bahawa dibolehkan menetapkan harga barang ketika orang ramai berada dalam kesusahan. (Lihat Asna al-Matalib, 2/38).

Ulama mazhab Hanbali seperti  Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim mewajibkan penetapan harga barang apabila akan terjamin keadilan antara manusia, seperti dalam melakukan pembelian dengan harga tertentu, dan larangan terhadap mereka untuk menaikkan harga suatu barang. Pemerintah tidak boleh menetapkan harga terhadap manusia kecuali apabila berhubungan dengan kepentingan umum. 

Sekiranya peniaga menjual dengan harga yang tinggi sementara pemerintah tidak dapat memelihara hak umat Islam kecuali dengan penetapan harga barang, maka pemerintah boleh menetapkan harga setelah berbincang dengan pakar ekonomi. Apabila peniaga tidak mematuhinya, maka mereka dipaksa untuk melaksanakannya. Menurut Ibn al-Qayyim, al-tas’ir di sini adalah bagi menetapkan keadilan sepertimana yang Allah telah tetapkan. (Lihat Ahkam al-Tas’ir fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 96)

Di antara dalil bagi pandangan ini adalah, firman Allah SWT:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

(Surah al-Nisa’: 29)

Menjual barangan dengan kenaikan harga yang melampau, khususnya ketika orang ramai terdesak memerlukannya, adalah satu bentuk memakan harta orang lain secara batil. Perniagaan yang dibenarkan oleh syarak bukanlah suatu perampasan hak atau eksploitasi terhadap keperluan orang lain.

Selain itu, terdapat riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ لاَ يَبِيعُ حَاضِرٌ لِبَادٍ دَعُوا النَّاسَ يَرْزُقُ اللَّهُ بَعْضَهُمْ مِنْ بَعْضٍ

Maksudnya: “Janganlah penduduk kota menjualkan barang-barang milik orang desa; biarkanlah orang ramai (berdagang sendiri), nescaya Allah akan memberikan rezeki sebahagian mereka melalui sebahagian yang lain.

Riwayat Muslim (1522)

Berdasarkan hadith ini, Nabi SAW melarang penduduk kota yang tahu harga menjual barang niaga kepada orang desa yang tidak tahu harga. Ini kerana perkara ini boleh melonjakkan harga. Justeru, tas’ir dibolehkan agar tidak berlaku lonjakan harga. (Lihat Syarh Hudud Ibn Arafah, hlm. 258).

Tambahan juga mereka turut menyatakan, jika kita membiarkan para pemilik harta dan harta mereka tanpa kawalan, ia akan menyebabkan kenaikan harga barang, sehingga orang ramai tidak mampu mendapatkan keperluan asas dan keperluan mendesak mereka.

Keadaan ini boleh mendorong mereka untuk melakukan perampasan, merampas harta orang lain, serta menumpahkan darah, belum lagi kerosakan yang berlaku dalam urusan jual beli. Semua ini adalah kemungkaran yang wajib dicegah, dielakkan, dan ditangani melalui penetapan harga (tas‘ir). (Lihat al-Hisbah oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, hlm. 32).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di artas, kami nyatakan bahawa menetapkan harga barang boleh jadi menzalimi dan boleh jadi hukumnya adalah diharuskan untuk keadilan kepada rakyat dan peniaga. Jika memaksa manusia tanpa hak ke atas satu-satu jualan dengan harga yang mereka tidak redha, maka hukumnya adalah haram. Sebaliknya jika ia dilaksakan kerana ada usaha daripada kartel untuk menindas, maka hukumnya adalah dibolehkan. Bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu, ia menjadi keperluan bagi seluruh manusia dengan dua syarat:

Pertama: Keperluan mendesak bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat disebabkan harga barang yang meningkat.

Kedua: Harga barang yang amat tinggi kerana barang yang “sedikit” (sama ada benar-benar kurang atau disembunyikan) dan permintaan yang amat banyak.

Jika dua perkara ini berlaku, maka hukum menetapkan harga barang adalah diharuskan.

Pendapat yang sama turut dikemukakan oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang bersidang pada 1409 H bersamaan 1988 M. Antara keputusannya: “Tidak boleh pemerintah campur tangan dalam harga barang kecuali terdapat kecacatan yang nyata di pasaran atau nilai harga kerana pelbagai punca. Ketika itu pemerintah boleh masuk campur bagi menegakkan keadilan semampu mungkin dan untuk mengelakkan berlakunya kenaikan yang mendadak, penipuan dan kecacatan dalam harga barang.”

Ini adalah selari dengan pandangan tokoh ekonomi Islam terkemuka masa kini, Syeikh Muhammad Taqi Uthmani yang menyebutkan, sesungguhnya penetapan harga barang tidak boleh dilaksanakan, melainkan pada keadaan-keadaan yang luar biasa, apabila orang ramai berada dalam keadaan terdesak akibat harga yang terlalu tinggi pada barang-barang yang orang ramai berhajat padanya seperti makanan, minuman dan pakaian. Jika tidak berlaku keadaan sedemikian, maka hukum asalnya adalah hendaklah dibiarkan para peniaga dan pembeli untuk berniaga berdasarkan harga yang mereka suka. (Lihat Fiqh al-Buyu‘, 2/1002)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya adalah sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.