Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya tahu bahawa anjing termasuk dalam najis mughallazah dan jika tersentuhnya maka hendaklah menyertu tempat yang disentuh itu. Jadi, timbul kemusykilan dalam diri saya, bolehkah saya memegang dan mengusap-ngusap anjing secara sengaja, kemudian menyertu tangan saya yang memegangnya itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut mazhab Syafi‘i, anjing termasuk dalam kategori najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya dengan air bercampur tanah.[1] Imam al-Nawawi menjelaskan lagi perkara ini bahawa anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Di antara dalil yang menunjukan kepada kenajisannya adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:
إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ
Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.”[2]
Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta.
Begitu juga dengan riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”[3]
Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian daripada hadas tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis.[4]
Selain itu, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama mengenai memegang anjing pada bulu atau kulitnya semasa kedua-dua anjing dan si pemegang itu dalam keadaan kering. Ulama bersepakat mengatakan bahawa bersentuhan dengan anjing ketika itu — yakni dalam keadaan kering — tidak memerlukan tangan yang memegang itu disertu. Perkara yang menjadi perselisihan adalah apabila salah satunya basah; iaitu sama ada si pemegang atau anjing yang basah. Menurut mazhab Syafi‘i, seseorang yang tersentuh anjing dalam keadaan ini — yakni salah satunya basah — hendaklah menyertu tempat yang disentuh itu bagi menghilang kenajisan tersebut. Hal ini adalah sebagaimana difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa tidak ada perbezaan di sisi kami — yakni ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah.[5]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut mazhab Syafi‘i, menyentuh najis secara sengaja tanpa sebarang tujuan atau keperluan adalah haram. Hal ini adalah seperti mana dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini, al-Ramli dan lain-lain bahawa:
التَّضَمُّخ بِالنَّجَاسَةِ حرام
Maksudnya: “Melumur dengan najis — secara sengaja — adalah haram.”[6]
Pengarang-pengarang hasyiah dalam mazhab Syafi‘i mengikat hukum haram tersebut, jika ia dilakukan tanpa sebarang keperluan seperti yang disebutkan oleh al-Syabramalisi, al-Syarwani dan lain-lain.[7] Di dalam Bughyah al-Mustarsyidin dinyatakan bahawa haram untuk menyentuh najis secara terus (direct) dalam keadaan lembap atau basah tanpa sebarang keperluan. Maka, wajib membasuhnya secara segera (jika menyentuhnya tanpa keperluan), berbeza sekiranya ada keperluan seperti beristinja’.[8]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa orang Islam tidak boleh memegang anjing tanpa sebarang keperluan kerana anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah. Lebih-lebih lagi, menyentuh najis tanpa sebarang keperluan juga adalah bertentangan dengan sifat orang Muslim itu sendiri. Hal ini kerana sifat seorang Muslim itu suka pada kebersihan dan menjauhi segala perkara kotor serta najis.
Walau bagaimanapun, tidak mengapa menyentuhnya jika ada keperluan seperti mereka yang membelanya sebagai haiwan pemburu, pemandu jalan orang buta, penjaga rumah dan ternakan, atau bagi tujuan merawatnya dan sebagainya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40.
[2] Riwayat al-Nasa’i (66)
[3] Riwayat Muslim (279)
[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568.
[5] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185.
[6] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/194; Nihayah al-Muhtaj, 1/185.
[7] Lihat Tuhfah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/174; Nihayah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syabramalisi wa al-Rasyidi, 1/143.
[8] Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 33.