Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan berkenaan tempoh ‘iddah bagi wanita yang mengalami keguguran? Misalnya, seorang wanita yang sedang hamil telah kematian suaminya. Kemudian, dalam tempoh ‘iddah tersebut, beliau mengalami keguguran pula. Jadi, bagaimana dengan tempoh ‘iddah tersebut? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian ‘Iddah

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan.[1]

Dalam erti kata yang lain, iddah memberi maksud tegahan kepada wanita untuk berhias dan yang membawa kepada maknanya pada tempoh tertentu dalam keadaan tertentu. Ia membawa maksud tegahan daripada bermalam selain daripada rumahnya.[2]

Daripada Ummu Habibah R.A katanya:, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.” [3]

Iddah kerana kematian ialah `iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:

  • Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka `iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada `iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
  • Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka `iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari.[4]

Perempuan yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

  1. Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, berhias, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.
  2. Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Contohnya, dia memerlukan makanan dan seumpamanya atau menjual barang kepunyaannya bagi mendapatkan hasil, sedangkan tiada sesiapa yang akan melakukan kerja-kerja tersebut bagi pihaknya. Ataupun, dia pekerja dalam sesuatu pekerjaan yang tidak membenarkannya tinggal di rumah berterusan sepanjang tempoh `iddah. Atau isteri itu terpaksa menghilangkan kesunyiannya dengan berbual-bual bersama jirannya. Dalam keadaan ini, isteri tidak haram meninggalkan rumahnya untuk tujuan tersebut.[5]

Imam al-Ramli di dalam kitabnya menyatakan, keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita ber’iddah hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam di rumah tempat ‘iddahnya.

Hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:

  • Menunjukkan kesetiaan kepada suami yang telah meninggal. Oleh itu Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya dan setia. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
  • Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya.[6]

Tempoh ‘Iddah dan Dalilnya

Secara umumnya, tempoh iddah dan dalil-dalilnya adalah seperti berikut:

Pertama: Iddah wanita yang masih didatangi haid, diceraikan semasa suami hidup: 3 Kali Suci. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya:Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci.”[7]

Kedua: ‘Iddah bagi wanita yang masih didatangi haid yang kematian suami: 4 bulan 10 hari. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.”[8]

Terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.[9]

Ketiga: ‘Iddah bagi wanita hamil yang dicerai semasa suami hidup atau kematian suami: Selepas kelahiran anak. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَأُوْلَٰتُ ٱلْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.”[10]

Pengertian Keguguran

Manakala keguguran ialah  janin yang keluar dari perut ibunya dalam keadaan mati sebelum cukup tempoh masanya.”[11]

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, keguguran berlaku apabila semua atau sebahagian dari kandungan terkeluar atau dikeluarkan dari rahim pada usia kandungan kurang dari 22 minggu. Kandungan yang tidak menunjukkan perkembangan atau tidak lagi menunjukkan tanda-tanda hidup juga dirujuk sebagai keguguran jika berlaku kurang dari 22 minggu. Keguguran berlaku kepada 8-20% ibu mengandung. Kebanyakan kes (80%) berlaku sebelum minggu ke 13 manakala 20% berlaku pada ibu yang kurang dari 22 minggu mengandung.

Banyak faktor boleh menyebabkan keguguran dan selalunya ia berbagai (multifactorial) dan bertindih. Antaranya adalah:

  1. Masalah genetik: 30% keguguran berlaku sebelum minggu ke-8 dan penyebab utama adalah masalah genetik.  Embrio terhasil dari persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin.  Masalah genetik merangkumi 40-45% dari sebab keguguran.
  2. Masalah penyakit  si ibu: seperti kencing manis yang tidak terkawal, masalah struktur dalam rahim (septum) atau fibroid (lihat fibroid)

Keguguran boleh dikategorikan kepada beberapa jenis seperti berikut:

Pertama: Keguguran spontan – Keguguran disebabkan faktor semula jadi seperti berikut:

  • Replika kromosom yang tidak normal
  • Faktor alam sekitar
  • Trauma pada kandungan yang tidak dapat dielakkan

Kedua: Keguguran Perubatan (terapeutik) – Keguguran dilakukan atas sebab-sebab perubatan seperti berikut:

  • Bagi menyelamatkan nyawa ibu
  • Bagi mengekalkan tahap kesihatan fizikal dan mental ibu
  • Bagi menghalang kelahiran janin yang dikesan mempunyai kecacatan yang teruk

Ketiga: Keguguran secara paksaan – Keguguran yang sengaja dilakukan, selalunya atas kehendak sendiri disebabkan:

  • Melewatkan kehamilan atau tidak mahu mengandung lagi
  • Tidak mahu mengganggu kerja atau pelajaran
  • Mengelakkan masalah kewangan dan perhubungan
  • Kehamilan yang tidak dirancang atau diingini kerana tidak menggunakan kontraseptif[12]

‘Iddah Wanita yang Hamil

Mengikut mazhab Syafie, para ulama’ mengatakan tempoh ‘iddah wanita yang mengandung berakhir setelah keluarnya janin dalam kandungan yang sudah berbentuk manusia (iaitu memiliki kepala, tangan, kaki, mata, telinga dan mulut) samada dalam keadaan hidup atau mati.

Al-Khatib Al-Syarbini berkata: “Dan berakhirnya ‘iddah apabila keluarnya janin sekalipun sudah meninggal dunia berdasarkan keumuman ayat al-quran sebelum ini. Dan tidak diiktibar habisnya ‘iddah dengan keluarnya janin dalam bentuk alaqah kerana ia adalah air mani yang menempel pada dinding rahim dan kemudiannya berubah menjadi segumpal darah, maka jika janin yang keluar berupa ‘alaqah, maka wanita tersebut tidak diiktibar hamil kerana ia masih berupa gumpalan darah dan dihukum selesai ‘iddahnya dengan keluarnya mudhghoh iaitu segumpal darah yang berubah menjadi segumpal daging.”[13]

Imam al-Ramli pula menyebut: Dan berakhirnya ‘iddah apabila keluarnya janin sekalipun sudah meninggal dunia, dan bukannya dalam keadaan ‘alaqah kerana ianya bukan dinamakan kandungan dan tidak dapat dipastikan bahawa ianya adalah awal kejadian manusia. Adapun berakhirnya ‘iddah sekiranya keluar janin dalam keadaan mudghah sekalipun rupa kandungan itu samar (jika telah disahkan oleh para bidan atau pakar perubatan) atau sekiranya rupa kandungan itu jelas kelihatan berbentuk manusia (iaitu memiliki kepala, tangan, kaki, mata, telinga dan mulut) atau sekiranya tidak kelihatan rupanya tetapi disahkan oleh bidan atau pakar perubatan bahawa ianya adalah kandungan yang sebenar kerana hal tersebut telah mencapai matlamat bara’ah al-rahim (bersihnya rahim dari kandungan)”.[14]

Imam al-Nawawi berkata: “Dan sekiranya seorang wanita itu melahirkan kandungan yang sudah berbentuk manusia, maka berakhirlah ‘iddahnya, dan sekiranya yang keluar itu janin dalam bentuk mudghah dan tidak kelihatan rupa manusia dan bersaksi empat orang bidan bahawa janin tersebut ialah awal kejadian manusia (kandungan yang sebenar), maka terdapat dua pandangan dalam hal ini, dan salah satunya mengatakan bahawa hal tersebut boleh menggugurkan ‘iddah”.[15]

Imam al-Nawawi berkata lagi: “Dan sekurang-kurang tempoh ‘iddah bagi perempuan yang mengandung ialah tidak kurang 80 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan hingga sempurna keguguran. Hal ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك

Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari)….”[16][17]

Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyah menyebut: “Sekiranya janin yang gugur itu kelihatan rupa manusia sekalipun dalam keadaan samar, seperti nampak tangan, kaki, kuku dan sebagainya maka darah yang keluar itu dihukumkan nifas dan hal tersebut menggugurkan ‘iddah wanita tersebut. Adapun sekiranya janin tersebut tidak kelihatan rupa manusia seperti janin yang keluar dalam keadaan mudghah tetapi tidak kelihatan rupa manusia, atau keluar dalam bentuk ‘alaqah atau mani, maka keadaan ini tidak menggugurkan ‘iddah, dan darah yang keluar tersebut tidak dihukumkan nifas, dan ke atasnya (wanita tersebut) untuk ber’iddah sebagaimana ‘iddah yang kebiasaan iaitu tiga kali suci”.[18]

Dalam Garis Panduan Ber`iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyebut bahawa: ‘Iddah wanita yang sedang mengandung ialah sehingga melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang  menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.[19]

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, tempoh ‘iddah bagi wanita mengandung yang mengalami keguguran berakhir sekiranya janin yang keluar dalam bentuk mudghah (segumpal daging) dan kelihatan rupanya secara jelas atau samar (mempunyai kepala, tangan, kuku dan sebagainya) atau tidak kelihatan rupanya tetapi dengan syarat semua keadaan ini mestilah mendapat pengesahan daripada pakar perubatan bahawa ianya adalah kandungan yang sebenar.

Sekiranya janin yang keluar dalam bentuk ‘alaqah maka ia dianggap sebagai gumpalan darah dan bukannya kandungan yang sebenar. Oleh itu ketika berlaku keguguran yang tidak dianggap sebagai kandungan yang sebenar maka wanita itu akan mengambil hukum wanita yang tidak hamil berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut ‘al-aslu bara’ah al-zimmah’ iaitu keadaan asal seorang wanita itu bebas dari tanggungan atau kosongnya rahim[20]. Justeru keadaan ini (‘alaqah) tidak menggugurkan hukum ‘iddah dan wajib bagi wanita tersebut ber’iddah menurut kebiasaan seperti wanita lain.

Berdasarkan apa yang dibahaskan di atas juga, dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut:

  • Proses kejadian manusia adalah melalui beberapa fasa di antaranya nutfah, alaqah, mudghah. ‘Alaqah ialah mani yang menempel di rahim wanita dan berubah menjadi segumpal darah iaitu tempohnya selepas 40 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan. Manakala mudghah ialah segumpal darah yang berubah menjadi segumpal daging iaitu tempohnya selepas 80 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan.

  • ‘Iddah bagi wanita yang mengandung dan mengalami keguguran berakhir apabila gugurnya kandungan dalam bentuk mudghah (segumpal daging) iaitu selepas 80 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan hingga sempurna keguguran dengan syarat hal tersebut mestilah disahkan oleh pakar perubatan bahawa ia adalah kandungan yang sebenar.

  • Adapun janin yang keluar dalam bentuk ‘alaqah (segumpal darah) iaitu kurang daripada 80 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhanhingga sempurna keguguran maka hal tersebut dianggap sebagai darah (segumpal darah) dan tidak dianggap sebagai kandungan yang sebenar. Maka, ia tidak menggugurkan ‘iddah dan wajib ke atasnya ber’iddah seperti wanita lain iaitu tiga kali suci bagi wanita yang diceraikan suami atau empat bulan sepuluh hari bagi wanita yang kematian suami. Wallahu a’lam.

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61

[2] Lihat Fath al-Qadir, 3/293; Nihayat al-Muhtaj, 7/140

[3] Riwayat al-Bukhari (5024) dan Muslim (1486)

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji 3/63

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73

[6] Lihat Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61

[7] Surah al-Baqarah: 228

[8] Surah al-Baqarah: 234

[9] Riwayat al-Bukhari (5339)

[10] (Surah at-Talaq: 4)

[11] Lihat Nihayah al-Zain, 1/156

[12] Lihat portal MyHealth oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada pautan berikut:  http://www.myhealth.gov.my/keguguran/

[13] Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/85

[14] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/134

[15] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 18/124

[16] Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)

[17] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 18/124

[18] Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyah, 2/99

[19]  http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/124-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-bercerai-atau-kematian-suami

[20] Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/79

Leave a Reply