#900: Umat yang Masuk Melalui Pintu al-Rayyan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah pintu syurga al-Rayyan yang disediakan untuk orang banyak berpuasa hanya dikhususkan buat umat Nabi Muhammad SAW sahaja? Atau umat-umat selain umat Nabi Muhammad SAW juga boleh masuk melalui pintu ini juga ke dalam syurga kelak? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan sebuah hadith berkenaan kelebihan puasa, sepertimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، إِلَّا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا: إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ، وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Maksudnya: Allah berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) adalah untuknya melainkan puasa, kerana sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran (pahala). Puasa itu adalah merupakan perisai. Oleh itu, janganlah berkata keji dan jangan pula berteriak-teriak. Sekiranya ada seseorang mencelanya atau memeranginya, maka katakanlah,“Sesungguhnya aku berpuasa.” Demi Dia (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan, dia berasa gembira dengan dua perkara, iaitu apabila berbuka dia berasa gembira  dan apabila bertemu Tuhannya, dia berasa gembira dengan puasanya.[1]

Dalam menjelaskan lafaz ‘فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ’ (Puasa itu untuk-Ku dan Aku-lah yang akan membalasnya), Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Baidhawi berkata: Terdapat dua perkara yang menjadi sebab mengapa ibadah puasa diistimewakan dengan kelebihan seperti ini, iaitu:

Pertama: Kerana ibadah-ibadah selainnya dapat dilihat oleh manusia, berbeza dengan puasa kerana ia merupakan rahsia antara hamba dan Allah SWT. Dia melakukannya dengan ikhlas dan mengerjakannya kerana mengharapkan redha-Nya. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah SWT dalam sabda Baginda SAW, ‘الصَّوْمُ لِي’ (Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku).

Kedua: Kerana seluruh perbuatan baik dilakukan dengan cara mengeluarkan harta atau menggunakan anggota fizikal. Manakala puasa mencakupi perbuatan mengekang hawa nafsu dan menjadikan fizikal menjadi lemah. Dalam ibadah puasa, terdapat unsur kesabaran menahan rasa lapar, haus dan meninggalkan syahwat. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah SWT dalam sabda Baginda SAW: “Dia meninggalkan syahwat kerana-Ku.”[2]

Imam al-Munawi pula menjelaskan: (Yakni), orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain, kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku.[3]

Maksud al-Rayyan

Daripada Sahl R.A, Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ فِي الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَقُومُونَ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ، فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya (pintu tersebut) pada hari kiamat, serta tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Ditanyakan: “Dimanakah orang-orang yang berpuasa?” Lalu mereka pun berdiri. Tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Apabila mereka telah masuk, pintu itu ditutup, dan tidak ada seorang pun yang masuk (lagi) melaluinya.”[4]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari[5] menjelaskan: Al-Rayyan adalah nama salah satu pintu di syurga yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Lafaz tersebut sesuai dengan maknanya, kerana al-Rayyan berasal daripada perkataan ‘الرِّيّ’ (tidak merasa dahaga). Ia bersesuaian dengan keadaan orang-orang yang berpuasa. Bahkan, disebutkan bahawa sesiapa yang masuk melalui pintu tersebut, maka dia tidak akan merasa haus lagi selama-lamanya.

Al-Qurtubi berkata: “Disebutkan dengan lafaz ‘الرِّيّ’ (tidak merasa dahaga) tanpa menyentuh berkenaan ‘kenyang’ kerana perkataan kedua tersebut merupakan kesinambungan kepada perkataan yang pertama.” Kata al-Hafiz Ibn Hajar: “Atau kerana dahaga itu lebih berat daripada lapar bagi orang yang berpuasa.”

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi: Hadith ini telah diriwayatkan melalui jalur lain dengan lafaz: ‘إِنَّ لِلْجَنَّةِ ثَمَانِيَة أَبْوَاب ، مِنْهَا بَاب يُسَمَّى الرَّيَّان لَا يَدْخُلهُ إِلَّا الصَّائِمُونَ’ (Sesungguhnya syurga memiliki lapan pintu. Antaranya terdapat pintu yang bernama al-Rayyan. Hanya orang-orang yang berpuasa yang masuk melalui pintu itu). Demikian al-Jauzaqi meriwayatkan melalui jalur Abu Ghassan daripada Abu Hazim. Imam al-Bukhari juga meriwayatkan melalui jalur yang sama dalam pembahasan tentang awal mula penciptaan, tetapi disebutkan dengan lafaz ‘فِي الْجَنَّة ثَمَانِيَة أَبْوَاب’ (Di syurga ada lapan pintu).[6]

Imam al-Nawawi menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.[7]

Mulla al-Qari berkata: Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir, bunga dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”[8]

Izzuddin bin Abd al-Salam dalam kitab Fawaid al-Saum menyebut: Adapun dikhususkan kepada mereka memasuki syurga dari pintu al-Rayyan kerana keistimewaan ibadat mereka dan kemuliaannya.”

Itulah suatu gambaran yang sebenarnya tentang makna yang didapati pada kalimah al-Rayyan dan ianya buat selama-lamanya bagi penghuni syurga yang menjalankan segala urusan Allah SWT.

Adakah Pintu al-Rayyan Hanya Khusus Bagi Umat Nabi Muhammad SAW?

Dalam sebuah hadith, disebut bahawa setiap orang akan memasuki syurga melalui pintu amalan yang telah dia kerjakan di dunia. Dijelaskan dalam hadith tersebut, bahawa salah satu pintu yang disediakan adalah pintu al-Rayyan, di mana ia dikhususkan buat mereka yang berpuasa. Hadith yang dimaksudkan adalah sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الجَنَّةِ: يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ، فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ، فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ كُلِّهَا؟ قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa menginfakkan sepasang (daripada harta benda) di jalan Allah, maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga, “Wahai hamba Allah, ini adalah satu kebaikan.” Sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang solat, maka akan diseru daripada pintu solat, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berjihad, akan diseru dari pintu jihad, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berpuasa, akan diseru daripada pintu al-Rayyan, dan sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang bersedekah, akan diseru daripada pintu sedekah.” Setelah itu, Abu Bakar R.A bertanya: “Demi bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudaratan. Lalu adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu-pintu itu?” Baginda menjawab: “Ya, dan aku berharap engkau termasuk dalam kalangan mereka.”[9]

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini menjelaskan bahawa setiap orang akan masuk ke dalam syurga melalui pintu amalan mereka kerana mereka sentiasa berterusan melakukan amalan ketaatan seperti solat, puasa dan sebagainya.[10]

Hal ini bermaksud, sekiranya orang beriman melakukan sesuatu amalan dan dia melazimi amalan tersebut, maka dia layak untuk masuk ke syurga menerusi pintu-pintu yang khusus baginya. Malah, al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa selain daripada pintu-pintu yang disebutkan, ada lagi pintu-pintu yang lain seperti pintu haji, pintu zikir, pintu ilmu dan yang paling kanan sekali adalah pintu yang dikhususkan untuk ahli tawakkal yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab.[11]

Berbalik kepada persoalan di atas, hadis tersebut kekal dengan keumumannya. Ini bermakna pintu al-Rayyan juga boleh dimasuki oleh umat-umat selain umat Nabi Muhammad. Ini kerana tiada nas atau dalil yang khusus yang menyatakan bahawa pintu al-Rayyan dikhususkan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Pengkhususan terhadap sesuatu perkara khususnya yang melibatkan perkara ghaibiyat memerlukan dalil atau nas. Jika tiada ianya kekal dengan keumumannya. Kaedah menyebut :

إِذَا وُرِدَ في النَّصِّ الشَّرْعِي لَفْظ عامٌ وَلَمْ يَقُمْ دَلِيلٌ عَلَى تَخْصِيصِه، وَجَبَ حَمْلُهُ على عُمُومِه

Maksudnya: “Jika di dalam nas syara’ menyebutkan lafaz umum dan tiada dalil yang mengkhususkannya maka wajib dikekalkan keumumannya.”[12]

Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa pintu ini dikhususkan untuk orang beriman yang sentiasa melazimi amalan puasa.[13]

Atas dasar ini, maka dapat difahami bahawa umat-umat sebelum umat Nabi Muhammad juga layak memasuki pintu al-Rayyan asalkan mereka beriman kepada Allah SWT. Meskipun begitu, umat yang paling awal masuk syurga melalui pintu ini ialah umat Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan umum hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Sabda Nabi SAW:

نَحْنُ الْآخِرُونَ الْأَوَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَنَحْنُ أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا وَأُوتِينَاهُ مِنْ بَعْدِهِمْ

Maksudnya: “Kita adalah umat yang terakhir (dari sudut zaman) juga umat yang terawal (mendapat kelebihan) pada hari kiamat. Kita juga adalah umat yang paling awal sekali masuk ke dalam syurga. Walaupun mereka (umat-umat terdahulu) diberikan kitab sebelum kita dan kita diberikan selepas daripada mereka.”[14]

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dapat difahami bahawa pintu al-Rayyan tidak hanya dikhususkan buat umat Nabi Muhammad SAW. Hal ini berdasarkan keumuman hadis tersebut, dan tiada nas yang menyatakan bahawa pintu al-Rayyan hanya dikhususkan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, ia juga akan dimasuki oleh umat-umat Nabi yang terdahulu, yang datang sebelum umat Nabi Muhammad SAW.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

 

[1] Riwayat al-Bukhari (1904)

[2] Lihat Fath al-Bari, 4/108

[3] Lihat Faidh al-Qadir, 4/250

[4] Riwayat al-Bukhari (1896) dan Muslim (1152)

[5] 6/132

[6] Lihat Fath al-Bari, 6/132

[7] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/155

[8] Lihat Mirqat al-Mafatih, 4/1361

[9] Riwayat al-Bukhari (1897) dan Muslim (1705)

[10] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/100

[11] Lihat Fath al-Bari, 7/37

[12] Lihat ‘Ilm Usul al-Fiqh oleh ‘Abd al-Wahhab Khallaf, hlm. 142

[13] Lihat Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, 19/147

[14] Riwayat Muslim (1413)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *