Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya, jika seseorang itu sengaja tidur selepas bersahur dan sejam sahaja lagi sebelum masuknya waktu Subuh kerana terlalu penat, dan bagaimanakah status puasanya? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”[1]
Ayat ini menunjukkan bahawa solat-solat itu telah ditentukan waktunya yang tersendiri. Dalam erti kata lain, setiap solat memiliki waktu permulaan dan waktu akhirnya. Justeru, tidak boleh mendahulukannya mahupun mengakhirkannya. Hal ini kerana Allah SWT mewajibkan para hamba-Nya untuk mendirikan solat dan menentukan waktu-waktu solat itu. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak boleh menunaikannya bukan pada waktunya melainkan terdapatnya keuzuran syar‘i seperti tertidur, tidak sengaja (terlupa) dan seumpamanya.[2]
Secara umumnya, waktu sahur adalah bermula pada pertengahan malam sehingga sebelum terbitnya fajar. Selain itu, disunatkan juga untuk melewatkan sahur dan ia termasuk dalam perkara yang afdhal.[3]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya tidak mengapa seseorang itu tidur semula selepas bersahur disebabkan oleh terlalu penat atau sebagainya. Lebih-lebih lagi jika waktu yang berbaki sebelum masuknya waktu Subuh itu masih panjang. Apatah lagi, jika seseorang itu kepenatan yang memerlukannya untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Selain daripada itu, tidur selepas bersahur ini juga berkait rapat dengan perbahasan ulama, jika seseorang itu tidur sebelum masuknya waktu solat. Mengenai hal ini, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tidur sebelum masuknya waktu solat, secara zahirnya hukumnya adalah tidak makruh kerana dia belum lagi diwajibkan dengannya — yakni diwajibkan untuk menunaikannya kerana waktunya belum lagi masuk. Malah ulama dalam kalangan mazhab Maliki berpendapat diharuskan baginya untuk tidur dan tidak ada dosa ke atasnya.[4] Di samping itu, al-Ramli juga menyatakan, sekiranya seseorang itu tidur sebelum masuknya waktu solat, maka hukumnya tidak haram sekalipun kuat sangkaannya bahawa dia tidak akan bangun — bagi mendirikan solat itu — kerana dia belum lagi diwajibkan dengannya.[5]
Tambahan lagi al-Khatib al-Syirbini turut menyebutkan, secara zahirnya tidak dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang tidur sebelum masuknya waktu solat kerana dia belum lagi diwajibkan dengannya, begitu juga tidak dihukumkan sebagai haram perbuatan itu, jika kuat sangkaannya dia akan tenggelam dalam tidurnya sehingga keluar waktu.[6] Manakala Ibn Hajar al-Haitami pula berpendapat, tidur selepas masuknya waktu solat termasuk dalam tidur yang dimakruhkan menurut kebanyakan ulama dan hal ini dikuatkan lagi — yakni disokong — dengan perintah wajib untuk berjalan ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat bagi mereka yang mana rumahnya jauh sebelum masuknya waktu solat.[7]
Asalkan tidur itu, tidak menyebabkan dia terlepas daripada menunaikan solat Subuh. Begitu juga puasa orang yang tidur selepas bersahur juga masih dikira sah, selagi mana tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkannya. Namun, persoalan yang timbul adalah jika seseorang itu tidur selepas bersahur dalam keadaan waktu Subuh sudah hampir masuk seperti setengah jam sahaja lagi atau kurang daripada itu. Dalam hal ini kami melihat, ia dekat dengan perbahasan para ulama berkaitan
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan tidak makruh seseorang itu tidur semula selepas bersahur dan sebelum masuknya waktu Subuh. Lebih-lebih lagi, jika waktu yang berbaki sebelum masuknya waktu Subuh itu masih panjang dan dia sangat berhajat kepada tidur tersebut disebabkan oleh kepenatan yang dialaminya. Walau bagaimanapun, dia hendaklah berusaha untuk bangun semula apabila masuknya waktu Subuh bagi menunaikannya, sama ada dengan mengunci jam loceng atau berpesan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk mengejutkannya pada waktu tertentu selepas seseorang itu masuk tidur. Begitu juga puasanya masih dikira sah selagi mana tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Walau bagaimanapun, kami juga mengambil kesempatan di sini untuk berpesan bahawa waktu sahur merupakan waktu terbaik untuk berdoa dan beristighfar. Malah ia adalah di antara waktu yang mustajab untuk berdoa. Justeru, janganlah kita terlepas daripada mendapatkannya. Firman Allah SWT ketika menyebutkan antara sifat-sifat ahli syurga:
الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ
Maksudnya: “(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”[8]
Selain itu, kami juga ingin mengingatkan sekiranya waktu solat Subuh sudah terlalu hampir, maka sebaiknya tunggulah sekejap bagi menunaikannya terlebih dahulu. Hal ini kerana tidak sepatutnya seseorang Muslim itu mengambil sikap sambil lewa terhadap solat yang merupakan tiang agama dan juga perkara pertama daripada amalannya yang akan dihisab. Apatah lagi, di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 12 April 2022 bersamaan 10 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah al-Nisa’: 103
[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 120.
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/89; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.
[4] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/18.
[5] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/373.
[6] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/304.
[7] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/429.
[8] Surah Ali ‘Imran: 17