#936: Sejarah Pensyariatan Solat Tarawih

[ux_products]

Soalan

Apakah sejarah pensyariatan dan perkembangan solat tarawih?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.[1]

Imam al-Nawawi berkata: “Makna “إيمانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “إحتِسابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan  pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan. Makna yang dikehendaki daripada  “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.”[2]

Namun berkata al-Hafiz al-‘Iraqi: “Bukan dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah mendirikan keseluruhan malamnya bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam seperti yang difahami secara mutlak dengan pelaksanaan solat Tahajjud, solat Terawih di belakang imam — seperti kebiasaan yang dilakukan —serta pelaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah.”[3]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah S.W.T, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Imam Al-Nawawi  di dalam Syarh al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim mengatakan: Qiyam Ramadhan adalah solat tarawih.[4]

Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minin Aisyah R.Anha, katanya:

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏ “‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏”‏، وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah S.A.W sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.[5]

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah S.A.W pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah S.A.W. Demikian juga pada malam yang kedua, Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid. Maka pada malam yang berikutnya, Nabi S.A.W tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Baginda takut solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dilakukan secara berterusan.[6]

Sejarah dan Perkembangan Solat Tarawih

Syeikh Atiyyah Muhammad Salim telah menyebut panjang lebar di dalam kitabnya tentang perkembangan solat tarawih di Masjid Nabawi secara tertib:

  • Dimulakan dengan galakan melakukan tanpa disuruh.
  • Solat tarawih telah menjadi perkara sunat yang disertai dengan kefarduan puasa.
  • Solat tarawih dilaksanakan secara berkelompok.
  • Orang ramai datang ke masjid untuk solat di belakang Rasulullah SAW tanpa disedari oleh Baginda SAW. Baginda SAW juga tidak menghalang perbuatan mereka.
  • Nabi SAW menyetujui orang yang bersembahyang secara berjemaah sama ada di masjid atau di rumah.
  • Baginda SAW bersembahayang di rumah dengan keluarganya.
  • Nabi SAW bersembahyang dengan ahli keluarganya dan bersama orang ramai pada beberapa malam.[7]
  • Kemudian Baginda Nabi SAW tidak hadir solat tarawih. Pada keesokan harinya, Baginda SAW menerangkan kepada sahabat sebab Baginda SAW tidak menghadirinya kerana dikhuatiri akan difardukan solat tarawih itu kepada umatnya. Ini kerana rahmat Nabi SAW dan belas kasihannya terhadap umatnya serta takut berlaku kesusahan terhadap mereka.

Menurut satu riwayat, Nabi SAW solat bersama-sama mereka tiga atau empat malam berturut-turut.

Ibn Qudamah menyatakan, “Pendapat yang dipilih oleh Abi Abdillah (Ahmad bin Hanbal) ialah 20 rakaat. Inilah pendapat as-Thauri, Abu Hanifah dan as-Syafie. Malik berkata: 36 rakaat dalam solat tarawih. Beliau mendakwa ianya (36 rakaat) suatu perkara yang lama yang dilakukan oleh penduduk Madinah.

“Bagi kami, adalah riwayat daripada al-Hassan meriwayatkan bahawa Umar menghimpun orang ramai di bawah Ubai bin Ka’ab dengan 20 rakaat dan membaca qunut selepas pertengahan bulan yang kedua. Ketika sepuluh malam terakhir, Ubai tidak hadir sembahyang menjadi imam kerana melakukannya di rumah. Juga terdapat riwayat daripada Ali bin Abi Talib yang menyuruh supaya bersembahyang sebanyak 20 rakaat. Ini seolah-olah sudah hampir menjadi ijmak iaitu 20 rakaat (di kalangan ulama mazhab).”[8]

Sebab berlaku pertambahan bilangan rakaat antara penduduk Madinah ke atas penduduk Mekah ilah kerana penduduk Mekah tawaf sekeliling Kaabah setiap dua rakaat tarawih dan solat sunat tawaf dua rakaat.

Maka ahli Madinah menjadikan setiap tawaf yang dilakukan satu tarawih sehinggalah bilangannya menjadi 36 rakaat.

Syeikh Abdullah al-Ghummari berkata di dalam kitab Asrar as-Siyam bahawa, “Tidak benar daripada Baginda SAW tentang Baginda SAW solat lebih daripada 8 rakaat selain witir. Sesiapa yang hanya melakukannya dengan jumlah itu maka itulah yang paling afdal dan sesiapa yang menambah lebih dari itu maka tidak mengapa (tiada kesempitan) kerana syarak tidak menghalang ditambah bilangannya lebih dari 8 rakaat.”

Imam Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa, “…Solat tarawih jika seseorang solat mengikut mazhab Abu Hanifah, as-Syafie dan Ahmad iaitu 20 rakaat, atau mazhab Malik iaitu 36 rakaat atau 13 rakaat ataupun 11 rakaat maka kesemuanya adalah terbaik.”

Kesimpulannya, mana-mana bilangan rakaat yang hendak dilaksanakan semuanya ada nas dan riwayat yang menyebut demikian. Maka tidak perlu berbahas dan bertelingkah di dalam masalah bilangan rakaat tarawih. Kesemuanya ada kebaikan.

Kebanyakan jumhur ulama berpandangan bahawa hendaklah dilakukan solat tarawih 20 rakaat. Sesiapa yang melakukan 8 rakaat hendaklah memanjangkan bacaan ayat al-Quran kerana ia merupakan sunnah yang diajar kepada kita oleh baginda SAW dan para Khulafa ar-Rasyidin.

Dan bagi yang solat 20 rakaat, janganlah dilakukan dengan begitu cepat sebagaimana yang berlaku di sesetengah masjid di negara kita.

Syeikh al-Qaradawi berkata, “Tidak boleh kita mengingkari mereka yang solat 20 rakaat dengan menyatakan ia mengingkari sunnah atau solat 8 rakaat dengan menyatakan ia menyalahi athar yang menerangkan perbuatan golongan salaf yang terdahulu. Mengikut Imam Syafie, tidak boleh menyalahkan satu sama lain di dalam masalah ini selagi mana dikerjakan dengan tertib dan khusyuk. Dan juga kerana tiada kesempitan (diberi keluasan) padanya untuk melaksanakan apa sahaja yang sesuai bagi dirinya.”[9]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Kami akhiri dengan Firman Allah SWT:

مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.[10]

Wallahua`lam.

Bertarikh: 12 April 2022 bersamaan 10 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

[2] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[3] Lihat Tarh al-Tathrib, 4/161

[4] Lihat Syarh al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim, 6/377

[5] Riwayat Al-Bukhari (1129)

[6] Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, 4/180

[7] Lihat al-Tarawih Akhtar Min Miati ‘Aam fi Masjid al-Nabi, hlm. 20-22

[8] Lihat al-Mughni, 2/604

[9] Lihat al-Fath, 5/157 dan Taisir al-Fiqh, hlm. 123)

[10] Surah al-Maidah: 6

Leave A Comment