Soalan
Apakah dibolehkan untuk menderma darah ketika puasa?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[1]
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.[2]
Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[3]
Derma Darah Ketika Puasa
Derma darah berlaku apabila seseorang secara sukarela telah membenarkan darahnya diambil dan digunakan untuk pemindahan atau dijadikan ubat biofarmaseutikal melalui proses yang dipanggil pemeringkatan (pengasingan komponen seluruh darah). Derma darah mungkin darah keseluruhan (WB), atau komponen khusus secara terus (dipanggil apheresis kedua). Bank darah sering mengambil bahagian dalam proses pengumpulan serta prosedur yang mengikutinya.[4]
Berkenaan perbuatan mendermakan darah, ia diqiaskan kepada perbuatan berbekam ketika puasa sama ada ia membatalkan puasa ataupun tidak, para ulama’ berbeza pendapat:
Pertama: Membatalkan Puasa
Ulama’ terdahulu yang mengatakan terbatalnya puasa dengan berbekam adalah seperti Imam Ahmad, Ibn Sirin, Ato’, al-Auza’ie, Ishak, Ibn al-Munzir, Ibn Khuzaimah dan ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Manakala daripada kalangan sahabat pula adalah seperti Saidina Ali RA, Abu Hurairah RA dan ‘Aisyah R.Anha.[5]
Ulama’ dari kalangan salaf dan khalaf yang mengatakan terbatalnya puasa dengan sebab berbekam menggunakan dalil dari sebuah hadith riwayat
أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ
Maksudnya: “Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam”.[6]
Antara ilmuan dalam dalam kalangan ulama’ kontemporari pula yang menyatakan batalnya puasa bagi orang yang berbekam ialah Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Syeikh Soleh al-Munajjid dan juga Syeikh Soleh Fauzan.
Berdasarkan pendapat yang terbatalnya puasa dengan berbekam maka ianya diqiyaskan dengan keadaan seseorang yang mendermakan darah dan disebabkan oleh itu, mereka yang menderma darah, maka terbatallah puasanya.
Syeikh Muhammad bin Soleh menyatakan: Oleh sebab itu, tidak dibolehkan bagi orang yang sedang berpuasa melakukan derma darah, kecuali dalam keadaan darurat, maka dia boleh mendermakan darahnya tetapi puasanya batal dia mesti menggantikannya pada hari yang lain.[7]
Kedua: Tidak Membatalkan Puasa
Ini merupakan pendapat jumhur ulama’[8] iaitu pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’ie dan selainnya. Manakala daripada kalangan sahabat yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa adalah Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Ibn Abbas, Anas bin Malik, Abu Sa’id al-Khudri R.Anhum dan sekumpulan daripada kalangan salaf yang lain.[9]
Hujah yang digunakan mereka bagi mengatakan berbekam tidak membatalkan puasa adalah sebagaiamana riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana mengatakan:
احْتَجَمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: Rasulullah SAW telah berbekam dan Baginda sedang berpuasa.[10]
Zahir perbahasan melihat bahawa terdapat dua hadith sahih yang saling bercanggah. Sebuah hadith mengatakan batalnya puasa kerana berbekam dan sebuah hadith lagi sebaliknya. Bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa dengan berbekam, mereka mengatakan bahawa hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) telah dimansukhkan. Ia dimansukhkan dengan hadith Abi Sa’id al-Khudri RA:
“أَرْخَص النّبيّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الحِجَامَةِ لِلصَّائِمِ
Maksudnya: Nabi SAW memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam.[11]
Ibn Hazm pula menyebutkan bahawa: “Sanad-sanad hadith ini sahih, dan wajib berpegang dengannya kerana datangnya rukhsah setelah adanya ‘azimah dan ianya menunjukkan kepada mansukhnya hukum terbatal puasa kerana berbekam bagi yang membekam dan yang di bekam”.
Ini juga adalah pendapat al-Imam al-Syafi’e, al-Baihaqi dan juga Ibn ‘Abd al-Bar yang mana mengatakan hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) telah mansukh.[12]
Difahami juga melalui hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) ini, sebahagiannya dengan takwilan yang mana tegahan berbekam ketika berpuasa itu adalah ditakuti melemahkan badan seterusnya menyebabkan seseorang itu berbuka puasa kerana banyaknya darah yang keluar. Ini seperti mana riwayat Anas bin Malik RA yang ditanyakan tentang berbekam:
أَكُنْتُمْ تَكْرَهُونَ الْحِجَامَةَ لِلصَّائِمِ قَالَ لاَ. إِلاَّ مِنْ أَجْلِ الضَّعْفِ
Maksudnya: “Adakah kamu membenci berbekam bagi orang yang berpuasa?” Berkata Anas bin Malik RA: “Tidak, kecuali jika ia melemahkan (tubuh badan)”.[13]
Oleh itu, dengan melihat bahawa hukum berbekam tidak membatalkan puasa, maka ianya diqiyaskan dengan hukum menderma darah yang mana ianya juga tidak membatalkan puasa.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mana mengatakan bahawa berbekam itu tidak membatalkan puasa sebagaimana hujah yang dikemukakan. Justeru, atas pendapat inilah, kami mengatakan bahawa hukum menderma darah ketika berpuasa adalah harus dan juga tidak membatalkan puasa secara umumnya. Sekiranya dengan menderma darah boleh melemahkan tubuh badan seseorang, maka pada keadaan itu makruh.
Ini juga adalah keputusan yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta Jordan[14] yang mana mengatakan menderma darah tidak membatalkan puasa kerana menderma darah bukanlah dengan erti memasukkan sesuatu bahkan ianya mengeluarkan sesuatu. Ianya zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyebutkan:
إِنَّمَا الفطر مِمَّا دَخَلَ وَلَيْسَ مِمَّا خَرَجَ
Maksudnya: “Adalah yang membatalkan puasa itu sesuatu yang masuk ke dalam dan bukannya sesuatu yang keluar”[15]
Adapun mengambil ujian darah, maka ia juga diharuskan dan tidak membatalkan puasa. Jika dinisbahkan ujian darah dengan menderma darah, maka kita dapati bahawa jumlah darah yang keluar dengan menderma darah lebih banyak kuantitinya daripada darah yang diambil untuk tujuan ujian.
Bahkan Laman Web Rasmi Majlis Keselematan Negara telah mengeluarkan garis panduan untuk menderma darah ketika berpuasa, iaitu:
- Melewatkan Sahur
- Mengambil makanan yang secukupnya ketika bersahur
- Menderma darah dalam masa 4 jam selepas bersahur. Sekiranya seseorang itu bersahur jam 5.30 pagi, maka paling lewat dia boleh menderma darah ialah pada jam 9.30 pagi.
- Pernah menderma darah sebelum ini tanpa ada kesan sampingan seperti pening atau pengsan selepas menderma darah. Penderma darah yang ingin menderma buat kali pertama adalah tidak dibenarkan ketika berpuasa.[16]
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 14 April 2022 bersamaan 12 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)
[2] Lihat Fath al-Bari, 4/115
[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39
[4] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Derma_darah
[5] Lihat al-Insaf (3/302), al-Furu’ (3/48) & Majmu’ al-Fatawa (25/255).
[6] Riwayat Abu Dawud (2369), Al-Tirmizi (774) & Ibn Majah (1679)
[7] Lihat Majalis Syahr Ramadhan, hlm. 71
[8] Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah (1/199), Tabyiin al-Haqaiq (1/329), Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid (1/281) & al-Majmu’ (6/349).
[9] Lihat al-Mabsut (3/56), al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm. 105), al-Majmu’ (6/349) & Fath al-Bari (4/209).
[10] Riwayat Al-Bukhari (1939), Abu Daud (2372) & Al-Tirmizi (776)
[11] Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (3224) dan Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1967)
[12] Lihat Fath al-Bari, 4/178
[13] Riwayat Al-Bukhari (1940)
[14] Lihat https://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103#.YlaBeMjP3IU
[15] Riwayat al-Baihaqi (1937)
[16] Lihat https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/04/03/bolehkah-kita-menderma-darah-ketika-berpuasa/