Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah seorang isteri mendapat pahala apabila dia menjaga dirinya baik-baik dari segi kehormatan, pergaulan dan seumpamanya, terutamanya di tempat kerja daripada perkara-perkara yang diharamkan atau yang boleh menimbulkan fitnah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الدُّنْيا مَتاعٌ، وَخَيْرُ مَتاعِ الدُّنْيا المَرْأَةُ الصّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”[1]
Imam al-Qurtubi menafsirkan makna ‘wanita yang solehah’ dalam hadith di atas, iaitu wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara maruah suaminya pada dirinya dan juga harta suaminya.[2] Tafsiran ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:
ألا أُخْبِرُكَ بخيرِ ما يكنِزُ المرءُ؟ المرأةَ الصالحةَ: إذا نَظَر إليها سَرَّته، وإذا أمَرَها أطاعَتْه، واذا غَابَ عنها حَفِظْتْه
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”[3]
Berbalik kepada soalan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa memelihara diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang diharamkan merupakan antara tuntutan agama. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ. فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Biarkan aku sepertimana aku membiarkan kamu. Sesungguhnya yang membinasakan manusia sebelum kamu ialah pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila aku melarang kamu daripada sesuatu, maka jauhilah ia dan jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”[4]
Selain daripada itu, menjauhi daripada perkara yang dikhuatiri akan mengheret kepada perkara yang haram termasuk di antara sifat-sifat orang bertaqwa dan beriman. Mengenai perkara ini, Abu Darda’ R.A. ada menjelaskan bahawa kesempurnaan taqwa itu adalah apabila seorang hamba takutkan Allah sehinggakan dalam sekecil-kecil perkara (sebesar zarah) dan juga dia meninggalkan perkara yang halal kerana takut terjebak kepada yang haram, sebagai penghalang antara dirinya dengan perkara yang haram.[5]
Tambahan lagi, seseorang yang berazam untuk meninggalkan perkara mungkar diberikan ganjaran pahala. Terdapat sebuah hadith qudsi, daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, tentang apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya ‘Azza wa Jalla, Baginda bersabda bahawa Allah SWT berfirman:
إِنَّ اللهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskannya. Maka sesiapa yang hendak mengerjakan suatu kebaikan tetapi dia tidak jadi melaksanakannya, maka Allah menetapkan niatnya itu baginya satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan jika dia hendak mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda, bahkan berkali-kali ganda banyaknya di sisi-Nya. Adapun sesiapa yang merancang untuk melakukan mana-mana keburukan dan dia tidak melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan jika dia berniat untuk mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menetapkannya sebagai satu keburukan di sisi-Nya.”[6]
AL-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, sesuatu keazaman itu telah menguatkan lagi niat bagi melakukan perbuatan tersebut. Misalnya seseorang itu telah berkata: “Aku telah berazam untuk ini — yakni melakukannya.” Dalam erti kata lain, “Aku telah berniat dengan tekad akannya,” dan ia adalah lebih tinggi kedudukannya berbanding sekadar sesuatu lintasan dengan hati.[7]
Justeru, dapat difahami bahawa sesiapa yang telah berazam dengan tekad untuk melakukan maksiat tetapi tidak melakukannya kerana takutkan Allah ‘Azza wa Jalla, maka ditulis baginya pahala. Begitulah juga, jika seseorang yang hatinya cenderung melakukan dosa dan maksiat, akan tetapi dia berusaha dan mencari jalan agar tidak melakukannya, baginya juga pahala sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith di atas.
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa seorang isteri atau suami yang menjaga kehormatan dirinya sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak iaitu menjauhi perkara-perkara yang diharamkan, yang boleh menimbulkan fitnah dan yang boleh menjatuhkan institusi kekeluargaan, akan diberi ganjaran pahala atas apa yang telah dilakukannya itu.
Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihati supaya jagalah batas-batas pergaulan sesama rakan sekerja, sama ada lelaki mahupun perempuan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Hal ini kerana sebagai seorang manusia, kita tidak dapat terhindar daripada melakukan dosa-dosa kecil akibat daripada perbuatan kita, sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ. فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الـمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي. وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian daripada zina ke atas anak Adam yang dia akan terjebak dengannya tanpa dapat dielak. Maka zina mata adalah dengan melihat, zina lidah adalah dengan percakapan dan jiwa sentiasa menginginkan dan menggemari. Lalu kemaluanlah yang membenarkan perkara itu atau mendustakannya.”[8]
Hadith ini menjadi peringatan kepada kita semua agar tidak bermudah-mudah dengan dosa-dosa kecil kerana kadang-kadang dosa kecil inilah yang menjadi perrmulaan kepada seorang anak Adam terjerumus ke dalam dosa-dosa besar. Justeru, ia mesti dijauhi dan dihindari semampu mungkin. Pada masa yang sama, perbanyakkanlah doa dan zikir kepada Allah SWT, supaya dijauhi daripada segala perasaan yang tidak sepatutnya dan seterusnya menjadi penyebab kepada terjebaknya ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan memelihara kita daripada terjerumus ke dalam maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh-Nya. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 15 April 2022 bersamaan 13 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat Muslim (1467)
[2] Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 4/85.
[3] Riwayat Abu Daud (1664)
[4] Riwayat al-Bukhari (7288); Muslim (1337)
[5] Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rejab, 1/16.
[6] Riwayat al-Bukhari (6491); Muslim (131)
[7] Lihat Fath al-Bari, 11/323.
[8] Riwayat al-Bukhari (6612)