Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya bekerja sebagai rider dalam syarikat khidmat penghantaran makanan (food delivery). Isunya, apa hukum saya menghantar makanan kepada orang tidak berpuasa?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [1]
Nabi SAW telah bersabda:
بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: “Mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan.” [2]
Pengertian puasa dari sudut bahasa adalah menahan diri daripada melalukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Manakala, puasa dari sudut Syarak pula adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.[3]
Dalam menjawab persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu siapakah golongan yang diwajibkan berpuasa, dan siapa pula golongan yang tidak diwajibkan untuk berpuasa.
Secara asasnya, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut bahawa antara syarat wajib puasa Ramadhan ialah:
Pertama: Islam
Orang yang berpuasa hendaklah seorang Islam. Puasa tidak wajib kepada orang kafir. Dengan kata lain, mereka tidak dituntut puasa semasa hidup di dunia. Ini kerana puasa merupakan satu daripada kewajipan dalam Islam. Oleh itu, selagi tidak memeluk Islam, amalan dan tuntutan berpuasa tidak bererti bagi mereka. Namun di akhirat, mereka tetap diseksa kerana kufur dan meninggalkan perkara-perkara yang dituntut oleh agama.
Kedua: Mukallaf
Mukallaf bermaksud seseorang Islam yang sampai had baligh dan waras fikirannya (عاقل). Jika salah satu daripada sifat tersebut tidak ada, dia tidak dikira mukallaf. Oleh itu, tidak dituntut sebarang urusan agama terhadapnya. Ini berdasarkan hadith, daripada Ali RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Tidak diambil kira perbuatan tiga golongan yang berikut: Orang yang tidur hingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia baligh dan orang gila sehingga dia siuman.”[4]
Ketiga: Tiada sebarang keuzuran yang menghalang puasa atau mengharuskannya berbuka. Antaranya ialah haidh atau nifas bagi wanita pada sebahagian waktu siang. Begitu juga, pitam atau gila sepanjang hari. Jika pulih dari siuman walaupun sekejap, maka seseorang itu wajib imsak (menahan diri) untuk sepanjang hari tersebut.
Antara keuzuran yang mengharuskannya berbuka ialah:
- Penyakit yang memudharatkan pesakit atau yang menyebabkan penderitaan yang teruk. Walau bagaimanapun, seseorang yang menderita kesakitan wajib berbuka sekiranya bimbang penyakit itu membahayakan dirinya.
- Perjalanan yang jauh, iaitu tidak kurang daripada 83 kilometer, dengan syarat ia adalah perjalanan yang harus dan berterusan sepanjang hari berkenaan. Namun begitu, seseorang yang berpuasa ketika bermukim tidak harus berbuka apabila melakukan perjalanan yang jauh sepanjang hari tersebut.
- Tidak berupaya melakukan puasa. Puasa tidak wajib ke atas orang yang tidak terdaya melakukannya disebabkan tua atau penyakit yang tiada harapan sembuh. Ini kerana puasa hanya wajib ke atas orang yang mampu melakukannya.[5]
Isu Menghantar Makanan kepada Orang Tidak Berpuasa
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”[6]
Ibn Kathir berkata dalam mentafsirkan ayat di atas berkata: “Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan.
Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita.[7]
Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan.
Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:
إِعَانَةُ المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.”[8]
Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan maksiat tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat akan turut dianggap sebagai maksiat.
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa sekiranya dia mengetahui bahawa orang tersebut tidak berpuasa dengan sengaja, maka perbuatan memberi makanan kepada orang tersebut adalah haram. Ini kerana, dia dikira membantu orang tersebut untuk melakukan maksiat, iaitu meninggalkan puasa tanpa keuzuran syarak.
Sebaliknya, jika dia tidak mengetahui bahawa makanan tersebut dipesan oleh orang yang berpuasa ataupun tidak, maka dia boleh menghantar makanan tersebut kepadanya. Hal ini disebabkan terdapat beberapa kemungkinan lain, seperti boleh jadi dia seorang wanita yang dalam keadaan uzur syar’ie, atau dia seorang yang sakit dan seumpamanya.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] (Surah al-Baqarah: 183)
[2] Riwayat al-Bukhari (87) dan Muslim (17)
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/69
[4] Riwayat Abu Daud (4403) dan yang lainnya
[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60
[6] Surah al-Maidah (2)
[7] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, 3/7
[8] Lihat Ma`lamah Zayed li al-Qawa`id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666