#975 Mencabut Gigi Siang Ramadhan

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah seseorang mencabut giginya kerana tidak tahan sakit pada siang Ramadhan? Bagaimanakah puasanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Cabutan gigi merujuk kepada exodontia, suatu prosedur pengeluaran atau pembuangan gigi daripada tulang rahang. Prosedur ini dilaksanakan apabila gigi tersebut didapati tidak dapat diselamatkan atau dikaitkan dengan sebarang patologi atau penyakit. Di antara sebab-sebab cabutan gigi dilakukan ialah:

  1. Kerosakan atau karies teruk.
  2. Penyakit gusi lanjut (periodontitis) yang dikaitkan dengan kelonggaran gigi.
  3. Melibatkan patologi (sekiranya gigi yang berkenaan berada di dalam atau berhampiran ketumbuhan, sista atau fraktur tulang rahang).
  4. Gigi yang terbenam/terimpak yang dijangkiti secara berulang atau berisiko untuk mengakibatkan kerosakan pada gigi lain yang berhampiran.
  5. Pulpitis (keradangan tisu pulpa di dalam struktur gigi).
  6. Sebahagian daripada rawatan ortodontik.
  7. Gigi yang fraktur/patah.
  8. Apabila gigi (gigi susu) belum diganti oleh gigi kekal.[1]

Seterusnya puasa pula adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum, berjimak dengan sengaja, muntah dengan sengaja dan lain-lain, bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari. Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).[2]

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan bahawa di antara perkara yang membatalkan puasa ialah:

  • Makan dan minum.
  • Sesuatu benda masuk ke dalam rongga melalui ruang yang sedia terbuka.
  • Muntah dengan sengaja.
  • Bersetubuh dengan sengaja.
  • Mengeluarkan mani dengan sengaja.
  • Haid dan nifas.
  • Gila dan murtad.[3]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, mencabut gigi tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Mengenai hal ini, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menjelaskan bahawa mencabut gigi pada siang Ramadhan bagi orang yang berpuasa adalah diharuskan dan perkara itu tidak membatalkan puasanya. Akan tetapi dengan syarat tidak ada sesuatu pun yang masuk ke dalam jauf.[4] Adapun keluarnya darah disebabkan cabutan gigi tidak menjejaskan puasa, sebaliknya orang yang berpuasa itu hendaklah — berusaha semampu mungkin — mengelakkan daripada menelan darah itu.[5]

Selain itu, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah juga ada mengeluarkan pendapat bahawa semata-mata mencabut gigi pada siang hari Ramadhan tidak membatalkan puasa. Akan tetapi jika ada sesuatu seperti air atau darah yang masuk ke dalam jauf, maka puasanya terbatal. Seterusnya bagi orang yang puasanya terbatal disebabkan perkara tersebut, hendaklah menahan diri (daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada siang hari yang berbaki, demi menghormati bulan Ramadhan, dan dia wajib menggantikan (qadha’) puasa pada hari itu. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya dia dapat menangguhkan terlebih dahulu urusan mencabut giginya itu sehingga malam hari atau selepas bulan Ramadhan.[6]

Selain daripada itu Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga ada berpendapat bahawa mencabut geraham (gigi) tidak membatalkan puasa, lebih-lebih lagi jika adanya keperluan. Akan tetapi dia hendaklah mengelakkan dan berhati-hati daripada masuknya darah ke dalam jauf. Kemudian, dia hendaklah berkumur-kumur supaya tidak ada sesuatu pun — yakni daripada darah mahupun ubat-ubat yang digunakan ketika proses mencabut — yang masuk ke dalam jaufnya. Sekiranya ada sesuatu daripada perkara itu yang termasuk tanpa sengaja, maka ia tidak menjejaskan puasanya. Namun, sekiranya dia sengaja menelan darah (yang keluar itu), maka puasanya terbatal dan wajib ke atasnya qadha’ (menggantikannya). Oleh itu, dia hendaklah berusaha dan bersungguh-sungguh — semampu mungkin — sebagaimana berkumur-kumur, untuk mengelakkannya daripada masuk ke dalam jauf. Jika termasuk juga sesuatu tanpa sebarang niat — yakni tidak sengaja dan selepas bersungguh-sungguh menjaganya — maka ia tidak menjejaskan puasanya.[7]

Begitu juga Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya, adakah batal puasa seseorang disebabkan darah yang keluar kerana mencabut gigi? Beliau menjawab, darah yang keluar kerana mencabut geraham (gigi) tidak menjejaskan mahupun memudaratkan puasa seseorang. Akan tetapi wajib ke atas orang yang berpuasa itu untuk mengelakkan dan berhati-hati daripada menelan darah tersebut. Hal ini kerana darah yang keluar itu merupakan perkara mendatang yang bukan kebiasaan, maka menelannya menyebabkan puasa seseorang itu terbatal. Berbeza keadaannya, apabila menelan air liur kerana ia tidak membatalkan puasa. Justeru, orang yang berpuasa yang mencabut giginya hendaklah berjaga-jaga dan berhati-hati, supaya tidak ada darah yang sampai ke dalam perutnya (yakni jaufnya) kerana ia membatalkan puasa. Akan tetapi jika darah itu menyerap masuk luar daripada kawalannya (yakni bukan atas pilihannya), maka ia tidak memudaratkan puasanya kerana dia tidak sengaja dalam perkara tersebut.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa mencabut gigi di siang hari bagi orang yang berpuasa adalah diharuskan dan puasanya masih dikira sah. Akan tetapi dengan syarat dia hendaklah berusaha semampu mungkin mengelakkan daripada menelan darah atau apa-apa cecair yang keluar semasa proses cabutan gigi itu. Seterusnya, kami menyarankan agar dia hendaklah membersihkan mulutnya dengan berkumur-kumur, agar tidak ada tidak ada sesuatu pun daripada darah mahupun ubat-ubat yang digunakan ketika proses mencabut gigi, yang masuk ke dalam jaufnya.

Selain daripada itu, kami juga ingin menyarankan, jika tiada keperluan mendesak untuk mencabut gigi dengan segera, maka menangguhkan terlebih dahulu urusan tersebut sehingga malam hari atau selepas bulan Ramadhan adalah lebih baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/cabutan-gigi/. Diakses pada 15 April 2022.

[2] Surah al-Baqarah: 187

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/83-87.

[4] Ibn Ruslan menyebutkan jauf ialah perut, otak, pundi kencing, lubang dubur dan bahagian dalam telinga. (Lihat al-Zubad fi Fiqh al-Islamihlm. 156)

[5] Lihat https://www.elwatannews.com/news/details/5425306. Diakses pada 15 April 2022.

[6] Lihat https://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103. Diakses pada 15 April 2022.

[7] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/10379/ حكم-قلع-ضرس-الصاىم-وابتلاع-شيء-من-الدم. Diakses pada 15 April 2022.

[8] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/43353/ خلع-الصائم-لضرسه. Diakses pada 15 April 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *