Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum isti‘azah dalam solat sebelum membaca surah al-Fatihah?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, isti‘azah adalah meminta perlindungan ataupun pemeliharaan. Maka seseorang yang mengucapkan kalimah ini, dia sedang meminta perlindungan kepada Allah SWT agar menjaga dan memeliharanya daripada sebarang gangguan dan godaan daripada syaitan yang direjam. Ibn Kathir menyebutkan, isti‘azah adalah meminta pertolongan iaitu aku memohon perlindungan kepada Allah tanpa selainnya daripada makhluk ciptaan-Nya daripada syaitan itu memudaratkan diriku pada agamaku atau ia memalingkan aku daripada kebenaran.[1]

Seterusnya, terdapat beberapa sighah atau bentuk ucapan isti‘azah yang boleh untuk dibaca. Di antaranya:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”[2]

أَعُوذُ بِالسَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam.[3]

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَهَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada syaitan yang direjam serta permusuhan yang disebabkan daripadanya, takburnya ia, serta syair yang tercela.”[4]

Imam al-Nawawi menyebutkan, bacaan ta‘awwuz disyariatkan pada rakaat pertama, iaitu seseorang itu akan mengucapkan — selepas doa iftitah — “أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”. Inilah pendapat masyhur yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dan diputuskan oleh jumhur ulama. Namun terdapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang berpendapat disunatkan untuk membaca “أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”. Pendapat ini telah ditegaskan oleh al-Bandaniji dan dinukilkan oleh al-Rafi‘i. Ia adalah pendapat yang gharib. Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm dan begitu juga para ashab berpendapat, ta‘awwuz itu dapat diperoleh dengan setiap apa yang meliputi makna memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan. Akan tetapi afdhalnya “أَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”.[5]

Hukum bacaan isti‘azah sebelum bacaan surah al-Fatihah

Pada asasnya, para fuqaha menjelaskan bahawa perbuatan membaca ta‘awwuz sebelum membaca surah al-Fatihah adalah suatu yang thabit daripada perbuatan Nabi SAW. Namun, mereka berbeza pendapat mengenai hukumnya kepada dua pendapat:

Pertamanya, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa membaca ta‘awwuz sebelum bacaan al-Fatihah adalah wajib. Ini merupakan pendapat beberapa tokoh ulama dalam kalangan pembesar tabi‘in seperti ‘Ata’ bin Abu Rabah, Sufyan al-Thauri dan al-Auza‘i. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Ibn Hazm al-Andalusi.[6] Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyebutkan, al-‘Abdari menukilkan daripada ‘Ata’ dan al-Thauri bahawa kedua-duanya berpendapat hukumnya adalah wajib. Manakala daripada Daud pula terdapat dua riwayat, salah pendapatnya adalah wajib sebelum bacaan.[7]

Mereka berhujah berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan Syaitan yang kena rejam.”[8]

Mereka berpendapat, perintah yang terdapat di dalam ayat ini menunjukkan kepada hukum wajib. Hal ini kerana kata perintah menunjukkan bahawa ia adalah wajib selama mana tidak ada bukti yang mengalihkannya kepada hukum selainnya.

Keduanya, terdapat juga dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa membaca ta‘awwuz sebelum membaca al-Fatihah adalah sunat. Ini merupakan pendapat majoriti para fuqaha mazhab seperti Imam Abu Hanifah, al-Syafi‘i, dan Ahmad.

Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Syafi‘i, bahawa beliau menyebutkan, sekiranya seseorang itu meninggalkan pembacaan isti‘azah sama ada disebabkan lupa, jahil, atau dengan sengaja, maka dia tidak perlu mengulanginya atau melakukan sujud sahwi. Beliau juga tidak suka seseorang meninggalkan untuk membaca isti‘azah dengan sengaja, dan beliau menyukai apabila seseorang itu meninggalkannya pada rakaat yang pertama, maka dia membacanya pada rakaat selainnya. Seterusnya beliau menyatakan mengenai sebab yang menghalangnya daripada memerintahkan seseorang itu untuk mengulangi pembacaan isti‘azah iaitu kerana Nabi SAW mengajarkan seorang lelaki apa yang mencukupkan buatnya di dalam solat, dan tidak diriwayatkan bahawa Baginda memerintahkan lelaki tersebut membaca ta‘awwuz mahupun doa iftitah. Ini menunjukan bahawa bacaan ta‘awwuz itu tidak merosakkan solat sekiranya ia ditinggalkan.[9]

Justeru, dapat difahami daripada kenyataan di atas jelas bahawa bacaan ta‘awwuz itu adalah sunat dan bukannya wajib kerana jika hukumnya adalah wajib, sudah tentu ia akan merosakkan solat jika ditinggalkan dengan sengaja atau berhajat kepada sujud sahwi.

Begitu juga Imam al-Nawawi menyatakan, sesungguhnya bacaan ta‘awwuz itu adalah mustahab (sunat) dan bukannya wajib. Ia adalah mustahab bagi setiap sesiapa sahaja yang membaca al-Quran, tidak kira ketika dalam solat atau selainnya — yakni luar solat.[10] Di antara hujah mereka adalah berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan Syaitan yang kena rejam.”[11]

Al-Tabari menafsirkan ayat di atas sebagaimana katanya, firman Allah ini bukanlah merupakan suatu perintah yang wajib. Akan tetapi ia hanyalah pemberitahuan dan juga menyatakan hukum sunat. Hal ini kerana tidak ada khilaf di sisi majoriti bahawa sesiapa yang membaca al-Quran dan tidak membaca ta‘awwuz sebelum membacanya atau setelah membacanya, maka dia tidak mengabaikan suatu pun yang fardhu lagi wajib.[12]

Begitu juga sebuah hadith yang menceritakan berkenaan seorang lelaki yang ditegur oleh Rasulullah SAW kerana buruknya solat yang dilakukannya, maka Baginda bersabda kepadanya:

إِذَا قُمتَ إِلَى الصَّلاةِ فَكَبِّر ثُمَّ اقرَأ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرآنِ ثُمَّ اركَع

Maksudnya: “Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa-apa ayat yang mudah yang kamu hafal daripada al-Quran, kemudian rukuklah.”[13]

Jika dilihat daripada hadith di atas, kita akan mendapati bahawa Rasulullah SAW tidak menyuruh lelaki tersebut untuk membaca isti‘azah. Justeru, ini menunjukkan bahawa membacanya bukanlah suatu yang wajib.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa hukum membaca ta‘awwuz atau isti‘azah sebelum membaca surah al-Fatihah adalah sunat sebagaimana pendapat mazhab Syafi‘i dan mazhab jumhur ulama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/16.

[2] Diambil daripada riwayat Sulaiman bin Surad R.A, sebagaimana direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya (6115).

[3] Lafaz isti‘azah ini terdapat dalam sebuah riwayat daripada Ummul Mukminin Aísyah R.anha sebagaimana yang direkodkan oleh Imam Abu Daud dalam sunannya (785).

[4] Diambil daripada riwayat Abdullah bin Mas‘ud R.A, sebagaimana direkodkan oleh Imam al-Hakim (1/460)

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/323.

[6] Lihat al-Muhalla, 3/247-248

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/326.

[8] Surah al-Nahl: 98

[9] Lihat al-Umm, 1/129.

[10] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 81.

[11] Surah al-Nahl: 98

[12] Lihat Tafsir al-Tabari, 17/293-294.

[13] Riwayat al-Bukhari (6667)

Leave a Reply