Soalan
Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum solat dengan berimamkan anak luar nikah? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan perbincangan tentang kriteria menjadi imam. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abi Mas’ud Uqbah bin Amru al-Badri al-Ansari R.A, katanya: Sabda Rasullullah SAW:
يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا
Maksudnya: “Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.”[1]
Hadis di atas dengan jelas menerangkan kriteria umum untuk mengimami solat jamaah yang disebutkan oleh Nabi SAW. Ia sebagaimana yang dihuraikan di dalam kitab-kitab Fiqh antara syarat-syarat untuk menjadi imam adalah: Islam; baligh; berakal; baik bacaannya; tidak mempunyai penyakit kencing tidak lawas dan bersih dari hadas. Ini merupakan keutamaan dalam syarat pemilihan imam.
Berikut merupakan susunan orang yang layak menjadi imam ketika ketiadaan imam khusus yang dilantik masjid menurut Ibn Naqib al-Masri di dalam kitabnya:
- Yang paling faqih (iaitu yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat seperti sah dan batalnya solat dan lain-lain.
- Yang paling baik bacaan al-Quran
- Yang paling warak (iaitu mereka yang menjauhi syubhah)
- Yang paling awal berhijrah ke kerajaan islam madinah dan anak cucunya
- Yang paling awal memeluk islam
- Yang mulia nasabnya atau keturunan mengikut turutan bermula daripada bani hashim, bani muthalib, kemudian diikuti quraish, kemudian bangsa arab, diutamakan anak orang yang soleh dan alim daripada yang disebutkan dari nasab
- Yang paling baik keperibadian
- Yang paling bersih tubuh badan dan pakaian
- Yang paling lunak suara
- Yang paling baik penampilan[2]
Berbalik kepada persoalan di atas, dalam hal berimamkan anak luar nikah ulama berbeza pendapat seperti yang dinukilkan Imam al-Nawawi, katanya: Jumhur ulama berpendapat tidak mengapa berimamkan anak luar nikah. Daripada yang berpendapat sedemikian adalah Saiditina Aisyah Radiallahuanha, Imam Ata’ Al-Hasan,Imam Zuhri, Nakhai’,Amru bin Dinar ,Sulaiman bin Musa, Iman Assauri ,Auzai’, Imam Ahmad, Imam Daud, dan Ibnu Manzur.[3]
Namun begitu, ada yang memakruhkannya seperti yang disebut oleh al-Khatib al-Syarbini: “Sesungguhnya berimamkan anak zina yang tidak mengenali bapanya adalah makruh.”[4]
Pendapat ini mungkin kerana anak hasil zina itu kebiasaannya tidak dididik dalam keadaan yang baik. Namun demikian jika anak tersebut dididik dengan didikan agama yang baik sehingga menjadi seorang hafiz Al-Quran, boleh jadi dia jauh lebih baik untuk menjadi imam berbanding orang lain yang tidak berpendidikan sedemikian.
Penutup
Anak zina dilahirkan dalam keadaan fitrah sepertimana yang disabda oleh Nabi SAW, dan berkenaan dengan persoalan di atas, kami berpendapat berimamkan anak hasil zina ini jika memiliki syarat-syarat yang ditetapkan seperti baik bacaan al-Quran dan tinggi ilmunya berbanding dengan orang lain maka ia dibolehkan.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat Muslim (613)
[2] Lihat Umdah al-Salik, 128
[3] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/290
[4] Lihat Mugni al-Muhtaj, 1/487