Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah benar nama malaikat maut ialah Izrail? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertama sekali, yang mematikan setiap makhluk adalah Allah, namun yang melaksanakan adalah Malaikat Maut. Firman Allah SWT:

‏ هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.”

(Surah Yunus: 56)

Ibn Kathir menjelaskan: Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia adalah pemilik langit dan bumi. Janji-Nya pasti benar dan akan terlaksana. Dia adalah satu-satunya yang dapat menghidupkan dan mematikan, lalu menghidupkan kembali semua orang mati dan mengembalikan mereka kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/663)

Malaikat maut disebut sebagai malaikat yang melaksanakan tugas untuk mencabut nyawa makhluk.

Antara dalil yang menunjukkan adanya malaikat maut ialah ayat:

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ ۖ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

Maksudnya: Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

(Surah al-An’am: 61)

Ibn Kathir berkata: Sehingga apabila ajal seseorang telah tiba, maka malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa pun mematikannya. Menurut Ibn Abbas: “Malaikat maut memiliki sejumlah malaikat pendamping yang bertugas mengeluarkan ruh daripada jasad. Apabila ruh sudah sampai di kerongkong, maka malaikat maut mengambil alih untuk mencabutnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/48)

Justeru, dapat difahami juga daripada ayat ini bahawa malaikat maut itu adalah banyak, dan lebih daripada satu malaikat.

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

قُلْ يَتَوَفَّاكُم مَّلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”.

(Surah al-Sajdah: 11)

Turut disebut bahawa ruh orang yang kafir akan dicabut dengan kasar, dan tidak dengan cara lemah lembut. Hal ini seperti dalam firman Allah SWT:

فَكَيْفَ إِذَا تَوَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَارَهُمْ ‎

Maksudnya: “(Kalaulah mereka terlepas sekarang dari bencana kejahatan mereka) maka bagaimanakah (mereka dapat menolak azab seksa) apabila malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggung mereka?”

(Surah Muhammad: 27)

Sebaliknya, ruh orang yang beriman pula akan dicabut dengan lemah lembut. Tatkala nyawa mereka dicabut, maka malaikat akan memberikan khabar gembira sepertimana disebut dalam ayat:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.”

(Surah Fussilat: 30-31)

Orang kafir pula diberikan khabar dengan seksaan azab api neraka dan kemurkaan Allah SWT. Hal ini seperti dalam ayat:

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الظَّالِمُونَ فِي غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَالْمَلَائِكَةُ بَاسِطُو أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوا أَنفُسَكُمُ ۖ الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ وَكُنتُمْ عَنْ آيَاتِهِ تَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya”.

(Surah al-An’am: 93)

Nama Malaikat Maut

Berbalik kepada persoalan di atas, al-Quran dan al-Hadith tidak menyebut nama Izra’il ini. Ia hanya dikenali sebagai Malaikat Maut sahaja di dalam al-Qur’an dan al-Hadith. Firman Allah SWT:

قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.”

(Surah al-Sajdah: 11)

Ibn Kathir menyebutkan: “Adapun nama Malaikat Maut tidak disebutkan secara jelas di dalam al Qur’an, dan juga hadith yang sahih. Namun penamaan Izra’il tertera di dalam beberapa athar.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/47)

Antara kitab tafsir yang menyebutkan bahawa nama Malaikat Maut adalah Izra’il adalah:

  • Tafsir al-Sam’ani (4/245) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Fath al-Qadir (4/289) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Fath al-Bayan fi Maqasid al-Qur’an (11/20) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Sya’rawi (4/2574) ketika mentafsirkan Surah al-Nisa’ ayat 97.
  • Tafsir al-Muqatil (3/450) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah (9/5754) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Ibn ‘Atiyyah (4/360) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Ibn Juzay (2/142) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Bahr al-Muhit (8/434) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Adhwa’ al-Bayan (6/184) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir al-Wasit (8/119) ketika mentafsirkan Surah al-Sajdah ayat 11.
  • Tafsir Mafatih al-Ghaib (2/386) ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30.
  • Tafsir al-Samarqandi (3/542) ketika mentafsirkan Surah al-Nazi’at ayat 14.

Selain itu, ia juga ditemukan dalam Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin (4/467) yang mengambil riwayat daripada Asy’ath (hadis maqtu’) beliau berkata:

سَأَلَ إِبْرَاهِيمُ صَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا وَعَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيمًا مَلَكَ الْمَوْتِ عَلَيْهِ السَّلَامُ وَاسْمُهُ عِزْرَائِيلُ، وَلَهُ عَيْنَانِ عَيْنٌ فِي وَجْهِهِ وَعَيْنٌ فِي قَفَاهُ، فَقَالَ: يَا مَلَكَ الْمَوْتِ، مَا تَصْنَعُ إِذَا كَانَتْ نَفْسٌ بِالْمَشْرِقِ وَنَفَسٌ بِالْمَغْرِبِ، وَوَقَعَ الْوَبَاءُ بِأَرْضٍ، وَالْتَقَى الزَّحْفَانِ كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: أَدْعُو الْأَرْوَاحَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَتَكُونُ بَيْنَ أُصْبُعَيَّ هَاتَيْنِ. قَالَ: وَدُحِيَتْ لَهُ الْأَرْضُ فَتُرِكَتْ مِثْلَ الطَّسْتِ يَتَنَاوَلُ مِنْهَا حَيْثُ شَاءَ. قَالَ: وَهُوَ الَّذِي بَشَّرَهُ بِأَنَّهُ خَلِيلُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Nabi Ibrahim bertanya kepada Malaikat Maut dan namanya adalah Izra’il. Padanya dua mata; satu di wajahnya, satu di belakang lehernya. Ibrahim bersabda: ‘Wahai Malaikat Maut. Apa yang kamu buat sekiranya satu nyawa di Timur dan satu nyawa lagi di Barat dan berlaku waba’ di muka bumi serta berkumpul dua kerisauan ini. Bagaimana kamu akan lakukannya?” Jawabnya: “Aku akan menyeru roh-roh dengan izin Allah SWT, maka jadilah ia berada antara dua jari aku. (Lihat al-‘Uzmah, 3/908)

Al-Qadhi ‘Iyadh juga menyebutkan tentang Izra’il dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif al-Huquq al-Mustafa. (Lihat al-Syifa bi Ta’rif al-Huquq al-Mustafa, 2/303)

Malah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menamakan Malaikat Maut sebagai Iz’rail ketika membahaskan persoalan sama ada semua makhluk termasuk malaikat akan mati atau tidak. Kebanyakan kitab-kitab seperti di atas memang menukilkan sahaja tanpa ditanyakan sanad yang marfu’ dan sahih tentang penamaan ini.

Pada pandangan kami, perkataan Izra’il kemungkinan besar berasal daripada Bahasa Ibrani. Dalam Tanakh (salah satu daripada kitab suci agama Yahudi), perkataan Azrael ada disebutkan dan digambarkan sebagai Malaikat Maut. (Lihat A Dictionary of Angels: Including The Fallen Angels, hlm. 64-65)

Maka, nama Izra’il ini secara jelasnya adalah riwayat Isra’iliyyat. Kaedah bagi umat Islam ketika berinteraksi dengan riwayat Israiliyyat dibahagikan kepada tiga:

  • Riwayat yang selari dengan syariat dan Al-Quran. Maka kisah-kisah sebegini berfungsi sebagai sokongan kepada apa yang telah disebutkan oleh keduanya.
  • Riwayat yang bertentangan dengan syariat dan Al-Quran. Ini ditolak dengan sepakat para ulama’.
  • Riwayat yang tidak terdapat dalam syariat dan Al-Quran samada selari atau bertentangan. Prinsipnya adalah tidak menerima dengan yakin dan tidak pula melarangnya.

Kesimpulannya, penamaan Malaikat Maut sebagai Izra’il ini termasuk dalam kategori ketiga dan kita tidak diperbolehkan untuk menafikannya, begitu juga mengiakannya secara pasti. Maka, tidak ada masalah untuk menggunakannya walaupun ianya tidak ditemui dalam al-Qur’an dan Hadith, asalkan kita tidak meyakini secara pasti bahawa ianya adalah nama bagi Malaikat Maut.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply