Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Jika sebutan semasa membaca doa di tempat-tempat yang diharuskan untuk berdoa dalam solat seperti ketika sujud dan sebelum salam adalah tidak tepat atau tersilap, adakah solat terbatal? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, solat yang dikira sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada 13 perkara. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141.)

Rukun-rukun ini juga boleh dipecahkan kepada 4 bahagian utama iaitu:

  1. Rukun Qauliyyah yang terdiri daripada lima perkara iaitu takbiratul ihram, bacaan surah al-Fatihah, bacaan tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi SAW serta ke atas keluarga baginda, dan memberi salam.
  2. Rukun Fi‘liyyah yang terdiri daripada enam perkara iaitu iaitu berdiri, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tasyahhud akhir.
  3. Rukun Ma‘nawiyyah iaitu tertib.
  4. Rukun Qalbiyyah iaitu niat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208-209)

Berdoa dalam solat

Mengenai hal ini, terdapat dua tempat utama yang biasanya menjadi fokus kebanyakkan dalam kalangan kita untuk memperbanyakkan doa iaitu pada penghujung solat sebelum salam dan ketika sujud. Bahkan disebutkan bahawa antara waktu mustajab yang kita digalakkan berdoa padanya adalah pada penghujung solat. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari?” Lalu Baginda menjawab: “Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardhu.”

Riwayat al-Tirmizi (3499)

Penghujung solat bermaksud selepas tasyahhud dan sebelum salam sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya  Zad al-Ma‘ad, (1/295)  bahawa gurunya telah memilih pendapat ini. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith-hadith berkenaan doa sebelum daripada memberi salam menyebutkan bahawa dibenarkan bagi setiap orang yang mendirikan solat untuk berdoa dengan apa jua doa yang dikehendaki. (Lihat Fath al-Bari, 2/318.)

Begitu juga berdoa ketika sujud. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ

Maksudnya:Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).

Riwayat Muslim (482)

Bercakap-cakap di dalam solat

Pada asasnya, solat seseorang itu akan terbatal apabila berkata-kata dengan sengaja. Kata-kata yang dimaksudkan ialah kata-kata yang lain selain daripada al-Quran, zikir dan doa. Hal ini adalah berdasarkan hadith, daripada Zaid bin Arqam R.A, katanya:

كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِى الصَّلاَةِ يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِى حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ  {حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ} فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ

Maksudnya:Kami pernah berbual-bual ketika menunaikan solat. Seorang daripada kami bercakap kepada rakannya tentang keperluannya sehinggalah turun ayat ini yang bermaksud: ‘Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat wusta (yakni solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk,” lalu kami diperintahkan diam.

Riwayat al-Bukhari (4260); Muslim (539)

Hadith seterusnya, daripada Mu‘awiyah bin Hakam al-Sulami R.A, Nabi SAW berdoa kepadanya yang mendoakan seseorang yang bersin ketika mendirikan solat:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيهَا شَىْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

Maksudnya:Ini ialah ibadat solat, kata-kata manusia tidak wajar di dalamnya walaupun sedikit. Ia adalah semata-mata untuk bertasbih, bertakbir dan membaca al-Quran.

Riwayat Muslim (537)

Kata-kata yang dianggap membatalkan solat ialah kata-kata yang mengandungi dua huruf dan lebih walaupun tidak memberi apa-apa pengertian. Begitu juga satu huruf tetapi ia mempunyai makna seperti qi (قِ) yang bererti peliharalah, ‘ie (عِ) yang bererti sedarlah, dan fi (فِ) yang bererti tunaikanlah. Walau bagaimanapun jika, berkata-kata ketika mendirikan solat kerana terlupa atau tidak mengetahui tentang haramnya disebabkan baru memeluk Islam, kedua-duanya dimaafkan sekiranya kata-kata tersebut sedikit, tidak melebihi enam perkataan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/167-168)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kesilapan di dalam sebutan ketika berdoa tidaklah sampai membawa kepada membatalkan solat kerana ia tidak termasuk di dalam perkara-perkara rukun solat. Lebih-lebih doa juga tidak termasuk dalam definisi kata-kata yang boleh membatalkan solat, jika diucapkan dengan sengaja sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Sekalipun begitu, kami tetap mengambil kesempatan di sini untuk menasihati agar memperbaiki bacaan doa dan sebutannya yang betul mengikut kaedah bahasa Arab, supaya maksud doa tersebut tercapai.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 16 Februari 2022 bersamaan 14 Rejab 1443H

Leave a Reply