Soalan

Benarkan malaikat mempunyai 600 sayap?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Malaikat adalah hamba-Nya yang tidak bermaksiat kepada Allah SWT dan selalu melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya. Allah SWT telah menciptakan mereka dan menentukan bahawa mereka akan selalu mentaati-Nya dan beribadah kepada-Nya.

Antara mereka ada yang ditugaskan menyampaikan wahyu, ada yang ditugaskan menurunkan rezeki, ada yang ditugaskan menjaga gunung-gunung atau yang ditugaskan sebagai makluk yang selalu beribadah, solat dan tasbih serta berzikir kepada Allah SWT.

Jumlah malaikat adalah tidak terhitung banyaknya. Daripada Abu Dzar al-Ghifari, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ، وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ أَطَّتِ السَّمَاءُ، وَحُقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat apa yang tidak kalian lihat, aku mendengar sesuatu yang tidak kalian dengar. Langit merintih dan layak baginya untuk merintih. Tidak ada satu ruang selebar 4 jari, kecuali di sana ada malaikat yang sedang meletakkan dahinya, bersujud kepada Allah.”[1]

Antara ciri-ciri malaikat sepertimana disebut dalam kitab bukunya al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha oleh Syeikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani ialah:

  • Ia merupakan makhluk daripada cahaya.
  • Malaikat bersama kita tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
  • Malaikat mampu menyerupai segala sesuatu dan berubah bentuk.
  • Kekuatan dan kemampuan mereka luar biasa seperti memikul arasy dan meniup sangkakala.
  • Taat hanya kepada Allah SWT
  • Hampir kepada Allah SWT dan dimuliakan-Nya.
  • Sebagai utusan kepada para Nabi.
  • Mampu naik dan turun daripada langit ke bumi tanpa sebarang masalah.
  • Takut hanya kepada-Nya.
  • Makhluk sebelum terciptanya manusia.
  • Mempunyai sayap dua pasang, tiga pasang dan empat pasang[2]

Sayap Malaikat

Firman Allah SWT

الْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَاعِلِ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا أُولِي أَجْنِحَةٍ مَّثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۚ يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا يَشَاءُ

Maksudnya: Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya.[3]

Ibn Kathir menyebutkan di dalam tafsirnya: Iaitu Malaikat yang mempunyai sayap dengannya mereka terbang untuk menyampaikan apa yang diperintahkan kepada mereka dengan cepat. Dalam kalangan mereka ada malaikat yang mempunyai dua sayap, ada yang mempunyai tiga sayap, ada yang mempunyai empat sayap dan ada pula yang lebih daripada itu. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha kuasa atas segala sesuatu. Al-Suddi berkata: “Dia menambahkan pada sayapnya dan menciptakan mereka apa yang Dia kehendaki.” [4]

Justeru, berdasarkan ayat ini, jelaslah menunjukkan bahawa dalam kalangan malaikat, terdapat yang memiliki dua sayap, tiga sayap, empat sayap, dan juga lebih daripada itu sebagaimana yang Allah SWT kehendaki.

Malaikat Jibril mempunyai 600 sayap

Daripada Ibn Mas’ud, katanya:

أَنَّهُ رَأَى جِبْرِيلَ، لَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ

Maksudnya: Bahawa Baginda SAW melihat Jibril, yang memiliki 600 sayap.”[5]

Dalam riwayat Imam Ahmad disebutkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَأَيْتُ جِبْرِيلَ عَلَى سِدْرَةِ المُنْتَهَى وَلَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ

Maksudnya: Aku melihat Jibril atas Sidrah al-Muntaha, dan beliau memiliki 600 sayap.[6]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa para Malaikat mempunyai sayap, dalam kalangan malaikat terdapat yang memiliki dua sayap, tiga sayap, empat sayap, dan juga lebih daripada itu sebagaimana yang Allah SWT kehendaki, dan jumlah sayap bagi malaikat Jibril adalah 600 sayap sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadith yang sahih. Kita juga wajib mengimani dan mempercayai malaikat dengan cara mengimani seluruh keterangan tentang malaikat yang disebutkan di dalam al Quran dan juga yang disebutkan di dalam sunnah Rasulullah SAW yang sahih, yang menyatakan sifat-sifat malaikat atau jumlahnya. Secara Umum kita mengimani seluruh malaikat yang kita tidak ketahui nama dan tugasnya, serta mengimani seluruh malaikat yang Allah dan RasulNya sebutkan di dalam al Quran dan juga Hadith. Diantara yang kita wajib imani dari sifat malaikat adalah bahwa malaikat memiliki sayap.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat al-Tirmizi (2312), Ibn Majah (4190) dan Ahmad (21516). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menilai hadis ini sebagai hasan li ghairihi dalam Takhrij al-Musnad (21516)

[2] Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani, hlm. 235-240

[3] Surah Fatir: 1

[4] Tafsir Ibn Kathir, 6/532

[5] Riwayat al-Bukhari (3232), Muslim (174), dan al-Tirmidzi (3277)

[6] Riwayat Ahmad (3862)

Leave a Reply