#679 Isteri Memandikan Jenazah Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah isteri boleh memandikan jenazah suaminya dan sebaliknya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.

Kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya“Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain”

Riwayat al-Bukhari (1265)

Selain itu, dalil yang menunjukkan kewajipan memandikan jenazah dapat dilihat ketika mana kewafatan puteri Nabi SAW, Saidatina Zainab. Ketika itu, Baginda SAW mengajarkan kaifiat-kaifiat atau tatacara pemandian jenazah. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Umm Attiyyah al-Ansorriyah, katanya:

دَخَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَغْسِلُ ابْنَتَهُ فَقَالَ ‏”‏ اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا، فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي ‏”‏‏.‏ فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَلْقَى إِلَيْنَا حِقْوَهُ فَقَالَ ‏”‏ أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ ‏.‏

Maksudnya: Rasulullah SAW telah masuk kepada kami ketika mana kami memandikan jenazah puteri baginda, lalu Baginda bersabda: “ Mandikan dia dengan tiga kali, atau lima atau lebih daripada otu, dengan air dan bidara kemudian letakkan bersama kapur barus pada mandian yang akhir. Apabila kamu selesai, maklumkan kepadaku” setelah kami selesai kami memaklumkan kepada Baginda SAW dan memberikan kain kepada kami, dan bersabda “kafankan dia dengan dengan sarung ini”

Riwayat Muslim (939)

Hukum Isteri Memandikan Jenazah Suaminya

Merujuk dan meneliti kitab-kitab fiqh yang ditulis oleh para ulama, mereka menyatakan bahawa yang lebih utama adalah jenazah lelaki dimandikan oleh orang lelaki manakala jenazah wanita dimandikan oleh orang perempuan sendiri.

Dalam menjawab persoalan ini, para fuqaha bersepakat menyatakan bahawa harus wanita untuk memandikan suaminya. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

لَوِ اسْتَقْبَلْتُ مِنْ أَمْرِي مَا اسْتَدْبَرْتُ مَا غَسَّلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا نِسَاؤُهُ

Maksudnya: Andai urusanku boleh kembali ke masa lalu, tidak ada yang akan memandikan jasad Rasulullah SAW melainkan isteri-isteri baginda.”

Riwayat Abu Dawud (3141), Ibn Majah (1464), dan Ahmad (26306). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Sahih Ibn Majah (1205)

Manakala, dalam isu seorang lelaki memandikan jenazah isterinya, para fuqaha berbeza pandangan berkenaannya, tetapi jumhur fuqaha menyatakan bahawa harus suami memandikan jenazah isterinya sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Saidina Ali RA memandikan jasad Fatimah RA. Begitu juga terdapat riwayat daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa seorang suami boleh memandikan jasad isterinya, Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Umm al-Mu’minin A’isyah R.Anha, katanya:

 رَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنَ الْبَقِيعِ فَوَجَدَنِي وَأَنَا أَجِدُ صُدَاعًا فِي رَأْسِي وَأَنَا أَقُولُ وَارَأْسَاهُ فَقَالَ ‏”‏ بَلْ أَنَا يَا عَائِشَةُ وَارَأْسَاهُ ‏”‏‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏”‏مَا ضَرَّكِ لَوْ مِتِّ قَبْلِي فَقُمْتُ عَلَيْكِ فَغَسَّلْتُكِ وَكَفَّنْتُكِ وَصَلَّيْتُ عَلَيْكِ وَدَفَنْتُكِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah pulang daripada al-Baqi’ dan baginda menemui aku dalam keadaan sakit kepala, lalu aku mengatakan: Alangkah sakitnya kepalaku. Maka baginda bersabda: Bahkan aku, alangkah sakit kepalaku wahai A’isyah. Kemudian sabda baginda: Tidak menjadi masalah buatmu, sekiranya kamu mati sebelum aku nescayalah aku sendiri yang akan menguruskan jenazahmu, aku mandikan kamu, kafankan kamu, solatkan ke atas jenazahmu, dan kebumikan kamu.

Riwayat Ahmad (25950), al-Nasa’ie (7080) dan Ibn Majah  (1465)

Berdasarkan kepada hadith di atas, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW sendiri yang akan memandikan isterinya A’isyah R.Anha sekiranya beliau pergi dahulu meninggal dunia sebelum Nabi SAW. Ini merupakan isyarat yang menggambarkan keharusan seorang suami memandikan jenazah isterinya.

Demikian juga sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abi Bakr bahawasanya Asma’ binti ‘Umais memandikan jenazah Abu Bakr al-Siddiq ketika beliau meninggal dunia. (Lihat al-Muwatha’, 1/223)

Asma’ di atas merupakan isteri kepada Abu Bakr al-Siddiq, dan terdapat riwayat yang lain menunjukkan bahawa Asma’ memandikan jenazah Abu Bakr di atas faktor melaksanakan tuntutan wasiat yang dilakukan oleh Abu Bakr sendiri. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Umm al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata: Abu Bakr al-Siddiq R.A wafat pada malam selasa bersamaan lapan Jamadil Akhir tahun yang ke-13 H. Dan beliau mewasiatkan supaya dia dimandikan oleh Asma’ binti ‘Umais yang merupakan isterinya. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 3/397)

Manakalah Mazhab hanafi menyatakan tidak boleh suami memandikan isterinya dan kalau terpaksa hendaklah ditayammum sahaja.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, berdasarkan beberapa riwayat yang kami kongsikan di atas, harus dan dibolehkan bagi seorang isteri itu untuk memandikan jenazah suaminya dan begitu juga seorang suami boleh memandikan jenazah isterinya. Hal ini kerana tidak terdapat nas yang melarang dalam isu ini, menjadikan hukumnya kekal kepada hukum asal iaitu harus.

Demikian juga terdapat ijma’ dalam hal ini seperti kata Imam Ibn al-Munzir: Dan mereka (para fuqaha) bersepakat bahawa seorang isteri itu boleh memandikan jenazah suaminya apabila dia meninggal dunia. (Lihat al-Ijma’, hlm. 44)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 11 Mac 2022 bersamaan 8 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *