Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah disunatkan untuk mengakhiri doa qunut dengan selawat ke atas Nabi SAW? Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca qunut adalah semasa iktidal dalam rakaat yang kedua ketika solat Subuh dan dalam rakaat yang kedua dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dalam rakaat yang akhir pada mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/145)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Muhammad bin Sirin bahawa beliau bertanya kepada Anas R.A:

هَلْ قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ؟ قَالَ: نَعَمْ، بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا

Maksudnya:Adakah Rasulullah SAW melakukan qunut dalam solat Subuh? Beliau menjawab: ‘Ya, Baginda melakukan qunut dalam solat, tidak berapa lama selepas rukuk’.

Riwayat Muslim (677)

Begitu juga dengan sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ مِنَ الفَجْرِ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ العَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا» بَعْدَ مَا يَقُولُ «سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ» فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ}

Maksudnya:Beliau mendengar Rasulullah SAW apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat terakhir solat Subuh, Baginda mengucapkan: ‘Ya Allah, laknatlah fulan, fulan dan fulan.’ Baginda mengucapkannya selepas mengucapkan: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” (Allah Menerima pujian orang yang memuji-Nya, dan hanya bagi Engkau segala pujian). Lalu Allah menurunkan ayat (yang bermaksud): “لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ” (“Kamu tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu…”) – sehingga Firman-Nya – “فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ” (“kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim!”) [Surah Ali ‘Imran: 128].

Riwayat al-Bukhari (4069)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut Imam al-Nawawi mengenai hal ini, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Pendapat yang pertama menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat. Inilah pendapat yang sahih lagi masyhur serta pendapat ini juga telah diputuskan oleh al-Syirazi dan majoriti ulama. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada al-Hasan bin Ali R.Anhuma, beliau berkata: Rasulullah SAW mengajarku beberapa doa yang aku membacanya semasa solat Witir sebagaimana berikut:

اللَّهُمَّ اهْدِنِى فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنِى فِيمَنْ عَافَيْتَ وَتَوَلَّنِى فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لِى فِيمَا أَعْطَيْتَ وَقِنِى شَرَّ مَا قَضَيْتَ إِنَّكَ تَقْضِى وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ وَلاَ يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

Maksudnya:Ya Allah! Kurniakanlah diriku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu, sihatkan dan selamatkan diriku di kalangan mereka yang Engkau berikan kesihatan dan keselamatan. Tolonglah daku di kalangan mereka yang mendapat pertolongan-Mu. Berkatilah nikmat yang engkau kurniakan kepadaku. Peliharalah diriku daripada segala keburukan yang Engkau tentukan. Sesungguhnya Engkaulah penentu dan tiada sesiapa penentu yang berkuasa ke atas-Mu. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau muliakan dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci dan yang Maha Tinggi.

Riwayat Abu Dawud (1425) dan al-Tirmizi (464)

Al-Tirmizi menyatakan hadith ini bertaraf hadith hasan. Beliau juga berkata: “Kami tidak mengetahui daripada Nabi SAW tentang bacaan qunut ketika solat Witir sesuatu doa yang lebih baik daripadanya.” (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/328)

Terdapat dalam riwayat yang lain dengan lafaz yang menyebutkan selawat ke atas Nabi SAW di penghujungnya sebagaimana berikut:

تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ، وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ مُحَمَّدٍ

Maksudnya:Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci dan yang Maha Tinggi dan Allah berselawat ke atas Nabi Muhammad.

Riwayat al-Nasa’ie (1746)

Imam al-Nawawi menyebutkan, sanad hadith di atas — yakni daripada riwayat al-Nasa’i — adalah sahih atau hasan.

Manakala pendapat yang kedua pula menyatakan bahawa tidak boleh membaca selawat ke atas Nabi SAW di akhir qunut. Sesiapa yang melakukannya, solatnya terbatal kerana mengerjakan perkara rukun bukan pada tempatnya. Ini merupakan pendapat al-Qadhi Husain dan al-Baghawi menukilkan pendapat ini daripadanya. (Lihat al-Majmu‘, 3/499)

Selain itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebutkan, berdasarkan beberapa hadith sahih tentang berselawat ke atas Nabi SAW selepas doa dan zikir, para ulama berpendapat disunatkan untuk menambah dalam doa qunut:

فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيتَ نَسْتَغْفِرُكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَنَتُوبُ إِلَيكَ وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيدِنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِـهِ وَصَحبِهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Bagi-Mu segala pujian atas apa-apa yang Engkau tentukan. Kami memohon keampunan-Mu, ya Allah, wahai Tuhan kami dan kepada-Mu kami bertaubat. Allah mengurniakan rahmat dan kesejahteraan kepada penghulu kami Nabi Muhammad yang ummi (buta huruf) dan kepada seluruh keluarga dan para sahabat.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/147)

Begitu juga Ibn Qayyim al-Jauziyyah ketika menyebutkan mengenai tempat-tempat yang disunatkan untuk membaca selawat ke atas Nabi SAW, beliau menyatakan bahawa tempat yang ketiga ialah pada akhir bacaan qunut. Imam al-Syafi‘i dan ulama yang sependapat dengannya menyebutkan, hukumnya adalah sunat berdasarkan kepada riwayat daripada al-Hasan bin Ali R.Anhuma, yang telah dilaporkan oleh al-Nasa’ie. Malah, membaca selawat selepas doa dalam qunut juga disunatkan menurut mazhab Hanbali sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Mardawi al-Hanbali. (Lihat Jila’ al-Afham, hlm. 361; al-Insaf, 4/129)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk mengakhiri bacaan qunut dengan selawat ke atas Nabi SAW. Inilah pendapat yang sahih lagi masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

Leave a Reply