Soalan:        

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging alpaka? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Surah al-Jathiyah: 13

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499.

Definisi alpaka

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, alpaka ialah sejenis haiwan mamalia di Amerika Selatan yang rupanya seakan-akan llama dan bulunya yang panjang dapat dijadikan bahan pakaian.[1]

Secara umumnya, alpaka ialah haiwan ragut di Amerika Selatan yang berkaitan dengan unta. Dari segi pengelasan saintifik, alpaka tergolong dalam famili Camelidae. la diternak untuk bulunya yang halus. Kadangkala anaknya disembelih untuk dagingnya, alpaka hidup di kawasan pergunungan di Peru dan Bolivia, la hidup biak pada ketinggian dari 4000 hingga 5000 meter di atas aras laut. Darah alpaka adalah efisien untuk membawa oksigen yang berkurangan di altitud tinggi. Alpaka menyerupai llama. Kedua-dua haiwan ini dipercayai berketurunan guanako, sejenis haiwan liar di Pergunungan Andes. Alpaka tidak lagi mempunyai bulu yang lebih panjang dan jauh lebih baik mutunya daripada llama. Alpaka juga adalah saudara dekat vikuna liar yang berbulu yang hidup di Andes.

Tinggi alpaka kurang sedikit daripada 1.2 meter pada paras bahu. la mempunyai bulu tebal berwarna hitam, putih atau perang yang tumbuh dari 20 hingga 60 sentimeter panjangnya. Bulunya lebih lurus dan lebih halus lagi daripada bulu biri biri. la membekalkan salah satu serat terbaik untuk membuat kain yang panas dan lembut. Pemilik alpaka biasanya menggunting bulu alpaka setiap tahun. Mereka mendapat sebanyak tiga kilogram bulu daripada sesetengah alpaka. Bolivia dan Peru menjadi pengeluar bulu alpaka yang terpenting di dunia. la mengeksport sebahagian daripadanya ke Amerika Syarikat dan Eropah untuk dibuat kain. Selebihnya ditenun di rumah dan sering kali dibuat sebai. Orang Asli di Peru menternak alpaka dan membuat kain daripada bulunya sejak beratus-ratus tahun sebelum orang Eropah tiba di Amerika Selatan. Banyak kain yang dinamakan alpaka sebenarnya mengandungi bulu biri-biri dan kapas dan mempunyai sedikit sahaja atau tiada bulu alpaka. Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 1/332-333.

Alpaka tergolong dalam jenis haiwan herbivor. Ia meragut rumput segar di ladang, jerami, dan kadang-kadang kulit kayu atau daun pokok. Petani kadang-kadang menambah rumput kering dengan bahan tambahan pemakanan yang direka untuk situasi khas, seperti kehamilan dan menyusui. Selain itu, alpaka juga dikenali sebagai haiwan yang mudah dijaga kerana ia tidak makan banyak.[2]

Gambar di atas: Alpaka

Hukum memakan alpaka

Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

Surah al-Ma’idah: 1

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

Surah al-Baqarah: 29

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

Surah al-Jathiyah: 13

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2.

Oleh itu, kami berpendapat bahawa daging alpaka adalah halal dimakan. Lebih-lebih lagi, alpaka juga bukanlah tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi alpaka merupakan haiwan herbivor yang hanya makan rumput, jerami dan seumpamanya.

Selain itu, alpaka dilihat hampir kepada unta dan termasuk dalam keluarga unta. Maka boleh untuk kita katakan bahawa ia termasuk dalam jenis unta dan unta termasuk dalam haiwan yang halal dimakan dagingnya. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji bahawa antara binatang yang halal dimakan ialah binatang ternakan (الأنعام), iaitu unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda, seladang, keldai liar, kijang, arnab dan lain-lain, yang dianggap elok oleh orang Arab, yang kemudiannya diakui halal oleh syarak. Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/68.

Tambahan lagi, disebutkan juga dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa setiap haiwan liar yang tidak mempunyai taring yang digunakan untuk memburu haiwan lain sebagai makanannya, dan bukan daripada jenis haiwan yang melata (yakni hasyarat), dan haiwan tersebut adalah seperti antelop, lembu liar, keldai liar, unta liar. Jenis-jenis haiwan seperti ini adalah halal menurut ijmak (kesepakatan) kaum Muslimin kerana ia termasuk dalam makanan yang baik-baik. Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/134.

 

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging alpaka adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana ia mirip kepada haiwan ternakan seperti unta dan termasuk dalam keluarga unta. Justeru, diharuskan untuk memakannya sebagaimana diharuskan untuk memakan unta. Selain itu, ia bukanlah haiwan yang memiliki taring yang berburu bagi mendapatkan makanannya, tetapi termasuk dalam jenis haiwan herbivor yang hanya memakan rumput, jerami dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi, fakta menunjukkan bahawa alpaka juga disembelih bagi mendapatkan dagingnya untuk dimakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=alpaka. Diakses pada 30 Mac 2022.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/animals/alpaca/. Diakses pada 30 Mac 2022.

Leave a Reply