Soalan
Assalamualaikum ustaz. Benarkah terdapat darjat dan tingkatan yang berbeza-beza bagi orang yang melakukan puasa di bulan Ramadhan?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang dibuka pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu syaitan. Hal ini sepertimana yang diterangkan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” [1]
Dalam lafaz yang lain, disebutkan:
إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.” [2]
Imam Badr al-Din al-‘Aini menjelaskan: “Yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga, kerana ketaatan yang banyak pada bulan Ramadhan. Begitu juga Allah SWT membuka pintu ibadah, oleh kerana itulah jalan menuju ke syurga begitu mudah di dalam bulan Ramadhan kerana amal perbuatan kita mudah diterima.” [3]
Syeikh al-Izz bin Abd al-Salam menjelaskan bahawa makna hadith ini adalah dibuka pintu syurga adalah disebabkan banyaknya amalan ketaatan dilakukan pada bulan ini. Kata beliau: Adapun yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga pada bulan Ramadhan adalah satu perumpamaan daripada banyaknya ketaatan, yang dapat menjadi penyebab terbukanya pintu-pintu syurga. Yang dimaksudkan dengan ditutupnya pintu neraka adalah perumpamaan daripada sedikitnya maksiat (pada bulan Ramadhan), yang menjadi penyebab tertutupnya pintu neraka. Sedangkan maksud daripada terbelenggunya syaitan adalah perumpamaan kepada terlepasnya orang-orang yang sedang melakukan puasa daripada bisikan-bisikan syaitan, kerana orang yang berpuasa tidak akan terlalu berkeinginan untuk melakukan maksiat. [4]
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh pula, terbukanya pintu syurga, tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan adalah tanda masuknya bulan Ramadhan, mulianya bulan tersebut dan syaitan juga terhalang daripada mengganggu orang beriman. Ini juga isyarat bahawa pahala dan keampunan daripada Allah SWT begitu banyak pada bulan Ramadhan. Hasutan dan godaan syaitan terhadap manusia juga berkurangan kerana mereka bagaikan para tahanan ketika itu. [5]
Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Boleh juga membawa maksud bahawa terbukanya pintu syurga kerana Allah SWT memudahkan pelbagai ketaatan terhadap hamba-Nya pada bulan Ramadhan seperti puasa dan solat malam. Hal ini berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Pada bulan Ramadhan, orang akan lebih sibuk melakukan kebaikan daripada melakukan maksiat. Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga dan pintunya. Sedangkan tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan, inilah yang menjadikan seseorang lebih mudah menjauhi maksiat ketika itu. [6]
Menurut Imam al-Qurtubi sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Jika semua syaitan dibelenggu (sekalipun), tidak bermakna bahawa tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan, kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu juga disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti jiwa yang jahat, adat kebiasaan yang tidak baik, dan (pengaruh) syaitan daripada jenis manusia.” [7]
Hal ini juga sepertimana dijelaskan oleh Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, dimana dalam menjelaskan hadith di atas, beliau menyebut:
- Syaitan diikat daripada orang yang mengerjakan puasa dengan menjaga syarat dan adab ketika berpuasa. Adapun bagi mereka yang tidak mengerjakan puasa dengan benar, maka syaitan tidaklah terbelenggu daripadanya.
- Meskipun seandainya kita mengatakan bahawa syaitan tidak mengganggu orang yang berpuasa, tetap sahaja maksiat boleh berlaku disebabkan faktor lain, iaitu dorongan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan, adat kebiasaan dan gangguan daripada syaitan manusia.
- Boleh juga dengan maksud bahawa syaitan yang diikat adalah syaitan secara umum dan yang memiliki pasukan, manakala yang tidak memiliki pasukan tidaklah dibelenggu.
Dasarnya, ia membawa maksud bahawa kejahatan itu berkurangan pada bulan Ramadhan dan hal ini jelas berlaku (pada bulan Ramadhan) berbanding pada bulan-bulan yang lain. [8]
Kelebihan Berpuasa di Sisi Allah
Sesungguhnya, amalan berpuasa memiliki kelebihan yang besar di sisi Allah SWT. Hal ini dapat dilihat melalui sebuah hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، إِلَّا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا: إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ، وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ.
Maksudnya: Allah berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) adalah untuknya melainkan puasa, kerana sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran (pahala). Puasa itu adalah merupakan perisai. Oleh itu, janganlah berkata keji dan jangan pula berteriak-teriak. Sekiranya ada seseorang mencelanya atau memeranginya, maka katakanlah,“Sesungguhnya aku berpuasa.” Demi Dia (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan, dia berasa gembira dengan dua perkara, iaitu apabila berbuka dia berasa gembira dan apabila bertemu Tuhannya, dia berasa gembira dengan puasanya. [9]
Berkenaan lafaz ‘فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ’ (Puasa itu untuk-Ku dan Aku-lah yang akan membalasnya), Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Baidhawi berkata: Terdapat dua perkara yang menjadi sebab mengapa ibadah puasa diistimewakan dengan kelebihan seperti ini.
Pertama: Kerana ibadah-ibadah selainnya dapat dilihat oleh manusia, berbeza dengan puasa kerana ia merupakan rahsia antara hamba dan Allah SWT. Dia melakukannya dengan ikhlas dan mengerjakannya kerana mengharapkan redha-Nya. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah SWT dalam sabda Baginda SAW, ‘الصَّوْمُ لِي’ (Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku).
Kedua: Kerana seluruh perbuatan baik dilakukan dengan cara mengeluarkan harta atau menggunakan anggota fizikal. Manakala puasa mencakupi perbuatan mengekang hawa nafsu dan menjadikan fizikal menjadi lemah. Dalam ibadah puasa, terdapat unsur kesabaran menahan rasa lapar, haus dan meninggalkan syahwat. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah SWT dalam sabda Baginda SAW: “Dia meninggalkan syahwat kerana-Ku.” [10]
Imam al-Munawi pula menjelaskan: (Yakni), orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain, kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. [11]
Darjat dan Martabat Orang Berpuasa
Berbalik kepada persoalan di atas, Imam al-Ghazali mengklasifikasikan darjat dan martabat puasa ini kepada tiga bahagian seperti berikut:
Pertama: Puasa al-‘Umum iaitu hanya menahan perut dan Syahwatnya daripada tuntutan nafsunya sahaja. Ini dikhususkan kepada golongan puasa awwam.
Kedua: Puasa al-Khusus iaitu menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan serta seluruh panca inderanya daripada melakukan kemaksiatan dan dosa. Dan martabat puasa ini adalah puasa para Solihin. Mereka ini menundukkan pandangan daripada apa yang membalikkan hatinya daripada mengingati Allah SWT. Menjaga percakapan daripada berbohong, mengumpat, mencela dan memaki. Dan mereka selalu memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran.
Ketiga: Puasa Khusus al-Khusus iaitu menjaga hatinya daripada mengingati hal keduniaan. Dan menumpukan sepenuh hatinya hanya kepada Allah SWT dan hari akhirat. Dan memikirkan dunia hanya untuk tuntutan agama sahaja. Dan ini merupakan puasa para Anbiya’, Siddiqin dan Muqarrabin.
Di samping itu, Imam al-Ghazali turut menjelaskan beberapa perkara yang mesti dilakukan agar puasa lebih terjaga, iaitu:
- Menundukkan pandangan daripada melakukan kemaksiatan dan tidak melihat kepada perkara yang memalingkan hatinya daripada Allah SWT.
- Menjaga percakapan daripada bercakap perkara yang sia-sia, berbohong, mengumpat dan mencela. Serta lazim memperbanyakkan bacaan al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT.
- Menjaga pendengaran daripada perkara yang dilarang. Hal ini kerana, bagi setiap perkara yang haram diucapkan maka haram juga didengar.
- Menjaga anggota pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat. Begitu juga melakukan perkara yang syubhatketika berbuka puasa. Puasa tidak menjadi bermakna sekiranya berbuka puasa dengan pembaziran. [12]
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dapat difahami bahawa terdapat darjat dan tingkatan bagi orang yang berpuasa dan menjaga amalan dan tingkah lakunya. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, iaitu puasa umum, al-khusus dan khusus al-khusus.
Justeru, setiap daripada kita hendaklah berusaha untuk memperbanyakkan amalan dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” [13]
Menurut al-Maraghi, kewajiban berpuasa dan melakukan sebanyak amalan di bulan Ramadhan di samping mengawal nafsu syahwat adalah bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. [14]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Riwayat al-Bukhari (1898) dan Muslim (1079)
[2] Riwayat al-Bukhari (3277) dan Muslim (1079)
[3] Lihat Umdah al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari, 10/266
[4] Lihat Fawa’id al-Saum, hlm. 38
[5] Lihat Fath al-Bari, 4/114 dan Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167
[6] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167
[7] Lihat Fath al-Bari, 4/114
[8] Lihat al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 3/136
[9] Riwayat al-Bukhari (1904)
[10] Lihat Fath al-Bari, 4/108
[11] Lihat Faidh al-Qadir, 4/250
[12] Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/234-235
[13] Surah al-Baqarah: 183
[14] Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/68