Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah muntah membatalkan wuduk? Mohon percerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]

Mukadimah

Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan.[3]

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib.[4]

Perkara-perkara yang membatalkan wuduk

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji[5] disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya para ulama berbeza pendapat mengenai hal ini. Dalam kalangan ulama yang berpendapat ia membatalkan wuduk adalah seperti ‘Ata’, al-Zuhri, al-Auza‘i, Abu Hanifah dan Ahmad dalam satu riwayatnya.[6] Selain itu, al-Syaukani menukilkan bahawa al-‘Itrah dan Abu Hanifah serta para ashabnya berpendapat muntah membatalkan wuduk, tetapi dengan syarat ia berasal dari dalam perut, memenuhi mulut, dan keluar secara sekaligus.[7] Begitu juga Imam Ahmad berpendapat, muntah membatalkan wuduk, tetapi dengan syarat dalam jumlah yang banyak.[8] Mereka berhujah berdasarkan riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَاءَ فَأَفْطَرَ فَتَوَضَّأَ.‏ فَلَقِيتُ ثَوْبَانَ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: صَدَقَ أَنَا صَبَبْتُ لَهُ وَضُوءَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW muntah sehingga membatalkan puasanya lalu Baginda berwuduk. Kemudian aku (Abu al-Darda’) bertemu dengan Thauban di dalam Masjid Damsyik, lalu menyebutkan hal itu kepadanya. Maka Thauban berkata: ‘Benar, akulah yang menuangkan air wuduk buat Baginda.’[9]

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَصَابَهُ قَىْءٌ أَوْ رُعَافٌ أَوْ قَلَسٌ أَوْ مَذْىٌ فَلْيَنْصَرِفْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: “Sesiapa yang muntah, berdarah hidung, sendawa atau keluar air mazi ketika dalam solatnya, hendaklah dia berhenti daripada solatnya lalu berwuduk.”[10]

Manakala Imam Malik, al-Syafi‘i dan para ashab mereka, serta Abu Thaur, satu riwayat daripada Imam Ahmad, al-Nasir, al-Baqir dan al-Sadiq menyatakan bahawa ia tidak membatalkan wuduk.[11] Pendapat ini juga telah ditarjihkan oleh Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah, dan lain-lain kerana tiadanya dalil sahih yang menunjukkan bahawa muntah termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk. Justeru, hukum asalnya adalah dia masih lagi dalam keadaan berwuduk, dan ia tidak akan terangkat (terbatal) melainkan dengan dalil yang sahih.[12]

Menurut Dr. Mahmud Syalabi, salah seorang ahli lajnah di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah mengeaskan bahawa muntah tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk, sekalipun ia dikira sebagai najis. Justeru, seseorang Muslim yang muntah hendaklah membersihkan tempat yang terkena muntah itu. Oleh yang demikian, jika seseorang sudah dalam keadaan berwuduk, kemudian dia muntah, maka dia hendaklah berkumur-kumur sahaja dan kekal dalam wuduknya yang asal — kerana tidak batal.[13]

Begitu juga dalam fatwa yang dikeluarkan oleh al-Hai’ah al-‘Ammah li al-Syu’un al-Islamiyyah wa al-Auqaf (Badan Fatwa UAE) menyatakan bahawa muntah tidak membatalkan wuduk mahupun solat jika tidak sengaja dan ia dikira suci (jika belum berubah daripada keadaan makanan). Namun, jika muntah itu sudah berubah daripada keadaannya dalam bentuk makanan, maka ia membatalkan solat tetapi tidak membatalkan wuduk.[14]

Tambahan lagi, Ibn al-‘Uthaimin juga pernah ditanya berkenaan adakah apa-apa yang keluar dari selain dua saluran; qubul dan dubur membatalkan wuduk? Beliau menjawab, apa-apa yang keluar dari selain qubul dan dubur tidak membatalkan wuduk, tidak kira yang keluar itu banyak atau sedikit, melainkan air kencing dan tahi. Hal ini kerana perkara tersebut asalnya tidak membatalkan wuduk. Justeru, sesiapa yang mendakwa sesuatu yang menyalahi hukum asalnya, mestilah membawakan dalil. Apatah lagi, telah sabit hukum wuduk seseorang itu berdasarkan kepada dalil syar‘i, dan apa yang telah sabit dengan dalil syar‘i tidak boleh diangkat (dibatalkan) melainkan juga dengan dalil syar‘i. Selain itu, kita juga tidak mengeluarkan apa-apa (hukum) yang telah ditunjukkan daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW kerana kita beribadah berdasarkan kepada syariat Allah SWT dan bukannya hawa nafsu.

Adapun berkaitan hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW muntah lalu berwuduk, hadith ini telah dinilai dhaif oleh majoriti para ulama. Kemudian, beliau berpendapat, hadith ini menunjukkan kepada semata-mata perbuatan dan semata-mata perbuatan tidak menunjukkan kepada hukumnya adalah wajib kerana ia bebas daripada perintah. Malah, terdapat hadith lain yang menyanggahinya — sekalipun ia dinilai dhaif — bahawa Nabi SAW berbekam dan mendirikan solat serta tidak memperbaharui wuduknya. Oleh itu, ia menunjukkan bahawa perbuatan wuduk Baginda selepas muntah bukanlah diwajibkan. Seterusnya, beliau menyimpulkan, inilah pendapat yang kuat bahawa apa-apa yang keluar dari badan — selain qubul dan dubur — tidak membatalkan wuduk sekalipun banyak, tidak kira muntah, air liur, darah, air luka dan seumpamanya, kecuali air kencing dan tahi. Misalnya, dibuka pada mana-mana bahagian badan untuk mengeluarkan air kencing dan tahi, maka ia membatalkan wuduk dengan sebab keluarnya itu.[15]

Selain daripada itu, menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pula, berwuduk setelah muntah adalah disunatkan kerana terdapat riwayat daripada Nabi SAW dan para sahabat yang melakukan demikian. Adapun yang menyatakan ia adalah wajib, maka tiada dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah berkenaan perkara tersebut.[16] Beliau turut menambah bahawa perbuatan Nabi SAW semata-mata tidak menunjukkan bahawa hukumnya adalah wajib.[17]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa muntah tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk, sekalipun ia keluar dalam jumlah yang banyak. Walau bagaimanapun, seseorang yang muntah itu hendaklah berkumur-kumur dan membersihkan tempat yang terkena muntah itu kerana muntah dianggap sebagai najis. Begitu juga disunatkan bagi mereka yang muntah untuk memperbaharui wuduk sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berdasarkan riwayat daripada para sahabat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Surah al-Ma’idah: 6

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53.

[4] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82.

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/62-63.

[6] Lihat Fath al-‘Allam fi Dirasah Ahadith Bulugh al-Maram, 1/323.

[7] Lihat Nail al-Autar, 1/237.

[8] Lihat al-Mughni, 1/247-250.

[9] Riwayat al-Tirmizi (87)

[10] Riwayat Ibn Majah (1221)

[11] Lihat Fath al-‘Allam fi Dirasah Ahadith Bulugh al-Maram, 1/324; Nail al-Autar, 1/237; al-Mughni, 1/247.

[12] Lihat Fath al-‘Allam fi Dirasah Ahadith Bulugh al-Maram, 1/324.

[13] Lihat https://www.masrawy.com/islameyat/others-islamic_ppl_news/details/2021/11/21/2126910/ هل-القيء-من-النجاسة-وينقض-الوضوء-أمين-الفتوى-يجيب. Diakses pada 18 April 2022.

[14] Lihat https://www.awqaf.gov.ae/ar/Pages/FatwaDetail.aspx?did=88655. Diakses pada 18 April 2022.

[15] Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 11/198.

[16] Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 21/242.

[17] Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 25/222.

Leave a Reply