Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya mencium kaki ibu atau orang alim sebagai tanda hormat kepadanya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya diharuskan untuk mencium tangan orang alim yang warak, pemerintah yang adil, kedua ibu bapa, para guru dan semua orang yang berhak untuk dihormati dan dimuliakan. Begitulah juga diharuskan untuk mencium kepala, dahi dan (kedudukan) antara dua mata mereka. Akan tetapi perkara tersebut dibolehkan sekiranya dengan tujuan untuk menghormati, memuliakan dan merendah diri, ketika bertemu dan berpisah serta jauh daripada syahwat. Selain itu, dinukilkan daripada Ibn Battal bahawa Imam Malik mengingkari perbuatan mencium tangan. Walau bagaimanapun, al-Abhari menyatakan bahawa Imam Malik membenci perbuatan tersebut jika ia bertujuan untuk membesar-besarkan dan mengagungkan orang itu, namun jika ia bertujuan untuk medekatkan diri kepada Allah SWT kerana agama, ilmu dan kemuliaanya, maka ia diharuskan.[1]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat riwayat daripada Zari‘ bin ‘Amir, beliau berkata:

لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلَهُ

Maksudnya:Tatkala kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun daripada tunggangan kami, kemudian kami mencium tangan Nabi SAW dan kaki Baginda.[2]

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Safwan bin ‘Assal, beliau berkata:

قَالَ يَهُودِيٌّ لِصَاحِبِهِ: اذْهَبْ بِنَا إِلَى هَذَا النَّبِيِّ فَقَالَ صَاحِبُهُ: لَا تَقُلْ نَبِيٌّ، إِنَّهُ لَوْ سَمِعَكَ كَانَ لَهُ أَرْبَعَةُ أَعْيُنٍ، فَأَتَيَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَاهُ عَنْ تِسْعِ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ. فَقَالَ لَهُمْ: لَا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا، وَلَا تَسْرِقُوا، وَلَا تَزْنُوا، وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَلَا تَمْشُوا بِبَرِيءٍ إِلَى ذِي سُلْطَانٍ لِيَقْتُلَهُ، وَلَا تَسْحَرُوا، وَلَا تَأْكُلُوا الرِّبَا، وَلَا تَقْذِفُوا مُحْصَنَةً، وَلَا تُوَلُّوا الفِرَارَ يَوْمَ الزَّحْفِ، وَعَلَيْكُمْ خَاصَّةً اليَهُودَ أَنْ لَا تَعْتَدُوا فِي السَّبْتِ، قَالَ: فَقَبَّلُوا يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ. فَقَالَا: نَشْهَدُ أَنَّكَ نَبِيٌّ. قَالَ: فَمَا يَمْنَعُكُمْ أَنْ تَتَّبِعُونِي؟ قَالُوا: إِنَّ دَاوُدَ دَعَا رَبَّهُ أَنْ لَا يَزَالَ مِنْ ذُرِّيَّتِهِ نَبِيٌّ، وَإِنَّا نَخَافُ إِنْ تَبِعْنَاكَ أَنْ تَقْتُلَنَا اليَهُودُ

Maksudnya: “Seorang yahudi berkata kepada temannya: ‘Marilah kita berangkat bersama menemui Nabi ini.’ Lalu temannya berkata: ‘Jangan katakan Nabi kerana apabila beliau mendengar perkataanmu— yang mengatakannya sebagai Nabi — maka beliau akan memiliki empat mata — yakni akan bergembira.’ Setelah itu, kedua-duanya datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanya kepada Baginda tentang sembilan ayat bayyinat. Maka Baginda bersabda kepada mereka: ‘Janganlah kamu menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, jangan mencuri, jangan berzina, jangan membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, jangan kamu berjalan dengan seorang yang tidak bersalah kepada penguasa agar dia membunuhnya, jangan melakukan sihir, jangan memakan riba, jangan menuduh zina ke atas perempuan-perempuan suci, jangan berpaling lari dari medan perang, dan kepada kamu secara khususnya wahai orang Yahudi, janganlah kamu melampaui batas pada hari Sabtu.’” Safwan berkata: “Mereka terus mencium kedua tangan dan kaki Baginda, lalu kedua-duanya berkata: ‘Kami bersaksi bahawa engkau ialah seorang Nabi.’ Baginda bertanya: ‘Apakah yang menghalang kamu daripada mengikutiku?’ Mereka menjawab: ‘Sesungguhnya Nabi Daud berdoa kepada Tuhannya agar senantiasa ada daripada keturunannya seorang nabi, dan kami takut jika kami mengikutimu, maka orang-orang Yahudi akan membunuh kami.[3]

Tambahan lagi, diriwayatkan bahawa Thabit R.A pernah mencium tangan Anas bin Malik R.A,[4] dan Ali R.A juga pernah mencium tangan atau kaki al-‘Abbas R.A.[5]  Bahkan al-Tirmizi telah menamakan bab dalam kitabnya sebagai ‘Bab Hadith-hadith Mengenai Mencium Tangan dan Kaki.’ Kemudian dimasukkan di bawah bab tersebut hadith Safwan di atas.[6]

Selain daripada itu, al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, ia menunjukkan kepada keharusan untuk mencium tangan dan kaki.[7] Malah Imam al-Nawawi menyebutkan, disunatkan untuk mencium tangan orang soleh, alim dan seumpamanya dalam kalangan ahli akhirat. Manakala mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya pula, hukumnya adalah makruh. Bahkan al-Mutawalli berpendapat tidak boleh dan memberi isyarat kepada keharamannya. Kemudian, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa mencium kepala dan kaki, hukumnya adalah seperti mana mencium tangan.[8]

Selain itu, Ibn Muflih menyebutkan bahawa Abu ‘Ubaidah mengambil tangan Umar untuk menciumnya, tetapi ditahan oleh Umar. Kemudian, beliau bergegas ingin memegang kakinya, maka Umar berkata: “Aku tidak redha engkau melakukan perkara itu. Bagimana pula dengan ini?[9] Justeru, dapat difahami bahawa perbuatan Abu ‘Ubaidah itu menunjukkan kepada keharusannya. Adapun Umar menghalangnya — yakni tidak membenarkannya — kerana beliau tidak menyukai perbuatan tersebut disebabkan oleh sifat tawaduknya. Selain itu, Ibn Muflih juga ada menukilkan dalam kitabnya mengenai perbuatan Sufyan bin ‘Uyainah dan al-Fudhail bin ‘Iyadh mencium Husain bin Ali al-Ju‘fi, di mana salah seorang daripada mereka mencium tangannya, manakala salah seorang lagi mencium kakinya.[10]

Begitu juga Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika mensyarahkan hadith ini dalam Riyadh al-Salihin menyimpulkan bahawa perbuatan dua orang lelaki yahudi yang mencium tangan dan kaki Nabi SAW, lalu Baginda mengiyakan perbuatan tersebut — yakni tidak mengingkarinya — menunjukkan kepada keharusan mencium tangan dan kaki orang yang lebih tua, mulia dan berilmu. Termasuklah juga mencium tangan dan kaki ibu, bapa dan orang yang menyerupainya (yakni dalam kalangan orang yang dihormati) kerana bagi kedua-duanya hak. Inilah di antara sifat tawaduk.[11] Di samping itu, ‘Abd al-Muhsin ‘Abbad juga pernah ditanya oleh seseorang bahawa bapanya kadang-kadang menyuruhnya mencium kakinya? Beliau menjawab, tiada sebarang halangan untuk menciumnya — yakni boleh menciumnya.[12]

Walau bagaimanapun, Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga ada mengingatkan  bahawa mencium tangan sebagai tanda penghormatan bagi sesiapa yang tergolong dalam kalangan orang yang dihormati dan dimuliakan seperti ayah, orang alim (atau orang yang sudah berusia) dan guru, maka tidak mengapa melakukannya kecuali dikhuatiri adanya kemudaratan iaitu orang yang dicium tangannya itu merasa takjub dengan dirinya sendiri dan melihat diri mereka berada di kedudukan yang tinggi. Maka, dalam hal ini ia tidak dibenarkan disebabkan oleh mafsadah tersebut.[13]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa mencium kaki para ulama, orang soleh, ibu bapa dan seumpamanya, hukumnya adalah diharuskan sebagaimana diharuskan juga untuk mencium tangan dan dahi mereka, dengan syarat tidak berlebih-lebihan sehingga ke tahap mengagungkan dan mensucikan mereka, atau adanya kemudaratan seperti menimbulkan perasaan ujub dalam diri orang yang dicium tangannya itu, perasaan syahwat dan seumpamanya. Maka, dalam keadaan ini ia tidak dibenarkan, malah ada yang menghukumnya sebagai haram.

Sekalipun begitu, kami juga mengingatkan supaya berusahalah sedaya upaya untuk membezakannya daripada rupa bentuk sujud. Selain itu, budaya mencium kaki orang alim dan seumpamanya ini, sebaiknya tidak dijadikan amalan kebiasaan kerana dikhuatiri ia akan menimbulkan fitnah disebabkan ia bukan budaya dalam kalangan masyarakat setempat. Cukuplah dengan hanya bersalaman lalu mencium tangan atau dahi mereka — yakni orang alim atau orang soleh itu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/131; Lihat juga Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 11/57.

[2] Riwayat Abu Daud (5225)

[3] Riwayat al-Nasa’i (4078); Riwayat Ibn Majah (3705); Riwayat al-Tirmizi (2733); al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih. Al-Albani menilainya sebagai dhaif dalam Dhaif al-Tirmizi. Namun, ramai dalam ulama menilainya sebagai sahih seperti al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (5/240), Ibn al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir (9/48), dan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (4/640) dan Riyadh al-Salihin (889)

[4] Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (974)

[5] Riwayat Ibn al-Muqri’ dalam al-Rukhsah fi Taqbil al-Yad (13)

[6] Lihat Sunan al-Tirmizi, 5/77.

[7] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/437.

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/636-637.

[9] Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 2/259.

[10] Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 2/259.

[11] Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 4/451.

[12] Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 29/342.

[13] Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 177/30.

Leave a Reply