Soalan

Apakah sujud syukur boleh dilakukan di dalam solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sujud syukur merupakan salah satu ibadah yang dilakukan dalam proses menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T. Ia dilaksanakan kerana beberapa faktor seperti memperoleh nikmat atau terselamat dari bahaya dan malapetaka. Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/244)

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi, 1/22) Sedangkan takrif sujud syukur sebagai sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau tertolak bala. (Lihat Syarh al-Minhaj dan Hasyiah al-Qalyubi, 1/208)

Ulama telah khilaf (berselisih pandangan) berkenaan dengan sujud syukur seperti berikut:

  • Pandangan pertama: Ia tidak disyariatkan. Inilah pendapat Abu Hanifah, Malik dalam satu pendapat yang masyhur dan al-Nakha’ie mengikut yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir.
  • Pandangan kedua: Ia disyariatkan dan hukumnya sunat. Inilah pendapat Imam al-Syafi’e, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Abu Yusuf, Muhammad Ibn Habib daripada mazhab Maliki dan Ibn Qassar menisbahkan kepada Imam Malik bahkan ditashihkan oleh al-Banani.

 

Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA, katanya:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (2774)

Antara hujahnya adalah berdasarkan hadith daripada Abu Bakrah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَاهُ أَمْرٌ يَسُرُّهُ أَوْ بُشِّرَ بِهِ ، خَرَّ سَاجِدًا ، شُكْرًا لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

Maksudnya“Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, beliau lantas sujud untuk berterima kasih kepada Allah SWT.”

Riwayat Ibn Majah (1394)

Dalam riwayat lain, daripada Abu Bakrah R.A juga, beliau berkata:

اَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اِذَا جَاءَهُ خَبَرٌ يَسُرُّهُ خَرَّ سَاجِدًا للهِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya apabila datang kepada Nabi SAW sesuatu yang baik yang menggembirakan, beliau langsung sujud kerana berterima kasih kepada Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (2774)

Begitu juga diriwayatkan daripada para Sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar RA sujud syukur ketika pembukaan Yamamah dan mendengar perkhabaran Musailamah al-Kazzab dibunuh. Begitu juga Ali RA telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah daripada kalangan Khawarij telah terbunuh. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.

Disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mana menerima kurnian nikmat daripada Allah SWT seumpama kelahiran anak, mendapat harta, pangkat, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan juga selainnya. Begitu juga disunatkan untuk sujud syukur ketika mana kita terbebas dari segala bala dan bencana sepertimana terselamat dari kemalangan, gempa bumi dan juga perkara-perkara yang tidak baik.

Sepertimana dijelaskan, inilah pendapat al-Syafi’e (begitu juga pendokong mazhab Syafi’e), Ahmad bin Hanbal (begitu juga pendokong mazhab Hanbali), Ishak, Abu Thaur dan juga Ibn al-Munzir. Adapun al-Nakha’ie, Malik dan juga Abu Hanifah berpendapat bahawa sujud syukur adalah makruh. (Lihat al-Mughni, 1/449 dan al-Majmu’, 4/70) Namun, terdapat juga pendapat sebahagian Malikiyyah yang mengatakan bahawa sunatnya sujud syukur.

Imam al-Syaukani berkata: Yang dimaksudkan ialah nikmat yang baru yang boleh didapati dan juga yang tidak boleh didapati. Oleh sebab itu Nabi SAW tidak sujud melainkan apabila nikmat itu nikmat yang baru di samping terdapat juga nikmat-nikmat Allah yang lain kepada baginda.(Lihat Al-Sail al-Jarar, 1/175)

Sujud Syukur di dalam Solat

Para fuqaha menyatakan bahawa tidak boleh untuk seseorang itu melakukan sujud syukur di dalam solat. Bahkan perbuatan tersebut membatalkan solat kecuali bagi seseorang yang jahil ataupun terlupa. Ia dianggap membatalkan solat kerana berlakunya penambahan dalam solat dengan perbuatan yang bukan sebahagian daripada solat.

Kata Imam al-Nawawi: Para ashab kami (al-Syafi’eyyah) telah bersepakat akan keharaman melakukan sujud syukur di dalam solat. Maka sekiranya seseorang melakukan sujud syukur di dalam solat, terbatallah solatnya tanpa sebarang khilaf (perbezaan pendapat akan hal tersebut). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/68)

Hal ini kerana sebab yang menjadikan seseorang itu melakukan sujud syukur seperti mendapat nikmat atau terlepas dari musibah itu bukanlah merupakan sebahagian dari perbuatan solat bahkan tidak berkaitan dengan ibadah solat itu sendiri. Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam al-Mughni:  Seseorang itu tidak boleh melakukan sujud syukur dalam keadaan dia sedang solat. Ini kerana sebab sujud tersebut dilakukan bukan sebahagian daripadanya (perbuatan solat). Maka sekiranya seseorang itu melakukannya maka batallah solatnya. Melainkan dia melakukannya dalam keadaan terlupa atau tidak tahu akan pengharamannya. (Lihat al-Mughni, 1/449)

Syeikh Muhammad bin Soleh pernah menyatakan: Sesiapa yang sujud syukur dalam keadaan dia tahu hukumnya, dan dia mengingatinya, maka batallah solatnya. Hal ini kerana sujud syukur ini tidak ada kaitan dengan solat, tidak seperti sujud tilawah kerana sujud tilawah terdapat kaitan dengan solat iaitu bacaan al-Quran. (Lihat Syarh al-Mumti’ ala Zad al-Mustaqni’, 4/107-108)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa tidak boleh untuk seseorang itu melakukan sujud syukur di dalam solat. Sebaliknya, ia dilakukan di luar solat dengan kaifiat dan tatacara yang telah kami kongsikan di atas. Meskipun begitu, seseorang perlu jelas bahawa perbuatan solat itu sendiri hakikatnya merupakan suatu manifestasi kesyukuran seorang hamba kepada Tuhannya atas segala nikmat yang diperoleh. Ini dapat difahami berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah, katanya:

 قَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم حَتَّى تَوَرَّمَتْ قَدَمَاهُ فَقِيلَ لَهُ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ ‏أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: Nabi S.A.W mengerjakan qiyamullail sehingga bengkak kedua tapak kaki baginda. Lalu ditanyakan kepada baginda: ‘’Allah telah mengampunkan dosa-dosamu yang terdahulu dan yang akan datang’’. Maka baginda SAW menjawab: ‘’Apakah tidak patut aku ini menjadi seorang hamba yang bersyukur ?’’

Riwayat al-Bukhari (4836) dan Muslim (2819)

Maka hadith ini jelas dalam menunjukkan bahawa cara Rasulullah S.A.W menzahirkan syukur atas nikmat terampunnya dosa-dosa adalah dengan melaksanakan solat malam itu sendiri.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

Leave a Reply